31 October 2011

Perlawanan Ukhuwwah Kajang-HL

UNITEN, BANGI - Beberapa perlawanan ukhuwwah bola sepak di antara IKRAM Kajang dan IKRAM Hulu Langat (HL) telah diadakan di stadium UNITEN pada 29 Oktober 2011. IKRAM Kajang telah menjadi tuan rumah kepada acara yang berlangsung dari jam 8 pagi sehingga 11 pagi tersebut. Jika perlawanan di antara IKRAM HL dan IKRAM AJ pada 26 Oktober yang lalu hanya ada kumpulan pemuda, acara kali ini dianjurkan dengan empat kategori; Remaja (16-18 tahun), IPT (19-25 tahun), Belia (26-35 tahun) dan Senior (36 tahun ke atas).

29 October 2011

Perlawanan Bola Pemuda IKRAM: HL vs AJ


KAJANG – Perlawanan bola sepak ukhuwah antara Pemuda IKRAM Hulu Langat dengan Pemuda IKRAM Ampang Jaya telah berlangsung di Stadium Mini Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini pada Rabu 26 Oktober lalu. Perlawanan tamat dengan keputusan seri 4-4. Perlawanan ini salah satu proses menarik minat belia bukan IPT untuk bersama menyertai aktivisme dan dakwah Pemuda IKRAM yang sebahagiannya menjadi pemain bagi kedua-dua pasukan. Perlawanan ini juga sebagai salah satu usaha Pemuda Daerah untuk mempelbagaikan program bagi menarik lebih ramai belia luar untuk memahami dan menyertai IKRAM serta merapatkan ukhuwah di kalangan warga Pemuda IKRAM Daerah itu sendiri. Program bermula pada malam sebelumnya dengan katibah bersama di Surau Abdul Rahman Auf di Bangi. Kedua-dua pemain pasukan tidur pada malamnya dan bangun untuk qiamullail pada jam 5.00 pagi. Selepas Kuliah Subuh yang menarik oleh Pengerusi Tarbiah IKRAM Hulu Langat Ust Zamri Abdul Rahim, pemain terus bergegas ke Stadium untuk persediaan perlawanan.

23 October 2011

Seminar Wanita & Syariah 2011


KENYATAAN AKHBAR SEMPENA
SEMINAR WANITA DAN SYARIAH 2011
Wanita Pertubuhan IKRAM (IKRAM) dan
Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Selangor

Pada hari ini Ahad, 23 Oktober 2011 bersamaan dengan 25 Zulkaedah 1432H, Wanita IKRAM dan Wanita JIM Negeri Selangor mengadakan Seminar Wanita dan Syariah bagi memberikan kesedaran bahawa kesejahteraan diri dan kehidupan seorang wanita itu akan terjamin dalam syariah Islam. Pelaksanaan program ini diharapkan akan dapat menyumbang kepada segala usaha yang telah dilakukan sebelum ini bagi membetulkan persepsi yang silap mengenai kedudukan wanita dalam Islam.