28 September 2014

Tarbiyah didahulukan, usrah diutamakan



"Setiap seorang daripada kita perlu dibetulkan!"

Demikianlah antara mesej penting yang diterapkan kepada para murabbi (pendidik/pemberi tarbiyah) dalam taklimat Pemerkasaan Usrah yang telah berlangsung pada hari Ahad, 28 September bertempat di SRI Al Amin Bangi. Taklimat ini dihadiri oleh ahli-ahli IKRAM dari daerah Hulu Langat, Kajang dan Sepang.



Taklimat ini adalah salah satu initiatif IKRAM yang sentiasa mengambil berat terhadap penerusan dan pemantapan tarbiyah ahli. IKRAM berkeyakinan bahawa tarbiyah menyeluruh yang efektif, yang dilaksanakan melalui sistem usrah, mampu melahirkan individu-individu contoh yang akan menyelesaikan permasalahan ummah berdasarkan ajaran Quran dan Sunnah. 

Para peserta didedahkan dengan aspek-aspek tarbiyah & usrah yang menyeluruh. Tarbiyah sepertimana yang dijelaskan, bukan sekadar majlis ilmu dan pertemuan mingguan, tetapi adalah sesuatu yang diambil serius, di mana pembawa usrah perlu mengambil berat tentang keadaan anak didiknya dan memastikan peningkatan dalam semua bidang, baik dalam ibadah, ilmu, amal dakwah mahupun kesihatan fizikal.

"Tarbiyah ini satu perkara yang besar", ujar seorang peserta di akhir program. "Jika dilaksanakan dengan baik ia mampu menggegarkan dunia".

31 August 2014

Hidayah itu hadiah

                                        

Hidayah itu satu cahaya yang indah, yang menembusi hati dan mengubah jiwa para penerimanya.

Jika ia cahaya yang terang benderang, mengapa tidak ramai yang menemui sinar hidayah? Mengapa ramai di kalangan manusia masih meraba-raba dalam kegelapan?

Dalam nukilan yang ringkas ini kita akan meneliti sifat 'cahaya' itu sendiri, dan kaitannya dengan hidayah.

Allah SWT berfirman:

4:174




"Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu Nur (cahaya) yang jelas" (An Nisa:174)

Allah menerangkan bahawa Dia menurunkan Nur kepada manusia.

Apakah itu Nur? Kita dapati jawapannya dalam ayat yang menerangkan tentang matahari dan bulan:

 10:5

"Dia lah yang menjadikan matahari dhiya' dan bulan sebagai nur, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan kebenaran. Allah menjelaskan ayat-ayatNya satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui" (Yunus:5)

Cahaya matahari disebut sebagai dhiya'. Cahaya matahari itu jelas, terpancar di mana-mana sahaja, sesiapa sahaja dapat melihat cahaya tersebut dengan nyata walaupun tidak memandang matahari secara langsung.

Namun yang dikatakan nur adalah cahaya bulan. Cahaya ini suatu cahaya yang samar-samar bagi kebanyakan orang. Hanya orang yang benar-benar mencari bulan akan nampak cahaya tersebut dengan nyata. Sebaliknya, bagi orang yang memilih untuk duduk dalam rumah, tidak ada beza sama ada anak bulan ataupun bulan purnama yang muncul di langit. Dia tidak dapat menikmati indahnya sinaran bulan penuh yang menggamit jiwa.

Cahaya hidayah adalah cahaya yang terang. Tetapi jika kita hanya duduk-duduk dan berpeluk tubuh, kita tidak akan menjumpai cahaya itu. Perlunya seorang mukmin itu keluar dari kepompong keselesaan, dan berusaha untuk mencari 'bulan purnama' di tengah-tengah kegelapan jahiliyyah.

5:35

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya; dan berjihadlah pada jalan Allah supaya kamu beroleh kejayaan" (Al Maidah:35)

Dan dalam sebuah hadith qudsi:

وإن تقرَّب منِّي شبرًا ، تقرَّبتُ إليه ذراعًا . وإن تقرَّبإليَّ ذراعًا ، تقرَّبتُ منه باعًا . وإن أتاني يمشي ، أتيتُه هَرْولةً

"Dan jika (hambaKu) mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, aku mendekatkan diri kepadanya sehasta; dan jika dia mendekatkan diri sehasta, aku mendekatkan diri kepadanya sedepa. Dan jika dia mendatangiku berjalan, aku mendatanginya dengan berlari" (HR Muslim)

Carilah hidayah, walau lautan terpaksa kau redah.

24 August 2014

“Makhluk itu sentiasa mengintai saya..!”





“Saya takut, encik. Sangat takut.”

Dada Pak Maun turun naik dengan deras, nafasnya berhembus kencang. Kejap-kejapan matanya memandang ke kiri, kemudian ke kanan, seakan-akan ada seseorang, atau sesuatu, yang sedang memburunya.  

“Semenjak saya tahu makhluk ni duk ikut saya, saya jadi tak tenang. Nak keluar rumah, berjaga-jaga. Nak keluar duit, risau. Nak pergi ‘toilet’ pun cuakkkkk!!!!!”, ujar Pak Maun dengan bersungguh-sungguh.
  
Wawancara di atas mungkin lebih sesuai dijadikan bahan utama dalam majalah-majalah seram yang laku di pasaran, bukan dalam sebuah blog yang membicarakan perihal dakwah & tarbiyah. Mungkin anda akan sedikit hairan jika penulis mengatakan bahawa Pak Maun adalah contoh manusia yang telah ditarbiyah dengan baik.

Kenapa pula?

Masyarakat di negara ini terkenal sejak zaman purbakala dengan ketakutan kepada makhluk halus. Sehingga ke hari ini, majalah-majalah mistik dan seram dijual walaupun di sekecil-kecil kedai runcit. Filem-filem seram picisan yang tidak menambahkan nilai moral dan intelek dihasilkan saban tahun. Setiap penyakit yang tidak dapat dijelaskan sebab-sebabnya secara automatik disandarkan kepada ‘gangguan’ atau ‘buatan orang’. Semua ini menggambarkan kuatnya ‘iman’ sebilangan masyarakat Islam di negara ini kepada ‘al-ghaib’, yang difahami sebagai makhluk menakutkan yang tidak dapat dilihat.

Ketakutan ini mampu mencapai tahap yang melampau-lampau, sehingga takut kepada makhluk ini melebihi takut kepada Pencipta makhluk. Pelik bukan! Kalaulah iman kepada perkara ghaib ini dapat dihalakan kepada perkara-perkara yang benar, yakni

Takut kepada pengawasan Allah,

Takut dicatat oleh malaikat pencatat,

Takut datangnya malaikat maut pada bila-bila masa,

Kita pasti akan melihat satu perubahan yang besar pada manusia di negara ini. Pegawai-pegawai takut untuk mengambil rasuah walaupun di ceruk yang paling tersorok. Pengurus kewangan akan sangat berjaga-jaga, dari mana sumber wang dan ke mana ia dibelanjakan. Orang ramai akan berhijrah daripada kepercayaan karut yang menumpulkan akal dan hati, kepada kepercayaan yang berteraskan iman, yang berlandaskan al-haq kerana hati-hati mereka hanya takut kepada Allah dan mereka hanya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Muraqabah (merasai pengawasan Allah) lebih penting lagi buat para du’at yang mengaku membawa risalah kebenaran. Tarbiyah ini pada asasnya tidak lain daripada tarbiyah imaniyah, dan para du’at umpama  para pekebun yang menanam benih-benih iman dalam tanah yang kontang. Benih itu menumbuhkan pohon yang teguh, akarnya mencengkam jauh ke dalam bumi. Pohon ini tidak tertumbang dek taufan, tidak kering dek teriknya pancaran dan tidak lemas ditenggelamkan hujan.

Iman adalah pencetus kepada semua perkara lain. Iman akan memastikan komitmen seseorang kepada tarbiyah walaupun dia seorang diri. Ia akan melindungi seseorang daripada dualisme, menjadi malaikat di hadapan manusia dan menjadi syaitan di belakang mereka.

Sejuta patah perkataan tidak dapat menggambarkan pentingnya tarbiyah keimanan ini. Jagalah iman kita dan beri penekanan yang tinggi kepada pembentukan iman pada sasaran-sasaran dakwah kita. Iman yang benar kepada perkara ghaib adalah ciri khusus orang-orang yang bertakwa:
"Itulah Al-Kitab, tidak ada sebarang syak padanya; ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Al Baqarah : 2-3)

Insyaallah suatu hari akan lahir ramai lagi ‘Pak Maun’ yang merintih: “Takut nak buat maksiat, Allah sedang mengintai saya…!!”

20 August 2014

Rahsia seorang da'ie 'Hardcore'


Tatkala bertemu orang yang sudah lama berkecimpung dalam dakwah, timbul keluhan kecil dalam hati.
"Macam analah mereka boleh bertahan lama. Aku yang baru beberapa tahun berdakwah pun terasa pancit."
Soalan ini sangat wajar untuk kita renungkan bersama. Bagaimana seseorang itu boleh istiqamah bersama dakwah dan tarbiyah selama bertahun-tahun, menempuh mehnah dan fitnah yang tiba satu demi satu? Adakah disebabkan banyaknya bahan bacaan yang telah dilalui? Ataupun banyaknya usrah yang dibawa? Ataupun hebatnya perancangan hidup yang dibuat dari awal?

Untuk menjawab persoalan ini, Ustaz Muhammad Ahmad ar-Rasyid dalam kitabnya Ar-Raqaiq memberikan formula yang sangat mudah dalam menggarap rahsia istiqamah:
"Pintu istiqamah, adalah mihrab."

Dalam kata lain, pintu istiqamah adalah pintu masjid. Dengan membiasakan diri memasuki pintu masjid, seseorang itu sedang membekalkan diri untuk istiqamah. Nah, sangat mudah bukan? "Takkanlah sesenang itu untuk istiqamah?", bisik hati kecil kita.

Rasulullah s.aw. pernah bertanya kepada para sahabat :
ألا أدلُكم على ما يمحو اللهُ بهِ الخطايا ويرفعُ بهِ الدرجاتِ ؟ قالوا : بلى . يا رسولَ اللهِ ! قال إسباغُ الوضوءِ على المكارهِ . وكثرةُ الخطا إلى المساجِدِ . وانتظارُ الصلاةِ بعدَ الصلاةِ . فذلكمْ الرباطُ 
"Mahukah aku tunjukkan kepada kamu amalan yang dengannya Allah akan menghapus dosa kamu, dan meninggikan darjat kamu?" Para sahabat menjawab, "Mahu, Ya Rasulullah". Baginda bersabda, "Sempurnakan wudhu' walaupun dalam keadaan payah; dan banyakkan langkah ke masjid, dan menunggu solat selepas solat. (Jika mampu lakukan sedemikian) kamu telah tegar dalam melakukan ketaatan, kamu telah tegar dalam melakukan ketaatan." (HR Muslim)
Amalan-amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah dalam hadith di atas nampak mudah, tapi sebenarnya amat sukar dilakukan. Manusia pada hari ini, senang hati untuk melangkah ke kedai makan yang jauhnya berpuluh kilometer, tetapi amat berat untuk melangkah ke surau yang tersergam indah di hadapan rumah. Sangat menepati waktu jika bertemu dengan orang kenamaan, tetapi suka bertangguh-tangguh dalam temujanji bersama Pencipta orang kenamaan tersebut.

Untuk menjadi du'at yang istiqamah dan 'hardcore' (tegar), kita perlu terlebih dahulu menjadi 'abid, yakni hamba yang tegar. Menjadi 'abid yang tegar bermula dengan memberi tumpuan kepada ibadah yang paling asas, iaitu solat fardu yang dilakukan secara berjemaah di masjid. Solat yang dilaksanakan dengan sempurna adalah satu wasilah pembentukan jiwa yang hebat, mengalahkan semua modul-modul latihan ciptaan manusia.

Bayangkan hidup seorang du'at yang menjaga solat. Dia sentiasa peka dengan waktu masuknya solat, sehingga waktu solat menyusun jadual hariannya. Tidak kira apa keadaan sekalipun, lapang ataupun sempit, dia akan cuba sedaya-upaya untuk datang ke masjid. Orang yang sentiasa menepati masa solat akan menepati pula masa kedatangan ke usrah, daurah dan perjumpaan-perjumpaan lain. Bila sudah biasa melawan nafsu malas untuk ke masjid, dia akan mendapat kekuatan untuk melawan alasan-alasan yang mengajaknya untuk lari daripada tanggungjawab dakwah & tarbiyah. Tidak hairanlah jika Rasulullah mengatakan orang yang memperbanyakkan langkah ke masjid mendapat ribat (tegar dalam melakukan ketaatan).

Anda mahu menjadi seorang da'ie yang 'hardcore'? Kembalilah kepada perkara paling asas dalam Islam. Kita sudah diajar sedari awal bahawa solat itu tiang agama. Jika rapuh tiang, maka rapuhlah keseluruhan binaan. Jika tiang itu teguh, binaan turut utuh, dilanda badai tiada roboh.

07 August 2014

Tahniah~Anugerah Role Model Remaja

Tahniah diucapkan kepada 3 orang ahli IKRAMTeens Hulu Langat; iaitu Atiqah bt Abd Rahim, Nur Fatin Najihah bt Hamzah & Maryam bt Fakhrul Anuar yang telah dianugerahkan Anugerah Role Model Remaja (kategori Anugerah Khas, Ko-Kurikulum & Kepimpinan) di program PROCESS oleh IKRAMTeens Pusat. Semoga potensi yang dianugerahkan Allah, bermanfaat untuk ummah~



Tautan Kasih Ramadhan (Khidmat Masyarakat Edisi Remaja)







02 April 2014

MAWD 2014: Teguhkan Saf, Memimpin Ummah


BANDAR BARU BANGI, 15 Mac: Bertemakan ‘Teguhkan Saf, Memimipin Ummah’, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (Daerah Hulu Langat) telah pun selesai mengadakan mesyuarat agongnya bagi tahun 2014 yang bertempat di Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia (Daerah Hulu Langat), Bandar Baru Bangi.

Mesyuarat yang dihadiri seramai 50 perwakilan ini telah dirasmikan oleh Ketua Wanita IKRAM Negeri Selangor, Prof Madya Dr Roohaida Othman. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan aspek kepimpinan melalui barisan yang kemas dan berdisiplin berdasarkan Surah As-Saff ayat 4. Kepimpinan juga disaran untuk berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan segala amanah demi meraih keredhaan Allah. Selain itu, beliau turut memperingatkan perwakilan tentang perancangan IKRAM bagi tahun 2012-2015 iaitu menjadi rujukan masyarakat, diberi kepercayaan, diterima kepimpinannya dan menjadi jurubicara masyarakat.

28 March 2014

Demonstrasi Mesir: IKRAM Tunjuk Solidariti

KUALA LUMPUR, 28 Mei: Malaysians 4 Egypt - M4E bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan beberapa NGO Islam yang lain, serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah menganjurkan sebuah perhimpunan rakyat Malaysia, berdekatan kedutaan Mesir, bagi membantah tindakan kerajaan keduta Mesir menghukum bunuh seramai 529 penyokong demokrasi di Mesir.

Perhimpunan yang mengumpulkan kira-kira 3000 rakyat Malaysia bermula di kawasan berdekatan Ampang Point, setelah selesai solat Jumaat. Perarakan rakyat ini bergerak sehingga ke kedutaan Mesir di Ampang Hilir.


27 March 2014

Mesir: IKRAM Selangor Anjur Solat Hajat


BANDAR BARU BANGI, 25 Mac: IKRAM Selangor dengan kerjasama IKRAM Hulu Langat telah menganjurkan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Mesir dari terus dizalimi oleh Kerajaan Kudeta Mesir. Ia bertempat di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi.

Masjid Hasanah, tempat didirikan solat hajat perdana ini, telah dipenuhi oleh ahli qariyah masjid dari kalangan penduduk Bandar Baru Bangi, dan juga oleh ahli IKRAM dari seluruh Selangor.

13 March 2014

Wanita IKRAM Selangor Tingkatkan Kesedaran Pengurusan Kewangan


SERDANG, 9 Mac: Wanita IKRAM Negeri Selangor dengan kerjasama Kelab Staf Biotech, Fakulti Bioteknologi & Sains Biomolekul telah menjayakan sebuah program yang bertajuk "Seminar Urus Wang Gaya Muslim Cemerlang" di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Program yang dihadiri rata-rata mahasiswa-mahasiswi dan mereka yang telah berkeluarga ini bermula sekitar jam 9 pagi dengan perasmian oleh YDP IKRAM Sepang, Prof. Dr. Mohd Ali Hassan dan bacaan ayat suci Al-Quran. Slot pertama dimulakan bertajuk "Saya Bijak Urus Wang" telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Nazari B. Ismail.