24 March 2012

Da'wah Adalah Kejujuran dan Kebenaran

Dunia Untuk Diperhatikan

Dunia ini sememangnya diciptakan oleh Allah SWT buat hamba-hambanya sebagai ayat (tanda-tanda) kekuasaan dan kerajaan Allah. Mana tidaknya, Dia-lah yang al-Malik (Yang Maha Memerintah - The Absolute Ruler) dan Dia jugalah al-Aziz (Yang Maha Perkasa - The One with Most Authority). Sehinggakan Dia menyebut di dalam kitabNya tentang satu golongan yang sentiasa sahaja memerhati tanda-tanda kekuasaanNya:


"Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan juga silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi ulul-albab (orang-orang yang yang berakal), (mereka ini) adalah orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk atau ketika mereka sedang berbaring, dan mereka sentiasa sahaja berfikir tentang penciptaan langit dan bumi, (lalu mereka berkata): Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan (semua) ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(Aali 'Imran, 3:190-191)


Manusia Pelupa

Manusia selalu sahaja lupa, bahkan mereka adalah jenis makhluk Allah yang sangat-sangat mudah lupa atau leka. Sehinggakan selalu sahaja tanda-tanda kekuasaan Allah itu berlalu begitu sahaja tanpa diambil perhatian dan diambil pengajaran yang sebaiknya daripadanya.

Kadang-kadang hal yang mudah dan simple boleh menjadi satu pengajaran yang sangat bermakna bagi seseorang. Tetapi kebanyakan manusia hanya teringat apabila sesuatu yang besar dan luar biasa berlaku di dalam hidupnya.

Itupun jika mereka ingat!

Sedangkan kebanyakan mereka tetap lupa dan alpa...

Mereka Orang-orang yang Sensitif

Orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang sensitif imannya. Mereka bukan orang-orang yang lali dan bebal, iaitu tidak memberikan apa-apa tindak balas terhadap persekitaran mereka. Bahkan mereka ini adalah orang-orang yang sangat-sangat sensitif, lebih-lebih lagi dalam hal-hal yang berkaitan dengan iman dan aqidah mereka.

Betapa mulianya seorang sahabat bernama Thabit bin Qays, di dalam kisahnya ketika turunnya ayat kedua dari surah al-Hujurat yang menyebut;


"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, agar tidak dihapuskan (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari"
(al-Hujurat, 49:2)

Beliau merupakan seorang yang mempunyai suara yang kuat di dalam kaumnya. Sebaik ayat ini sampai kepadanya, beliau terus mengurung dirinya di dalam rumahnya sendiri. Apabila RasuluLlah SAW sedar "kehilangan" sahabat yang mulia ini, baginda memerintahkan agar disiasat sebab "kehilangan" tersebut.

Seorang sahabat yang l`ain telah datang ke rumahnya lalu bertanya kepada Thabit,
"RasuluLlah meresa kehilanganmu! Ada apa denganmu?"

Thabit dalam keadaan kepalanya tertunduk menjawab,
"Akulah orang yang mengalahkan suara RasuluLlah dan yang paling keras saat berbicara berdekatan baginda. Sehinggakan seluruh amalku terhapus, dan aku menjadi penghuni neraka!"

Apabila RasuluLlah mendengar berita ini, bagida telah bersabda (untuk disampaikan kepada Thabit), "Sesungguhnya kamu bukan dari ahli neraka, tetapi kamu adalah dari ahli syurga" (Ibnu Kathir).

Betapa sensitifnya jiwa mereka dalam hal-hal keimanan. Bahkan terdapat banyak lagi kisah para sahabat yang membuktikan betapa sensitifnya jiwa mereka.

Satu Hal Yang Mudah

Suatu pagi berlalu sedang ramai manusia sibuk dengan urusan pergi ke kerja. Saya berada di hadapan sebuah kedai & pusat servis Proton bagi menghantar kereta untuk diberikan sedikit servis. Jam masih awal. Kedai pun belum buka.

Sambil menunggu kedai dibuka tepat jam 8.30am, saya sempat memerhatikan pekerja-pekerja Proton sampai di premis berkenaan. Seorang demi seorang datang, dan masing-masingnya menaiki kenderaan sendiri.

Saya pelik, kerana tidak semuanya menggunakan produk Proton. Bahkan ada juga di antara mereka yang menggunakan produk Perodua (saingan Proton terbaik di Malaysia).

Nanti, apabila ada pelanggan yang datang masuk ke kedai untuk membeli kereta Proton, mereka akan ditanya, "Apa yang bagusnya Proton berbanding Perodua?" Lalu salesman tersebut akan menceritakan segala kelebihan yang ada pada kereta Proton tersebut dan dibandingkan dengan kereta Perodua atau yang seumpama dengannya.

Mudah sahaja di dalam arena bisnes. Seorang penjual tidak semestinya orang yang menggunakan produk tersebut.

Bahkan mungkin juga dia menggunakan produk syarikat saingan majikannya!

"Mudah saje" kata orang...

Da'wah Adalah Kejujuran dan Kebenaran

Tidak dinafikan lagi. Tiada siapa yang mampu menafikannya.

Da'wah tidak seperti bisnes, di mana promoter bisnes boleh mengatakan sesuatu walaupun dia sendiri kurang berkeyakinan dengan produk tersebut. Asalkan para pelanggan termakan dengan kata-kata manisnya sehingga menyebabkan mereka membeli produk tersebut. Apabila sudah beli, sudah selesai.

Da'wah tidak sesekali seperti itu.

Bahkan ia memerlukan orang-orang yang sangat yakin dengan jalan yang ditempuhinya itu. Tidak mungkin seseorang yang tidak meyakini jalan da'wah menyeru orang kepadanya sedangkan dia sendiri tidak berada di atasnya. Tidak mungkin.

Sikap seperti ini juga mestilah dijauhi oleh para du'at, agar da'wah berjaya mengesani hati para mad'u. Apa yang diucapkannya menjadi hujjah ke atasnya, dan manusia menilai mereka berdasarkan itu. Begitu cantik dan benarnya sebuah kata hikmah yang berbunyi, "lisan perbuatan adalah lebih kuat (kesannya) berbanding lisan percakapan".

Dalam konteks ini sendiri, Allah mengingatkan buat orang-orang yang beriman,


"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? Amat besar kemurkaan di sisi Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan."
(as-Saff, 61:2-3)

Atas dasar itu, seorang syeikh da'wah yang terdahulu telah menyebut satu himpunan kata-kata yang sangat ringkas tetapi padat dengan makna;

أصلح نفسك وادع غيرك
"Perbaiki dirimu dan serulah orang lain"

Moga Allah menerima segala amal kita.

No comments:

Post a Comment