29 October 2012

QURBAN BERSAMA MASYARAKAT

27 Oktober 2012--Bersempena aidiladha tahun ini, IKRAM Hulu Langat dipimpin oleh YDP dan Pengerusi JK Pembangunan & Khidmat Masyarakat menjalankan ibadah qurban bersama-sama masyarakat di sekitar Surau Ar-Ridhuan, Council Homes, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.




program IKRAMTeens Pusat semasa cuti sekolah


assalamualaikum

berikut dikongsikan Takwim Program IKRAMTeens Pusat untuk cuti sekolah hujung tahun 2012 ini


1. XREK 2012
Tarikh  : 25 - 27 Nov 2012 
Lokasi : Hulu Langat , Selangor
Peserta: pelajar tingkatan 3


2. XPERT 2012
Tarikh  : 6 - 9 Dis 2012
Lokasi : Terengganu
Peserta: pelajar tingkatan 4 yang telah mengikuti XREK 2011


3. Madrasatul Hayah IKRAM ( MHi )
Tarikh  : 15 Dis 2012 - 12 Jan 2013 ( Tidak termasuk Jaulah )
Lokasi : Kem Rimba Tamu, Batang Kali
Peserta: lepasan SPM 2012


4. Himpunan 1000 Jiwa 1 hati
Tarikh  : 31 Dis 2012 - 1 Jan 2012
Lokasi : Masjid Negeri, Shah Alam
Peserta: remaja 12-18 tahun


inshaAllah, maklumat dan hebahan lengkap akan dikongsikan dalam masa terdekat.

JKBR SELANGOR MENZIARAHI JKBR HULU LANGAT

Alhamdulillah pada 23 Oktober 2012 yang lalu, JKBR Hulu Langat bebesar hati menerima kunjungan JK Belia & Remaja IKRAM Selangor. Pertemuan telah dilangsungkan di pejabat IKRAM Hulu Langat bermula jam 9 malam hingga jam 12 tengah malam.

Semoga pertemuan antara pihak negeri dan daerah ini dapat melonjakkan lagi usaha dakwah dan tarbiah khususnya di kalangan belia dan remaja di daerah Hulu Langat ini.

Jazaakumullah diucapkan kepada JKBR Selangor di bawah pimpinan Akh Ahmad Yusri (Abu Dzar) yang telah sudi berkunjung ke daerah kami. Doakan semoga JKBR Hulu Langat akan terus maju ke hadapan dalam satu barisan yang kukuh demi ummah dan ad-deen yang kita cintai.

REHLAH KELUARGA 21/10/12

Alhamdulillah, pada 21 Oktober 2012 yang lalu, JK Tarbiah IKRAM Hulu Langat telah menganjurkan Rehlah Keluarga. Setelah rehlah keluarga diadakan di dusun durian pada tahun lalu, rehlah keluarga tahun ini diadakan di Kompleks UNITI, Pasir Panjang, Negeri Sembilan.







23 October 2012

Ceramah LGBT di Penjara Wanita Kajang


23 Oktober 2012-Alhamdulillah dengan rahmat dan keizinan Allah, seorang ahli IKRAM Hulu Langat telah diberi peluang untuk menyampaikan ceramah bertajuk "LGBT: Mempertuhankan Hawa Nafsu" di hadapan lebih 50 orang banduan wanita dan pegawai-pegawai Penjara Wanita Kajang bermula jam 9.30pagi tadi. Tahniah diucapkan kepada Pn. Azlina Roszy Mohamad Ghaffar yang telah menyambut ruang berkongsi dan menyantuni para wanita di sana.

Terima kasih juga diucapkan kepada Puan Hjh Faridah Maludin yang membukakan peluang ini. Usaha menyantuni banduan wanita di Penjara Kajang ini telah dirintis semenjak tahun 2007 oleh Wanita JIM di bawah unit PAKSI. Turut mengiringi ialah Puan Hjh Hamidah Ibrahim yang setia menyantuni mereka dengan program pengisian yang sangat diperlukan.


16 October 2012

Seminar 'Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat' 14/10/2012


Pada 14 Oktober 2012 yang lalu, telah berlangsung Seminar Wanita & Syariah 2012 bertemakan 'Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat'. Seminar yang dianjurkan oleh Wanita Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor, dengan kerjasama FELCRA Training & Consultancy ini telah diadakan di Dewan Wisma Felcra, Setiawangsa, Kuala Lumpur, bermula jam 9 pagi hingga jam 1.30 petang.

Program ini bertujuan memberikan kefahaman mengenai pentingnya masyarakat menyokong agenda mengarusperdanakan keluarga sebagai unit asas yang sangat signifikan dalam pembangunan ketamadunan manusia. Ternyata, usaha mengembalikan kegemilangan institusi kekeluargaan dapat dilakukan dengan penghayatan dan pengamalan syariah yang sememangnya diturunkan sebagai rahmat buat sekalian alam.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah at-Tahrim (ayat 6-12), kemudian disusuli dengan ucapan perasmian oleh YDP IKRAM Selangor, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus. Ucapan yang sungguh bertenaga ini memberikan penghargaan kepada peserta lelaki yang turut menyertai seminar ini. Ucapan beliau turut menyentuh hikmah agung daripada sai'e dan kaitannya dengan peranan wanita yang diiktiraf oleh Allah. Selain itu, beliau turut menegaskan komitmen IKRAM untuk terus mendidik wanita dengan tarbiah serta memperkasakan wanita untuk turut menyumbang di dalam masyarakat.

Sesi ucaptama 'Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat' pula disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Hj Siraj, Pengerusi JK Pembangunan Sosial IKRAM. Ucaptama yang menarik ini menyentuh kepentingan institusi keluarga dalam pembangunan masyarakat serta senario keluarga semasa di Malaysia dan dunia. Banyak pendedahan berasaskan fakta dan statistik telah mengejutkan para peserta untuk tidak sewenang-wenangnya merasa selamat daripada ancaman terkini terhadap institusi kekeluargaan. 

Ternyata, hanya dengan hidup di bawah naungan syariah, masyarakat akan berupaya memperbaiki keadaan ini dan hidup dengan sejahtera dan bahagia. Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai agenda mengarusperdanakan keluarga serta cadangan peranan yang boleh dilakukan untuk menzahirkan harapan murni ini.

Setelah majlis berhenti rehat untuk sesi kudapan dan sidang media, majlis diteruskan dengan sesi forum. Pn Azlina Roszy Mohamad Ghaffar telah membentangkan mengenai CEDAW, Deklarasi Doha dan dasar-dasar negara berkaitan keluarga. Kemudian, Prof Dr. Najibah Mohd Zin berkongsi tentang Hak-hak asasi wanita: perbandingan antara CEDAW dan undang-undang Islam. Sesi ini dan sesi soal jawab kemudiannya dikendalikan oleh Dr. Zulfakar Ramlee selaku moderator.

Diharapkan seminar ini telah membuka mata para peserta mengenai senario terkini dunia berkaitan keluarga. Semoga kesedaran ini juga akan dikongsikan oleh para peserta dengan ahli masyarakat yang lain, selain menjalankan peranan efektif untuk mengarusperdanakan keluarga di bawah naungan syariah untuk membangun masyarakat dan peradaban yang sejahtera.

*Bahan-bahan yang dibentangkan semasa sesi ucaptama, dan forum boleh diperolehi di sini


Kenyataan Akhbar Seminar Wanita & Syariah 2012 (14/10/12))




KENYATAAN AKHBAR SEMPENA
SEMINAR WANITA DAN SYARIAH 2012
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Selangor
Pada hari ini Ahad, 14 Oktober 2012 bersamaan dengan 27 Zulkaedah 1433H, Wanita IKRAM Negeri Selangor mengadakan Seminar Wanita dan Syariah dengan tema“Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat”. Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan kefahaman mengenai keluarga sebagai unit asas yang paling penting dalam pembangunan ketamadunan manusia. Program Seminar Wanita dan Syariah ini merupakan kesinambungan dari siri seminar yang dianjurkan oleh Wanita IKRAM Negeri Selangor bagi mengajak kaum wanita terutamanya bahawa syariah itu diturunkan sebagai rahmat kepada sekelian alam. Siri seminar ini yang bermula pada tahun lepas dengan memberikan kesedaran bahawa kesejahteraan diri dan kehidupan seorang wanita itu akan terjamin dalam syariah Islam kini diteruskan dengan memberi fokus terhadap aspek kekeluargaan. Pelaksanaan program kali ini diharapkan akan dapat menyumbang kepada segala usaha yang telah dilakukan untuk mengembalikan kemurnian institusi keluarga dalam masyarakat.
Kesucian dan keutuhan institusi kekeluargaan itu harus terus menjadi fokus untuk dipertahankan oleh setiap ahli masyarakat. Sehubungan itu, kaum lelaki sebagai pemimpin keluarga diperingatkan akan tanggungjawab mereka terhadap keluarga sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran dalam Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”.











Dari kiri: Dr Roohaida dan Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Timbalan Ketua Wanita IKRAM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj (JKP IKRAM) dan En. Rohaizat Ahmad (Pengarah Urusan FELCRA Training andConsultancy) dalam sidang media semasa Seminar Wanita dan Syariah di Wisma Felcra, Kuala Lumpur.

Suasana masyarakat masakini sedang menyaksikan keruntuhan peradaban manusia berpunca dari penghakisan nilai-nilai murni dan pengabaian tanggungjawab ahli-ahli keluarga dalam unit asas masyarakat. Institusi kekeluargaan menjadi kian rapuh dan semakin hilang kepentingannya sehingga ada yang menganggap keluargalah punca penderitaan ramai manusia di dunia ini. Pandangan negatif terhadap institusi kekeluargaan sudah lama menular dan berakar umbi dalam masyarakat, terutamanya di kalangan mereka yang terpaksa melalui pengalaman pedih hidup dalam penderitaan dan penganiayaan fizikal, seksual serta emosi yang dicetuskan oleh ahli keluarga sendiri.
Satu gelombang pergerakan yang menentang keluarga (anti-family movement) telah berjaya mempengaruhi penggubalan polisi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) bermula dengan Convention on the Elimination of all Forms of Violence and Discrimination Against Women (CEDAW). Pada dasarnya CEDAW merupakan satu undang-undang antarabangsa yang menyentuh hak-hak wanita khususnya berkaitan penghapusan diskriminasi ke atas wanita pada dasarnya tidak bersifat anti-keluarga. Namun usaha melobi oleh kelompok anti-keluarga ini telah menyebabkan perubahan kepada tiga aspek iaitu meluaskan definisi ‘gender’ yang dipergunakan di UN untuk ditakrifkan sebagai satu konstruk sosial yang diberikan ruang yang luas dari sudut penakrifan, bagi memasukkan dan mengiktiraf orientasi seksual yang lain, termasuklah golongan homoseksual dan lesbian. Pengguguran dilihat sebagai satu hak asasi reproduksi wanita maka oleh itu pengharamannya di sudut undang-undang dikira sebagai satu pencerobohan terhadap hak asasi wanita. Selanjutnya, kumpulan ini juga mengubah definisi ‘unit keluarga’ iaitu tidak hanya bermula dengan perkongsian hidup seorang lelaki dan wanita yang kemudiannya menghasilkan zuriat, sebaliknya merangkumi juga keluarga golongan homoseksual dan lesbian yang tinggal bersama dan membela anak-anak.
Kecelaruan pemikiran dan pemahaman tentang unsur kemanusiaan ini telah menyumbang kepada keruntuhan sosial yang berterusan memburuk dalam masyarakat. Allah swt telah berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Bagi menentang arus anti-famili ini, golongan pro-famili telah mengeluarkan Deklarasi Doha yang mencakupi aspek etika, agama dan budaya, maruah manusia, keluarga, perkahwinan, keibubapaan serta anak-anak. Dalam negara kita sendiri, usaha dan komitmen untuk mempertahankan institusi keluarga menjadi satu keutamaan melalui pembentukan beberapa dasar kerajaan seperti Dasar Wanita Negara dan Dasar Keluarga Negara. Oleh itu melalui program ini, Wanita IKRAM Negeri Selangor berhasrat untuk memberi pendedahan dan kefahaman tentang kesan undang-undang antarabangsa terhadap pembangunan wanita Islam di Malaysia.
Kami harap segala usaha kita dengan semua pihak akan mencapai matlamat kita memastikan kesejahteraan kehidupan semua ahli masyarakat kita.
Semoga Allah swt memberkati usaha ini.


Prof. Madya Dr. Roohaida Othman
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Negeri Selangor

Friendly Futsal (Hulu Langat vs Ampang Jaya)




Perlawanan Futsal persahabatan antara belia IKRAM Hulu Langat dan Ampang Jaya telah berjaya diadakan pada Sabtu 13 Oktober 2012 yang lalu di Ampang Sport Planet.

Program bermula jam 8.30 pg dan berakhir sekitar 10.30 pg.

Perlawanan telah di bahagikan pd 3 kategori pasukan. 
Keputusannya seperti berikut.
Team A = 20-25 tahun. Aampang Jaya menang 3-1
Team B = 26 tahun ke atas. Hulu Langat menang 2-1
Team C = 26 tahun ke atas (veteran). Ampang Jaya menang 2-0
Secara keseluruhan, Ampang Jaya mendahului dengan aggregat 6-3




Sekalung penghargaan diucapkan kepada Setiausaha IKRAM Daerah Hulu langat, Dr Hezerul Abd Karim kerana sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan juga bermain di dalam Team C daerah Hulu Langat.

Bagi belia IKRAM Hulu Langat, menang-kalah perlawanan bukanlah menjadi objektif utama program ini. Namun yg lebih membawa kemenangan adalah kejayaan kita dalam menjalinkan hubungan rapat dengan belia IKRAM Ampang Jaya dan sesama belia IKRAM Hulu Langat.

Pada masa yg sama, keputusan yang dilakarkan ini menjadi pemangkin kepada Belia IKRAM Hulu Langat untuk lebih giat beriadhah mingguan.

Riadhah futsal dan badminton dijadualkan pada setiap Jumaat malam (di MG2 Futsal Teras Jernang dan Vrox Sports Centre, Jalan Reko). Jom riadhah!









13 October 2012

Bengkel Penulisan Kreatif Islami 13 Okt 2012























oleh: Zaidah Mohamed Taib


3 Oktober 2012 – Pada hari ini telah berlangsung Bengkel Penulisan Kreatif Islami bagi akhawat IKRAM Hulu Langat. Bengkel ini telah diadakan di MIG, Bandar Baru Bangi dan seramai 25 orang peserta telah hadir termasuk peserta dari kalangan pelajar IPT. Bengkel ini dipimpin oleh Saudari Ezee Rahmani (nama pena) bermula dari jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Pada bengkel yang terdiri dari dua sesi ini,  peserta telah ditunjukkan Bagaimana Untuk Memulakan Penulisan pada sesi pertama. Seterusnya peserta diperkenalkan Kaedah Yang Digunakan Dalam Berkarya pada sesi kedua. Di akhir bengkel, Panduan Kertas Cadangan telah diberikan kepada peserta untuk mereka mengorak langkah dalam dunia penulisan sebagai wadah untuk berkongsi dan memperkembangkan ilmu dan idea.


Majlis penutup dan penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Ketua Wanita IKRAM Hulu Langat, Hjh. Zuraidah Kornain. Semoga bengkel yang diadakan memberikan inspirasi dan motivasi kepada semua peserta yang hadir untuk menghasilkan penulisan yang bermakna untuk menyebarkan Islam yang kita cinta. 


08 October 2012

BENGKEL PENULISAN KREATIF ISLAMI


SEMINAR KOMUNIKASI EFEKTIF DALAM KELUARGA DU'AT




"Kalau nak bertanya, sila sertakan dengan pilihan jawapan objektif", kata Pak Utih ^__^ Sambungnya lagi..."contohnya...sila jangan tanya soalan seperti Bang...hari ini nak makan apa?" "Yang lebih baik tanyalah Bang, harini nak makan laksa ke mi kari?" Waaah~macam tu rupanya!! Inilah antara tips-tips berkomunikasi efektif yang dikongsikan dalam seminar yang sungguh menarik ini.

"Kalau orang perempuan cakap: Abang letih ke?, apa maksudnya yang tersirat?" hehe.."Maksudnya...dia nak ajak keluar jalan-jalan" "Kalau orang perempuan cakap: Abang makanlah dulu, nanti saya makan sendiri, tu apa pula maksudnya?" "Maksudnya: tunggulah saya sekejap, kita makan sama-sama"..Owh macam tu ke?--melopong beberapa peserta :D  

Ilmu berguna beserta contoh yang praktikal yang dikongsikan dengan santai memang membuatkan para peserta tak kering gusi. 

Seminar setengah hari ini menjadi mini retreat untuk kebanyakan pasangan muda yang hadir. Mini retreat yang membawa para peserta mengingati kembali misi dan visi besar bait muslim ini didirikan.

Bermula dengan aktiviti mengisi kertas pink dan biru yang kemudian ditampal di dinding, para peserta dapat saling melihat apakah antara perasaan yang tersimpan yang menghalang komunikasi efektif antara pasangan suami isteri dalam keluarga du’at. Antara yang tertulis ialah “dia tak luahkan perasaan, banyak diam” dan “saya tak faham lawaknya, kadang-kadang kena teka sendiri”.

Kemudian para peserta menganalisa motif dan personaliti diri dan pasangan menggunakan buku kerja pengiraan motif. Ha! Barulah tahu berapa skor Pencapaian, Kuasa, Perhubungan dan Jaminan. Barulah faham kenapa pasangan kita sangat workaholic, atau kerap ‘berleter’ ^__^ dan barulah faham kenapa kadang kala boleh terjadi konflik. Apapun, teruskan manfaatkan nilai-nilai positif, banyakkan berbincang bagaimana keluarga du’at masing-masing boleh dikembangkan potensinya dengan personaliti unik yang ada ini.

para peserta sedang tekun mengisi analisa personaliti bersama pasangan masing-masing

Selain itu, para peserta juga dibekalkan dengan input mengenai unsur manusia,  apa yang menyebabkan manusia bisa jadi tenang dan redha, dan kenapa ada sebahagian manusia sangat mementingkan diri sendiri. Kemudian, Pak Utih membawa para peserta memahami fitrah lelaki dan perempuan yang unik, tetapi saling melengkapi. Setelah memahami keunikan ini, Pak Utih turut berkongsi tips-tips untuk berkomunikasi secara efektif tanpa meminggirkan keunikan fitrah masing-masing.

Antara pesanan oleh Pak Utih sebelum berakhirnya seminar ini ialah, “Amalkan makan bersama keluarga di dalam dulang :D Banyak manfaatnya”. Itulah antara petua yang masih diamalkan oleh Pak Utih sampai sekarang untuk menggapai mawaddah, sakinah dan rahmah dalam melayari bahtera bait muslimnya.

Sekalung tahniah diucapkan kepada team JK Bait Muslim IKRAM Hulu Langat serta Pak Utih di atas penganjuran seminar ini. Semoga Allah memberkati amal ini dengan kebaikan yang berganda. Kami tunggu sambungannya ^__^


04 October 2012

JOM ke Seminar Wanita & syariah ^__^



Suasana masyarakat masakini sedang menyaksikan keruntuhan peradaban manusia berpunca dari penghakisan nilai-nilai murni dan pengabaian tanggungjawab ahli-ahli keluarga dalam unit asas masyarakat. Institusi kekeluargaan tidak lagi mampu memainkan peranan serta fungsi-fungsi asasnya dengan baik dan ia semakin hilang kepentingannya sehingga ada yang menganggap keluargalah punca penderitaan ramai manusia di dunia ini.
Pandangan negatif terhadap institusi kekeluargaan sudah lama menular dan berakar umbi dalam masyarakat, terutamanya di kalangan mereka yang terpaksa melalui pengalaman pedih hidup dalam penderitaan dan penganiayaan fizikal, seksual serta emosi yang dicetuskan oleh ahli keluarga sendiri. Kelompok yang berpandangan sebegini, sebenarnya telah meresap masuk dan menjadi suara lantang di persada antarabangsa serta telah berjaya membentuk satu gelombang pergerakan yang menentang keluarga (anti-family movement).
Di peringkat penggubalan polisi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) bermula dengan Convention on the Elimination of all Forms of Violence and Discrimination Against Women (CEDAW), kelompok yang diketuai oleh golongan feminis ini telah berjaya melobi agenda anti-keluarga dalam hampir kesemua dasar-dasar serta polisi yang dikeluarkan. CEDAW yang merupakan satu undang-undang antarabangsa yang menyentuh hak-hak wanita khususnya berkaitan penghapusan diskriminasi ke atas wanita pada dasarnya tidak bersifat anti-keluarga namun perubahan yang berlaku seterusnya memberikan gambaran bahawa pergerakan anti-keluarga ini telah mendapat tempat di badan dunia tersebut.
Terdapat tiga aspek yang begitu ketara diperjuangkan iaitu
  • meluaskan definisi ‘gender’ yang dipergunakan di UN untuk ditakrifkan sebagai satu konstruk sosial yang memberikan ruang yang luas dari sudut penakrifan, bagi memasukkan dan mengiktiraf orientasi seksual yang lain, termasuklah golongan homoseksual dan lesbian.
  • memastikan semua negara di dunia mengiktiraf penguguran sebagai satu hak asasi reproduksi wanita, yang dikatakan boleh menentukan sama ada dia mahu terus hamil atau sebaliknya. Pengharaman pengguguran di sudut undang-undang dikira sebagai satu pencerobohan terhadap hak asasi wanita.
  • mengubah definisi ‘unit keluarga’ iaitu tidak hanya bermula dengan perkongsian hidup seorang lelaki dan wanita yang kemudiannya menghasilkan zuriat, sebaliknya merangkumi juga keluarga ibu atau bapa tunggal serta keluarga golongan homoseksual dan lesbian yang membuat keputusan untuk tinggal bersama dan membela anak-anak.
Usaha melobi yang begitu agresif oleh golongan feminis radikal ini telahpun banyak mewarnakan dokumen-dokumen yang diluluskan oleh UN dan mempunyai kesan yang signifikan, sama ada secara terus atau tidak langsung terhadap polisi mengenai wanita dan keluarga di semua negara di dunia. Kerajaan Malaysia sendiri telah membuat ratifikasi kepada CEDAW, dengan beberapa reservasi yang antara lainnya menetapkan yang ianya tidak bercanggah dengan peruntukan di bawah perlembagaan Persekutuan.
Perjuangan memastikan keluarga terus menjadi unit asas yang paling penting dalam pembangunan ketamadunan manusia masih tetap mendapat sokongan dan perhatian masyarakat. Deklarasi Doha yang mewakili pandangan pro-famili telah dikeluarkan yang mencakupi aspek etika, agama dan budaya, maruah manusia, keluarga, perkahwinan, keibubapaan serta anak-anak.
Dalam negara kita sendiri, usaha dan komitmen untuk mempertahankan institusi keluarga menjadi salah satu keutamaan yang jelas ketara di semua peringkat. Ini termasuklah pembentukan beberapa dasar kerajaan yang dilihat sebagai satu petunjuk positif sejauhmana pihak yang bertanggungjawab memberikan penekanan dalam aspek kekeluargaan ini.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor meyakini bahawa masyarakat perlu diberikan kefahaman tentang gerakan anti-keluarga ini dan memastikan usaha-usaha untuk mengembalikan kemurnianan institusi keluarga dikongsi bersama oleh semua ahli masyarakat.
Sehubungan dengan itu, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia, Negeri Selangor dengan kerjasama FELCRA Training & Consultancy (FTC) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Wanita dan Syariah dengan tema ”Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat”.
1. OBJEKTIF SEMINAR
  1. Meningkatkan kefahaman terhadap CEDAW, Deklarasi Doha dan dasar-dasar negara yang berkaitan serta kesannya terhadap pembangunan wanita Islam
  2. Memberi pendedahan dan kefahaman tentang kesan undang-undang antarabangsa terhadap pembangunan wanita Islam di Malaysia
  3. Menilai konsep kesaksamaan gender daripada perspektif Islam