20 August 2014

Rahsia seorang da'ie 'Hardcore'


Tatkala bertemu orang yang sudah lama berkecimpung dalam dakwah, timbul keluhan kecil dalam hati.
"Macam analah mereka boleh bertahan lama. Aku yang baru beberapa tahun berdakwah pun terasa pancit."
Soalan ini sangat wajar untuk kita renungkan bersama. Bagaimana seseorang itu boleh istiqamah bersama dakwah dan tarbiyah selama bertahun-tahun, menempuh mehnah dan fitnah yang tiba satu demi satu? Adakah disebabkan banyaknya bahan bacaan yang telah dilalui? Ataupun banyaknya usrah yang dibawa? Ataupun hebatnya perancangan hidup yang dibuat dari awal?

Untuk menjawab persoalan ini, Ustaz Muhammad Ahmad ar-Rasyid dalam kitabnya Ar-Raqaiq memberikan formula yang sangat mudah dalam menggarap rahsia istiqamah:
"Pintu istiqamah, adalah mihrab."

Dalam kata lain, pintu istiqamah adalah pintu masjid. Dengan membiasakan diri memasuki pintu masjid, seseorang itu sedang membekalkan diri untuk istiqamah. Nah, sangat mudah bukan? "Takkanlah sesenang itu untuk istiqamah?", bisik hati kecil kita.

Rasulullah s.aw. pernah bertanya kepada para sahabat :
ألا أدلُكم على ما يمحو اللهُ بهِ الخطايا ويرفعُ بهِ الدرجاتِ ؟ قالوا : بلى . يا رسولَ اللهِ ! قال إسباغُ الوضوءِ على المكارهِ . وكثرةُ الخطا إلى المساجِدِ . وانتظارُ الصلاةِ بعدَ الصلاةِ . فذلكمْ الرباطُ 
"Mahukah aku tunjukkan kepada kamu amalan yang dengannya Allah akan menghapus dosa kamu, dan meninggikan darjat kamu?" Para sahabat menjawab, "Mahu, Ya Rasulullah". Baginda bersabda, "Sempurnakan wudhu' walaupun dalam keadaan payah; dan banyakkan langkah ke masjid, dan menunggu solat selepas solat. (Jika mampu lakukan sedemikian) kamu telah tegar dalam melakukan ketaatan, kamu telah tegar dalam melakukan ketaatan." (HR Muslim)
Amalan-amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah dalam hadith di atas nampak mudah, tapi sebenarnya amat sukar dilakukan. Manusia pada hari ini, senang hati untuk melangkah ke kedai makan yang jauhnya berpuluh kilometer, tetapi amat berat untuk melangkah ke surau yang tersergam indah di hadapan rumah. Sangat menepati waktu jika bertemu dengan orang kenamaan, tetapi suka bertangguh-tangguh dalam temujanji bersama Pencipta orang kenamaan tersebut.

Untuk menjadi du'at yang istiqamah dan 'hardcore' (tegar), kita perlu terlebih dahulu menjadi 'abid, yakni hamba yang tegar. Menjadi 'abid yang tegar bermula dengan memberi tumpuan kepada ibadah yang paling asas, iaitu solat fardu yang dilakukan secara berjemaah di masjid. Solat yang dilaksanakan dengan sempurna adalah satu wasilah pembentukan jiwa yang hebat, mengalahkan semua modul-modul latihan ciptaan manusia.

Bayangkan hidup seorang du'at yang menjaga solat. Dia sentiasa peka dengan waktu masuknya solat, sehingga waktu solat menyusun jadual hariannya. Tidak kira apa keadaan sekalipun, lapang ataupun sempit, dia akan cuba sedaya-upaya untuk datang ke masjid. Orang yang sentiasa menepati masa solat akan menepati pula masa kedatangan ke usrah, daurah dan perjumpaan-perjumpaan lain. Bila sudah biasa melawan nafsu malas untuk ke masjid, dia akan mendapat kekuatan untuk melawan alasan-alasan yang mengajaknya untuk lari daripada tanggungjawab dakwah & tarbiyah. Tidak hairanlah jika Rasulullah mengatakan orang yang memperbanyakkan langkah ke masjid mendapat ribat (tegar dalam melakukan ketaatan).

Anda mahu menjadi seorang da'ie yang 'hardcore'? Kembalilah kepada perkara paling asas dalam Islam. Kita sudah diajar sedari awal bahawa solat itu tiang agama. Jika rapuh tiang, maka rapuhlah keseluruhan binaan. Jika tiang itu teguh, binaan turut utuh, dilanda badai tiada roboh.

No comments:

Post a Comment