23 March 2012

Lawatan Kelab Aqsa Syarif KUIS ke HQ

Kajang, 20 Mac 2012 - Aqsa Syarif telah menerima kunjungan daripada Kelab Sahabat Aqsa Syarif Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) tengahari tadi, di ibu pejabat bertempat di Kajang. Seramai 25 pelajar termasuk jawatankuasa kelab dan ahli telah menyerikan ibu pejabat dengan iringan beberapa orang pensyarah dari KUIS sendiri.

Antara tujuan kunjungan yang julung-julung kali diadakan ini adalah untuk mengenali lebih dekat struktur organisasi, objektif, visi, misi dan operasi pejabat Aqsa Syarif Pusat, selain mendapatkan maklumat ringkas berkenaan isu Palestin yang terkini. Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Noorsyazly Rameli, penolong pegawai perhubungan Aqsa Syarif telah dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh salah seorang pelajar KUIS, merangkap Setiausaha Agung Kelab Sahabat Aqsa Syarif KUIS, saudara Mohd Hanif.

Seterusnya Pengurus Besar Aqsa Syarif, Encik Muhamad Munawer memberikan kata-kata aluan diikuti ucapan penghargaan daripada pihak kelab tersebut, oleh Pengerusi mereka, saudara Abu Bakar.

Majlis turut diisi dengan sesi ta’aruf, pengenalan Aqsa Syarif dan sedikit kuiz berkenaan isu Palestin. Turut hadir adalah Encik Jusri Jusoh dan beberapa pensyarah KUIS selaku penasihat serta pengiring para pelajar.

Setelah itu para pelajar dibawa melawat ruang pejabat Aqsa Syarif Pusat, dengan iringan beberapa staf bagi menyampaikan sedikit penerangan berkaitan Palestin dan peranan Aqsa Syarif di Malaysia. Kemudian, para pelajar KUIS tersebut diraikan lagi dengan jemputan ke rumah Pengerusi Aqsa Syarif, Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, berdekatan Bandar Baru Bangi.

Lawatan ke rumah Pengerusi diisi dengan sesi perkongsian ringkas berkenaan Palestin dan peranan golongan pelajar serta penghayatan sirah Nabi Muhammad s.a.w dalam perjuangan menegakkan Islam dan mengembalikan hak-hak umat Islam di Palestin dan tempat-tempat lain. Sebahagian besar pelajar telah menitiskan air mata tatkala mendengar perkongsian bermakna daripada Pengerusi.

Program kunjungan ini berakhir selepas solat maghrib dan majlis penyampaian cenderahati dari kedua-dua pihak. Aqsa Syarif Berhad mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan mendoakan agar Kelab Sahabat Aqsa Syarif KUIS ini terus maju dalam membawa mesej perjuangan Palestin yang suci kepada seluruh pelajar di KUIS dan Malaysia.

Sumber: http://www.aqsasyarif.org.my/2012/03/lawatan-kelab-aqsa-syarif-kuis-ke-ibu-pejabat/

No comments:

Post a Comment