15 September 2012

RUMAH TERBUKA IKRAM HULU LANGAT 17/9/2012


Assalamualaikum



semua warga IKRAM Hulu Langat dan keluarga dijemput hadir ke Majlis Rumah Terbuka IKRAM Hulu Langat seperti berikut:

Tarikh: 17 September 2012 bersamaan 1 Zulkaedah 1433 
Tempat: Dewan Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Bangi 
Masa: mulai jam 10 pagi hingga 2 petang
**Majlis berakhir dengan solat zohor berjamaah.
  
Aturcara Majlis adalah seperti berikut:
10.00 pagi   ketibaan tetamu
10.15 pagi   ucapan alu-aluan
10.20 pagi   bacaan al-quran
10.30 pagi   ucapan YDP
10.45 pagi   montaj
10.50 pagi   perkongsian muallaf (imran sew)
11.30 pagi   jamuan makan
12.00 tgh    persembahan IKRAMTeens
1.20 ptg    Solat zuhur berjemaah & bersurai

**sesi aktiviti remaja dan kanak-kanak akan diadakan selari dengan program utama.

**untuk kanak-kanak: disediakan slot kraftangan dan pertandingan mewarna

**untuk remaja, seperti dalam poster di bawah:


05 September 2012

Tetap tawadhu' di jalan da'wah

by Wan Ahmad



Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Doa dan harapan kita kepada Allah swt semoga kita sentiasa dikurniakan curahan rahmat dan inayahNya serta kesabaran dalam menjejaki jalan dakwah yang begitu panjang dan penuh dengan berbagai rintangan dan halangan.
Hanya ridhaNya yang sentiasa kita harapkan selama mana kita juga :
  1. Ridha dengan kewajiban dakwah ini.
  2. Tulus ikhlas dalam melaksanakannya.
  3. Merasa ringan terhadap tugas-tugas yang kita pikul.
Kita sentiasa berkeinginan untuk tetap berada di jalan dakwah ini iaitu :
  1. Jalan keimanan yang telah menawarkan kepada kita begitu banyak kelazatan.
  2. Jalan terang yang telah menuntun kita dari gelap gulitanya kehidupan.
  3. Jalan yang mempertemukan kita dalam lingkaran kebersamaan.
Meskipun kita berbeza keturunan, karakter dan kebiasaan namun ternyata kita mampu melebur dan menyatukan diri di mana jika berbeza sekalipun kita justeru menciptakan suasana yang indah dalam mengharungi perjalanan.
Tetaplah kita di jalan ini iaitu :
  1. Jalan keimanan.
  2. Jalan keislaman.
  3. Jalan yang telah dilalui oleh para pencipta sejarah.
  4. Jalan yang sentiasa memberikan kedamaian di hati.
  5. Jalan yang memberikan kemudahan kepada kita untuk merengkuh pundi-pundi pahala.
Tetaplah kita bergandingan tangan sehingga ajal yang memisahkan kita. Mungkin kita telah letih dan jemu menghadapi deraian hujan ujian yang seakan-akan tidak pernah reda walau sedetikpun di samping gelombang fitnah yang semakin kuat menerjah.
Tetaplah kita di sini iaitu di jalan yang terang di mana sesungguhnya setelah segala kesulitan pasti ada kemudahan kerana begitulah kehidupan ini telah digariskan semenjak dari Nabi Adam sehingga selesai tugas manusia menjadi khalifah di muka bumi ini, ujian yang datang akan silih berganti diiringi dengan kemudahan-kemudahan. Tidak akan ada kesenangan abadi tanpa ditemani oleh riak-riak kesedihan dan begitulah pula sebaliknya.

Tetaplah kita di sini iaitu jalan yang telah mempertemukan kita serta jalan yang telah menuntun kita pada kenikmatan berbakti.
Jangan kita pernah tergoda dengan pujuk rayu syaitan yang menginginkan kita pergi meninggalkan jalan ini.
Keindahan yang kita alami di jalan ini lebih indah daripada keindahan yang kerapkali dibanggakan oleh mereka yang jauh dari jalan ini.
Jangan tertipu dengan fatamorgana kenikmatan, keindahan, kebahagiaan semua orang yang sering kita lihat dari orang-orang yang jauh dari tuntunan jalan ini.

Jalan ini adalah :
  1. Jalan yang telah mengajarkan kita pentingnya mengisi kehidupan ini dengan amal kebaikan.
  2. Jalan yang menuntun kita agar bijak memanfaatkan peluang beramal walau sekecil manapun.
  3. Jalan yang juga mengajarkan kita untuk menjauhi dosa walau sekecil apapun.
  4. Jalan yang mengajarkan kita untuk bijak menjalani kehidupan di samping berwaspada terhadap pujuk rayu syaitan yang memperdayakan.
Tetaplah diri kita di jalan ini iaitu jalan yang menawarkan begitu banyak kemanisan hidup. Jangan kita pernah tergoda dengan pujuk rayu yang menginginkan kita lari dari jalan ini.
Ketahuilah bahwa kemuliaan kita di hadapan Allah terletak dari :
  1. Kesungguhan niat.
  2. Kemampuan kita menyelesaikan ujian-ujian kehidupan.
Semakin tinggi ujian, semakin tinggi pula kualiti keimanan kita.

Tetaplah kita di jalan ini. Berjalan beriringan seiya sekata. Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing.
Jangan kita berhenti sebelum sampai ke destinasi :
  1. Walau gelombang ujian semakin kuat menghalang.
  2. Walau gunung cubaan semakin tinggi menjulang.
  3. Walau hujan rintangan semakin lebat menyerang.
Ini adalah kerana ada syurga yang menjanjikan jutaan kebahagiaan di hujung perjalanan. Maka jemputlah syurga itu dengan :
  1. Sifat istiqamah.
  2. Keteguhan iman.
Semoga Allah swt sentiasa menjaga kebersihan hati kita.
Bukankah Allah swt telah memilih kita sebagai pemikul amanah dakwah Islam dalam sebuah gerakan Islam sejagat?
Allah memberikan kepercayaan kepada kita untuk meneruskan risalah para nabi, khususnya misi dan ajaran Nabi Muhammad saw di mana adalah suatu penghargaan besar dari Allah swt yang telah mentakdirkan kita menjadi hamba-hambaNya yang dapat berhimpun dalam gerakan dakwah ini.
Jika kita hormati penghargaan Ilahi ini dan kita memberi respon yang positif terhadap amanah tersebut, insyaAllah, hasil dan kesannya tidak akan sia-sia di mana kemuliaan dunia dan akhirat akan diberikan sesuai dengan janji Allah swt :
“Sesungguhnya yang berikrar Rabb kami adalah Allah, kemudian beristiqamah, niscaya para Malaikat turun (membawa berita), jangan kamu merasa takut dan sedih, bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan. Kami adalah pelindung kamu dalam kehidupan dunia dan di akhirat kelak, di sana bagi kamu apa yang diinginkan dan apa yang diminta. Yang diturunkan dari Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang berdakwah ke jalan Allah dan beramal soleh serta berkata sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.”
Semoga Allah swt sentiasa memberkati persaudaraan kita di mana penghargaan Allah terhadap kita tersebut bukan untuk dibanggakan, lalu merasa tinggi diri, apalagi ujub (na’udzubillah min zaalik) terhadap diri dan menyombongkan diri dengan meremehkan orang lain.
Semua perbuatan tersebut adalah dilarang, bahkan tidak patut rasanya seseorang yang diberikan kemuliaan sebagai pendakwah melakukan sikap dan perbuatan tersebut.
Lebih dari itu, sikap dan perilaku sombong serta merasa tinggi diri akan mengakibatkan kerusakan struktur hubungan antara sesama manusia.
Bayangkan! Jika manusia saling merendahkan dan meremehkan yang satu dengan yang lainnya serta :
  1. Tidak saling menghormati.
  2. Tidak ada kewibawaan.
  3. Tidak ada saling mempercayai.
  4. Tidak ada etika.
  5. Tidak menghormati tatasusila.
Apa akibatnya kehidupan ini jika itu yang berlaku?
Apakah gerangan yang membuatkan seseorang menjadi sombong dan merasa tinggi serta merasa lebih hebat dari orang lain ?
Apakah disebabkan ilmu yang dimilikinya?
Tidak ada yang perlu dibanggakan dari ilmu yang kita miliki. Ilmu itu pada hakikatnya adalah milik Allah dan Dia mengajarkan kepada kita sedikit dari ilmuNya, maka justeru ilmu itulah yang seharusnya memberikan rasa takut kepada Allah :
“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dari hamba-hambaNya adalah para ulama’”.
Mungkinkah seseorang itu merasa bangga dan tinggi diri kerana amal-amal dan aktiviti ibadahnya yang begitu banyak?
Bukankah sepatutnya semakin tinggi keimanan seseorang dan ketaqwaannya, semakin ia merendahkan dirinya, samada ke hadhrat Allah swt, mahupun kepada manusia, rendah diri di hadapan orang yang beriman dan tegas di hadapan orang kafir.
Nabi Muhammad saw sebagai sebaik-baik makhluk Allah dan orang yang paling bertaqwa dari kalangan umatnya, masih diberi pesanan oleh Allah swt dalam firmanNya :
“Rendahkanlah hatimu kepada pengikutmu orang-orang mukminin.” (QS Asy-Syu’ara : 215)
Kadang-kadang kita merasa lebih banyak amalnya dan lebih tinggi kedudukannya di dalam gerakan dakwah kerana merasa lebih dulu aktif dan lebih ‘senior’.
Berhati-hatilah bahwa semuanya itu akan membuatkan dirinya lebih hina dan lebih buruk pada pandangan Allah swt.
Lihatlah pesanan-pesanan Nabi kita Muhammad saw:
“Jika kamu mendengar seseorang berkata“semua orang rusak”, maka dialah orang yang paling rusak (HR Muslim)
“Cukuplah keburukan seseorang, kerana ia menghina saudaranya sesama muslim.” (HR Muslim)
Semoga Allah sentiasa menjaga kita dalam ketaatan kepadaNya.
Salah satu fikrah dakwah kita adalah “Salafiyah”yang menuntut kita untuk meneladani pendahulu-pendahulu kita yang soleh dalam sifat rendah diri mereka. Tidak ada yang merasa lebih hebat betapapun tinggi ilmu yang mereka miliki. Mereka tidak merasa lebih ‘senior’ betapapun mereka lebih dahulu beramal dan aktiviti jihad mereka lebih banyak.
Kepimpinan Nabi Muhammad saw memberikan keteladanan kepada umatnya dalam sikap tawadhu’, sebagaimana berita yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, ia berkata :
“Meskipun (kita tahu) bahwa para sahabat adalah orang yang paling cinta kepada Rasulullah, namun mereka tidak pernah berdiri menyambut kedatangan Rasulullah saw, kerana mereka tahu bahwa hal itu tidak disenangi Nabi saw.” (HR Tirmizi)
Siapa yang tidak mengenal Abdur Rahman bin Auf yang sangat disegani di kalangan kaumnya. Namun kepiawaian dan kesenioran beliau tidak membuatkan dirinya suka meninggi diri walaupun terhadap pelayannya sekalipun.
Hal ini dikisahkan oleh sahabat Abu Darda’ :
“…..Abdur Rahman bin Auf sukar dibezakan dengan pelayannya kerana tidak nampak perbezaan mereka dalam bentuk lahiriyahnya”.
Peribahasa yang jelas menggambarkan kedudukan di atas adalah :
“Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.”
Demikian pula kehebatan Imam Hasan Al Basri dalam ilmu agama tidak dapat memperdayakan dirinya menjadi seorang yang merasa lebih tahu atau merasa lebih hebat di hadapan teman-temannya.
Suatu ketika Hasan Al Basri berjalan dengan beberapa orang, orang-orang itu berjalan pada posisi di belakang beliau, maka Hasan Al Basripun mencegah mereka (melakukan itu), seraya berkata: “Tidak benar hal ini dilakukan setiap hamba Allah?”.
Seorang Tabi’in bernama Sufyan ats-Tsauri ternyata benar-benar teruji sifat tawadhu’nya.
Ketika beliau berkunjung ke Ramallah (di Palestin), Ibrahim bin Adham mengutus seseorang kepada Sufyan untuk meminta agar ia datang singgah ke rumahnya, seraya berkata : “Wahai Sufyan ke marilah untuk berbincang-bincang”.
Sufyan pun mendatangi Ibrahim.
Ketika Ibrahim ditegur seseorang, “Mengapa kamu berbuat demikian”.
Ibrahim menjawab : “Saya ingin menguji ke-tawadhu’-annya”.
Demikian pula jawatan dan kedudukan tidak layak dijadikan alasan untuk berbangga diri apalagi mendabik dada “akulah orang besar”.
Dalam sebuah riwayat, dikisahkan bahwa Umar bin Abdul Aziz ra didatangi oleh seorang tetamu ketika ia sedang menulis.
Ketika lampu itu padam kerana terjatuh, tetamu itupun berkata :
“Biarkan aku ambil lampu itu untuk aku perbaiki!”
Khalifah Umar berkata :
“Tidak mulia seseorang yang menjadikan tetamunya sebagai pelayan”.
Tetamu itu berkata lagi :
“Atau saya minta bantuan anak-anak”.
Amirul Mukminin Umar berkata :
“Mereka baru sahaja tidur (jangan ganggu mereka)”.
Kemudian Khalifah pun beranjak dari tempat duduknya untuk mengambil lampu itu dan memperbaikinya sendiri.
Tetamu itu kehairanan seraya berseru :
“Wahai Amirul Mukminin, engkau melakukannya itu sendiri ?
Amirul Mukminin berkata :
“Ketika saya pergi, saya adalah Umar, ketika saya kembalipun saya adalah Umar, tidak kurang sedikitpun dari saya sebagai Umar. Sebaik-baik manusia adalah yang tawadhu’ di sisi Allah swt”.
Subhanallah!!!
Orang-orang yang berhimpun dalam ‘mahabbah’ dan keridhaan Allah swt sebenarnya telah membuang sifat sombong, merasa lebih tahu, senioriti apalagi kemasyhuran diri.
Hiasilah diri kita dengan tawadhu’, rendah diri, sentiasa merasa memerlukan tambahan ilmu, pengalaman dan merasa saling memerlukan dengan sesama saudara seperjuangan.
“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembusi bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung. Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu.” (QS al-Isra: 37-38)
Ya Allah, tetapkanlah kami di atas jalan dakwah yang lurus ini yang menawarkan berbagai kenikmatan, menerangi kegelapan serta mempertemukan saudara seperjuangan di bawah payung iman. Jauhkanlah kami dari sifat takabur, merasa sombong dan mengharapkan pujian dan kemasyhuran makhluk.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Asas Kesejahteraan Aqidah

by Wan Ahmad


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Aqidah adalah perkara-perkara yang wajib dibenarkan oleh hati kita dan jiwa kita menjadi tenang dan tenteram kerananya serta menjadi keyakinan pada diri kita tanpa dicemari oleh keraguan dan kebimbangan.
Aqidah juga merupakan tapak asas bagi seseorang dalam menjalani kehidupan.
Ia adalah suatu konsep dan paradigma yang ada di dalam hati yang menuntunnya dalam menentukan arah dan berjalan untuk menuju paradigma yang diyakininya itu.
Syeikh Sayyid Sabiq berkata :
“Sesungguhnya, aqidah ini merupakan jiwa bagi setiap individu. Dengan aqidah ini, ia boleh hidup dengan baik. Apabila kehilangan aqidah ini, maka ruhaninya akan mengalami kematian. Aqidah adalah cahaya yang apabila manusia tidak mendapatkannya, maka ia akan tersesat dalam berbagai kancah kehidupan dan mengalami kebingungan di berbagai lembah kesesatan.”
“Dan apakah orang  yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya?” (QS Al An’am: 122)
Ia merupakan aqidah yang satu dan tidak berganti-ganti disebabkan oleh pergantian waktu mahupun tempat serta tidak pula berubah-ubah disebabkan oleh perubahan individu ataupun umat.
Allah swt berfirman :
“Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang  agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadaMu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.” (QS  Asy Syura’ : 13)
Apa yang disyari’atkan  oleh Allah untuk kita tentang agama dan yang diwasiatkan kepada kita sebagaimana yang diwasiatkan kepada para RasulNya yang terdahulu adalah pokok-pokok aqidah dan dasar-dasar keimanan.
Pengertian aqidah meliputi enam perkara : 
1.      “Ma’rifat” (mengenal) kepada Allah, nama-namaNya yang baik dan sifat-sifatNya Yang Tinggi serta dalil-dalil kewujudanNya dan fenomena-fenomena keagunganNya di alam semesta ini.
2.      “Ma’rifat” kepada alam yang ada di sebalik alam semesta ini atau alam ghaib, demikian pula kekuatan-kekuatan yang ada di dalamnya yang tercermin pada para malaikat, iblis, syaitan, jin dan ruh.
3.      “Ma’rifat” kepada kitab-kitab Allah yang diturunkan untuk menentukan petunjuk-petunjuk kebenaran dan kebatilan, kebaikan dan kejahatan, halal dan haram, yang baik dan yang buruk.
4.      “Ma’rifat” kepada nabi dan rasul yang telah dipilih untuk menjadi penunjuk jalan dan pembimbing makhluk untuk mencapai kebenaran.
5.      “Ma’rifat” kepada hari akhirat dan hal-hal yang ada di dalamnya seperti kebangkitan dari kubur dan balasan amal, syurga dan neraka.
6.      “Ma’rifat” kepada qadar (taqdir) yang di atas landasannya sistem alam semesta ini berjalan, samada dalam penciptaannya ataupun pengaturannya.
Para Rasul menyampaikan aqidah ini kepada umat manusia dengan cara yang pada keseluruhannya mudah difahami, sederhana dan logik iaitu dengan :
a.       Mengajak manusia memperhatikan kerajaan langit dan bumi.
b.      Membangkitkan akal mereka untuk berfikir tentang ayat-ayat (tanda kekuasaan) Allah.
c.       Mengingatkan fitrah mereka kepada perasaan beragama yang telah ditanamkan padanya.
d.      Menumbuhkan kesedaran akan adanya suatu alam di sebalik alam kebendaan ini.
Dengan cara-cara inilah Rasulullah saw menanamkan aqidah ini ke dalam  jiwa umatnya, mengarahkan pandangan dan fikiran mereka, membangkitkan akal dan mengingatkan fitrah mereka seraya merawat tanaman ini dengan pendidikan dan pengembangan hingga mencapai puncak kejayaan.
Nabi saw berhasil :
1.      Mengubah umat dari jahiliyah dan kemusyrikan menjadi umat yang beraqidah tauhid.
2.      Mengisi hati mereka dengan keimanan dan keyakinan.
3.      Menjadikan para sahabatnya sebagai para pemimpin perbaikan umat dan pelopor kebajikan.
4.      Mewujudkan suatu generasi yang berwibawa dengan iman dan berpegang teguh kepada kebenaran.
5.      Melahirkan generasi ini bagaikan matahari bagi dunia dan pembawa kesejahteraan bagi umat manusia.
Allah swt telah memberikan kesaksianNya atas keunggulan dan keistimewaan generasi ini melalui firmanNya:
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (QS Ali Imran : 110)
Iman yang dimiliki oleh sebahagian para sahabat Nabi benar-benar telah mencapai darjat yang tinggi sebagaimana yang dikatakan oleh salah seorang dari mereka :
“Andaikata tabir (yang menutup pandangan) kami (terhadap hal-hal ghaib) itu dibukakan niscaya (hal itu) tidak menambah keyakinanku.”
Syeikh Mahmud Syaltut membahagikan unsur-unsur pokok keimanan ke dalam empat bahagian. 
PERTAMA
Wujudnya Allah dengan keesaanNya, serta bersendiriNya dalam penciptaan, pengaturan keleluasaan bertindakNya terhadap alam, serta suciNya dari penyekutuan di dalam keagungan dan kekuatan.
KEDUA
Bahwasanya Allah memilih dari hamba-hambaNya orang yang dikehendaki dan diberikan kepada orang tersebut tugas kerasulan, sehingga iman kepada rasul Allah menjadi wajib. 
KETIGA
Percaya kepada malaikat, duta wahyu di antara Allah dengan para rasulNya dan kepada kitab-kitab yang diturunkanNya sebagai risalah Allah kepada makhluk-makhlukNya. 
KEEMPAT
Percaya kepada apa yang terkandung di dalam risalah-risalah tersebut yang berupa persoalan hari kebangkitan dan hari pembalasan, pokok kewajiban agama dan peraturan-peraturan yang diridhai Allah untuk hamba-hambaNya.
Untuk meneguhkan aqidah Islam secara kuat dan sempurna, seseorang mestilah memulainya dengan :
PERTAMA : Meyakini kewujudan atau keberadaan Allah.
Perkara ini boleh dilakukan dengan memerhatikan berbagai fenomena yang ada di alam semesta ini.
KEDUA : Mengetahui dan memahami sifat-sifat Allah melalui apa yang telah disebutkan dalam Al Qur’an dan As Sunnah.
KETIGA : Mentauhidkan Allah serta menjadikan Allah sebagai satu-satunya sembahan yang selayaknya.
“Katakanlah, ‘Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi. Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman.’” (QS Yunus : 101)
Nabi saw bersabda :
“Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama. Barangsiapa memeliharanya (dengan penuh kesedaran, menghadirkan maknanya, dapat merasakan berbagai pengaruhNya dalam jiwanya), maka ia masuk syurga. Dan sesungguhnya, Allah itu ganjil dan menyukai yang ganjil.” (HR Bukhari, Muslim dan At Tirmizi)
Imam Hasan Al Banna berkata :
“’Ma’rifah’ kepada Allah dengan sikap tauhid dan penyucian (zat)Nya adalah setinggi-tinggi tingkatan aqidah Islam. Sedangkan mengenai ayat-ayat sifat dan hadits-hadits sahih tentangnya, serta berbagai keterangan ‘mutasyabihat’ yang berhubungan dengannya, kita cukup mengimaninya sebagaimana adanya tanpa ‘ta’wil’ dan ‘ta’thil’, serta tidak meruncingkan perbezaan yang berlaku di antara para ulama’. Kita mencukupkan diri dengan keterangan yang ada, sebagaimana Rasulullah dan para sahabatnya mencukupkan diri dengannya.”
“Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata, ‘Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami.’” (QS Ali lmran : 7)
KEEMPAT : Mengenal manusia, hubungannya dengan alam, hubungannya dengan Allah, kemerdekaan dan tanggungjawabnya.
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman,  ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (QS Al Baqarah : 30)
KELIMA : Mengenal kenabian yang mencakupi manusia dan hakikat kehidupan, tabiat kenabian, kerasulan Muhammad, keimanan terhadapnya, serta hasil dari keimanan tersebut.
“Dan itulah hujjah Kami yang Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi kaumnya. Kami tinggikan siapa yang Kami kehendaki beberapa darjat. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Dan Kami telah menganugerahkan Ishak dan Ya’qub kepadanya. Kepada keduanya masing-masing telah Kami beri petunjuk; dan kepada Nuh sebelum itu (juga) telah Kami beri petunjuk, dan kepada sebahagian dari keturunannya (Nuh) iaitu Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa dan Harun. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas. Semuanya termasuk orang-orang yang soleh. dan Ismail, Ilyasa’, Yunus dan Lut. Masing-masing Kami lebihkan darjatnya di atas umat (di masanya).” (QS Al An’am : 83-86)
“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS Al Ahzab : 40)
KEENAM : Mengenal hal-hal ghaib serta makhluk-makhluk yang termasuk di dalam alam itu, iaitu malaikat, iblis, dan jin.
Rasulullah saw bersabda :
“Malaikat diciptakan dari cahaya, jin-jin diciptakan dari nyala api, dan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah diterangkan kepadamu.” (HR Muslim)
“Demi Allah, sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami kepada umat-umat sebelum kamu, tetapi syaitan menjadikan umat-umat itu memandang baik perbuatan mereka (yang buruk), maka syaitan menjadi pemimpin mereka di hari itu dan bagi mereka azab yang sangat pedih.” (QS An Nahl : 63)
Sayyid Qutb berkata :
“Adalah  suatu  penghormatan  terhadap  akal  kemanusiaan  sendiri,  apabila  kita percaya  terhadap  yang  ghaib  dalam  kehidupan  kita,  bukan  untuk  memasrahkan kehidupan kita kepadanya  seperti halnya orang-orang yang hanyut  terbawa oleh khayalan dan ‘khurafat’, namun supaya kita sentiasa merasakan keagungan alam ini sesuai dengan hakikatnya, dan supaya kita mengenali kedudukan diri kita dalam alam raya ini. Hal ini tentu  akan  membuka  kesempatan  kepada  semangat  kemanusiaan  mengungkapkan banyak  kekuatan  untuk  diketahui,  untuk  diresapi  dengan  berbagai  jaringan  yang mengikat kita dengan alam raya itu dari kedalaman batin kita, di mana ianya tentulah lebih besar dan  lebih dalam dari  semua yang kita capai dengan akal kita hingga hari  ini. Buktinya kita setiap hari masih sahaja menemui perkara-perkara baru yang pada awalnya ghaib bagi kita, dan kita hingga saat ini masih hidup.”
KETUJUH : Meyakini, memahami dan mengamalkan kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada manusia.
“Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian  terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikanNya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberianNya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukanNya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,” (QS Al Ma’idah : 28)
KELAPAN : Mengetahui bahwa segala sesuatu akan diminta pertanggungjawabannya di hari akhirat nanti iaitu setelah berlakunya kiamat.
“Telah dekat terjadinya hari kiamat. Tidak ada yang akan menyatakan terjadinya hari itu selain Allah.” (QS An Najm : 57-58)
 “Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani dan orang-orang Shabiin, siapa sahaja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, hari kemudian dan beramal soleh,  mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhuatiran kepada mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (QS Al Baqarah : 62)
KESEMBILAN : Memahami bahwa alam semesta berjalan dalam sistem teratur yang telah ditetapkan oleh Allah.
“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (QS Al Hadid : 22-23)
KESEPULUH : Mengetahui karakteristik aqidah Islam dan pengaruh keimanan dalam kehidupan masyarakat.
Syeikh Sayyid Sabiq menyebutkan bahwa buah keimanan adalah :
a.       Memerdekakan jiwa dari kekuasaan orang lain.
b.      Membangkitkan keberanian di dalam jiwa dan keinginan untuk terus maju.
c.       Menganggap kematian sesuatu yang pasti dan berusaha untuk mati syahid demi membela kebenaran.
d.      Menetapkan keyakinan bahwa Allahlah yang memberi rezeki dan bahwa rezeki tidak dapat dipercepatkan kerana kerakusan orang yang rakus dan tidak dapat pula ditolak kebencian dari orang yang benci.
e.       Meningkatkan kekuatan ‘maknawiyah’manusia dan menghubungkan dirinya dengan contoh tauladan tertinggi serta memperolehi kehidupan yang lebih baik.
Seorang yang membangun aqidah Islam perlulah menyedari bahwa Islam adalah sistem hidup yang mengatur seluruh sendi kehidupan.
Imam Hasan Al Banna berkata :
“Islam adalah sistem yang menyeluruh, yang menyentuh seluruh segi kehidupan. Ia adalah negara dan tanah air, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan penghakiman, material dan kekayaan alam, penghasilan dan kekayaan, jihad dan dakwah, pasukan dan pemikiran, sebagaimana juga ia adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih.”
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (QS Al Baqarah : 208)
Ia juga mestilah memahami perkara-perkara yang bertentangan dengan tauhid atau kesempurnaan tauhid, iaitu syirik, kufur, dan nifaq serta bentuk-bentuknya seperti sihir, peramalan, pengubatan dengan sihir, ilmu perbintangan atau astrologi, meminta hujan dengan kedudukan bintang, merasa sial kerana sesuatu hal, atau pun memakai tangkal.
Imam Hasan Al Banna berkata :
“Tangkal, ruqyah (mantera), guna-guna, ramalan, perdukunan, penyingkapan perkara ghaib, dan semisalnya, adalah kemungkaran yang perlu diperangi, kecuali mantera dari ayat Al Qur’an atau ada riwayat dari Rasulullah.”
 “Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” (QS Ibrahim : 18)
Rasulullah saw bersabda :
“Tanda-tanda orang munafiq itu ada empat : jika berkata ia dusta, jika berjanji, ia tidak menepatinya, jika bertengkar ia berlaku curang, dan jika diberi amanah ia berkhianat.” (HR Bukhari)
Dengan meneguhkan aqidah Islam secara mendalam dan kuat di dalam hati manusia, ia akan memberikan kesetiaannya hanya kepada Islam dan menolak apa yang bukan berdasarkan Islam.
Dengan yang demikian, ia akan memberikan komitmennya terhadap Islam dan kaum muslimin dan bersikap keras terhadap kekafiran.
 “Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Meraka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya. Dan dimasukanNya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah ridha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.” (QS Al Mujadilah : 22)
Kemudian, hendaklah seorang muslim tidak mengkafirkan muslim yang lain tanpa neraca yang tepat kerana kafir-mengkafirkan ini merupakan perkara yang berat yang akan menghantarkan salah seorang itu ke dalam neraka.
Imam Hasan Al Banna berkata :
“Kita tidak mengkafirkan seorang muslim, yang telah mengikrarkan dua kalimat syahadah, mengamalkan kandungannya, dan menunaikan kewajiban-kewajibannya, samada kerana lontaran pendapat ataupun kerana kemaksiatannya, kecuali jika ia mengatakan kata-kata kufur, mengingkari sesuatu yang telah diakui sebagai bahagian penting dari agama, mendustakan Al Qur’an secara terang-terangan, menafsirkannya dengan cara-cara yang tidak sesuai dengan kaidah bahasa Arab, atau berbuat sesuatu yang tidak mungkin diinterpretasikan kecuali dengan tindakan kufur.”
Demikianlah, nampak dengan jelas bahwa aqidah itu hanyalah dimaksudkan untuk membersihkan perilaku, menyucikan jiwa dan mengarahkannya kepada nilai-nilai yang paling luhur, disamping ia merupakan hakikat kebenaran yang kukuh dan tidak berubah-ubah. Ia termasuk pengetahuan manusia yang paling tinggi, walaupun bukan yang paling tinggi secara mutlak.
Membersihkan perilaku individu-individu dengan jalan menanamkan aqidah agama merupakan salah satu cara pendidikan(uslub tarbiyah) yang paling agung kerana dengan cara sebegitulah agama mempunyai kekuasaan atas hati dan jiwa serta memiliki pengaruh terhadap perasaan dan pancaindera.
Jadi, menanamkan aqidah ke dalam jiwa merupakan cara yang paling tepat untuk mewujudkan unsur-unsur yang baik yang dapat melaksanakan peranannya secara sempurna dalam kehidupan dan memberikan saham yang sangat besar dalam membekalkan jiwa dengan perkara-perkara yang lebih bermanfaat dan benar kerana pendidikan bentuk ini sesungguhnya dapat memperlebarkan pakaian keindahan dan kesempurnaan pada kehidupan dan menaunginya dengan naungan rasa cinta dan damai.
Apabila rasa cinta telah mendominasi di dalam jiwa, maka lenyaplah pertengkaran dan hilanglah pertentangan di mana umat manusia akan saling mendekati dan bersahabat. Individu akan berusaha dan bekerja demi kebaikan masyarakat. Sebaliknya masyarakat akan berusaha keras untuk memperbaiki individu dan membahagiakannya.
Oleh kerana itu, nampak jelas sekali hikmahnya mengapa iman dijadikan sebagai prinsip umum dan kekal abadi serta juga mengapa Allah tidak pernah membiarkan satu generasi atau suatu umat dalam keadaan kosong tanpa mengutus seorang Rasul kepada mereka untuk mengajak mereka kepada iman ini dan memperdalamkan akar-akar aqidah ini di dalam hati mereka.
Secara umumnya, dakwah dan seruan iman ini datang sesudah hati nurani manusia mengalami kerusakan dan sesudah semua nilai luhur hancur di mana nampak jelas bahwa manusia sangat memerlukan datangnya mukjizat yang dapat mengembalikannya kepada fitrahnya yang sihat agar memiliki kelayakan untuk memakmurkan bumi dan mampu memikul amanat kehidupan.
Ya Allah, kurniakanlah kefahaman tentang aqidah yang benar dalam jiwa kami sehingga kami dapat mengenal zatMu, merasai kasih sayangMu, mengakui kekuatan dan kekuasaanMu, mensyukuri segala pemberian nikmat dariMu, mengharapkan ampunan dan kemaafanMu dari segala kesalahan kami sehingga jiwa kami tenang dan tenteram di atas segala taqdir dan ketentuan dariMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS