09 June 2015

Polisi Hijau dan Rendah Karbon IKRAM

Polisi Hijau Dan Rendah Karbon Pertubuhan IKRAM Malaysia

PENDAHULUAN

Firman Allah SWT dalam Surah Al Anbiya’ ayat 107:

"Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam”.

Risalah yang dibawa oleh Ar-Rasul SAW merupakan risalah yang membawa rahmah kepada sekalian alam. Syariat ini memberi jaminan kepada perlindungan dan hak kepada semua makhluk untuk hidup dengan sejahtera di muka bumi ini. Manusia perlu sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada alam ini, yang memerlukan mereka menunaikan hak dan tanggungjawab terhadapnya dan bukan hanya menikmati dan mengeksploitasi segala sumber alam yang diamanahkan itu. Manusia juga perlu disedarkan untuk mengambil tanggungjawab dalam mengubah gaya hidup mereka dan melakukan perubahan yang besar bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada alam ini.

Allah SWT menegaskan di dalam surah Al-Qasas, ayat 77:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan "

Nikmat alam dengan segala sumber semulajadi dan kepelbagaian ekosistem ciptaan Allah SWT untuk kelangsungan hidup manusia dan spesis lain yang terdapat di muka bumi ini sememangnya merupakan sesuatu yang sangat bernilai. Namun demikian, penggunaan sumber alam tanpa kawalan dengan boros dan tamak serta tindakan mengeksploitasi sumber yang ada akan mengakibatkan kehilangan kekal kepada sumber alam ini dan ianya tidak dapat diganti. Tindakan ini akan akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan manusia secara keseluruhan terutamanya kepada generasi akan datang.

Allah SWT mengingatkan kita akan akibatnya dalam Surah Al A’raf, ayat 56:

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Abad ini juga kita telah menyaksikan berlakunya berbagai kejadian bencana, kerosakan dan kemusnahan terhadap alam sekitar akibat dari perbuatan manusia yang merosakkan alam sekitar melalui gaya hidup yang tidak seimbang dan berlebih-lebihan yang hanya mementingkan keuntungan jangka masa pendek semata-mata tanpa mengambil kira interaksi perbuatan mereka dan impaknya kepada alam sekitar.

Deklarasi unggul Allah SWT kepada tanggungjawab memelihara sumber alam dan persekitaran sedia ada dan kegagalan melaksanakan amanah ini dinyatakan dengan jelas melalui firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan."

Menyedari hakikat ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sebagai sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan perlu memainkan peranan memelihara dan mentadbir alam ciptaan Tuhan ini dengan penuh tanggungjawab. Sebagai sebuah gerakan Islam, IKRAM perlu menunjukkan sifat pro-aktif dan memiliki tahap kepedulian yang tinggi terhadap isu-isu pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar. Selaras dengan itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia, menggariskan Polisi Hijau dan Rendah Karbon IKRAM yang bertujuan meningkatkan kepedulian alam sekitar untuk dijadikan panduan kepada semua ahli IKRAM dalam menjalankan akitiviti dan amalan kehidupan harian mereka sejajar dengan tuntutan syariat.

POLISI IKRAM TERHADAP KEPEDULIAN ALAM SEKITAR

1. Setiap ahli IKRAM sebagai individu hendaklah sedaya mungkin mengamalkan amalan gaya hidup hijau dan rendah karbon dalam kehidupan seharian mereka, selaras dengan tuntutan syarak.

2. Setiap aktiviti yang dijalankan oleh IKRAM atau mana-mana institusi dan agensi di bawah IKRAM hendaklah mengambil kira dan memberi perhatian kepada langkah-langkah penjagaan alam sekitar dari peringkat perancangannya lagi, bermula dengan pengurangan sisa buangan yang dihasilkan (reduce), menggunakan bahan-bahan yang boleh diguna semula (reused) dan mengitar semula buangan yang terhasil (recycle).

3. Mengambil langkah-langkah yang praktikal bagi mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang tidak mesra alam sekitar seperti plastik, polisterin dan lain-lain lagi dalam semua aktiviti anjuran IKRAM dan juga dalam setiap pengoperasian pejabat IKRAM, institusi-institusi milik IKRAM dan agensi-agensi berkaitan dengan IKRAM. Setiap pejabat mengadakan program pengasingan sisa buangan untuk tujuan kitar semula dengan menyediakan tong-tong pengasingan sisa.

4. Menjadikan polisi perolehan barangan yang lebih mesra alam (green purchasing policy) dalam setiap pengoperasian pejabat IKRAM, institusi-institusi milik IKRAM dan agensi-agensi berkaitan dengan IKRAM dengan memberi keutamaan kepada perolehan barangan yang lebih mesra alam.

5. Mengamalkan prinsip penjimatan penggunaan tenaga, air dan sumber-sumber lain di setiap operasi pejabat IKRAM dan institusi IKRAM. Penggunaan mentol dan peralatan letrik yang mengandungi ciri penjimatan tenaga, meletakkan suhu penghawa dingin pada suhu tidak kurang dari 24 darjah Celsius dan mereka bentuk penempatan kakitangan bagi memaksimumkan penggunaan cahaya semulajadi adalah antara amalan yang perlu dilaksanakan.

6. Sentiasa menyebarkan dan menyampaikan mesej penjagaan alam sekitar dan kebersihan kepada para hadirin dalam setiap aktiviti anjuran IKRAM dengan mengingatkan kepada hadirin bahawa memelihara dan menjaga alam sekitar serta komponen-komponen yang ada di dalamnya, merupakan suatu kewajipan yang tergolong sebagai satu ibadah yang dituntut oleh syarak.

7. Menyediakan modul topik penjagaan dan kepedulian terhadap alam sekitar dengan menekankan kepada peranan individu itu sendiri, dalam silibus tarbiah, silibus kurikulum di rangkaian sekolah-sekolah MUSLEH dan juga dalam media milik IKRAM.

PENUTUP

Polisi ini adalah terpakai kepada semua ahli IKRAM, pengoperasian pejabat IKRAM di seluruh negara dan aktiviti/program anjuran atau anjuran bersama atau dengan kerjasama IKRAM dan institusi dan agensi-agensi IKRAM.

02 June 2015

Sampai Kiamat, Ku Bukan Buaya Darat

Apakah cara perkahwinan yang difahami oleh mereka yang terdahulu? Biarlah ummul Mukminin, Aishah radiyallahu 'anha yang memberitahu kita:


"Sesungguhnya nikah semasa zaman Jahiliyyah itu ada empat jenis:


Salah satunya, nikah sepertimana pada waktu ini, di mana seorang lelaki pergi kepada lelaki lain dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan jagaannya atau anaknya, maka lelaki tersebut memberikan mahar kemudian dia menikahinya.


Dan nikah yang lain, seorang lelaki memberitahu kepada isterinya ketika dia telah suci, "pergilah kepada si fulan dan adakan hubungan dengannya". Dia akan menjauhi isterinya dan tidak bersama dengannya sehingga telah nyata bahawa isterinya mengandung hasil hubungan dengan lelaki tersebut. Apabila telah nyata bahawa isterinya mengandung, dia akan bersama dengan isterinya jika dia mahu. Dia melakukan sebegini supaya mempunyai anak yang berketurunan mulia. Nikah ini dipanggil nikah istibda'.


Nikah yang lain pula, sebilangan lelaki, kurang daripada 10 orang akan bersama dengan seorang wanita. Apabila wanita itu mengandung dan melahirkan anak, dan telah berlalu beberapa malam selepas dia melahirkan anak, dia akan memanggil lelaki-lelaki tersebut dan tidak ada yang akan menolak untuk datang. Apabila mereka berkumpul disisinya, wanita tersebut akan berkata "kamu tahu apa yang telah kamu buat, dan aku telah melahirkan anak. maka dia adalah anak kamu wahai si fulan!" Dia akan menamakan sesiapa yang dia kehendaki, anaknya akan mengikut lelaki tersebut dan lelaki tersebut tidak menolak.


Dan nikah yang keempat, ramai orang akan datang kepada seorang wanita, dan dia tidak menolak sesiapa sahaja yang datang kepadanya. Mereka adalah para pelacur, yang meletakkan bendera di atas pintu mereka sebagai alamat, dan sesiapa sahaja yang mahu akan mendatangi mereka. Apabila salah seorang daripada mereka mengandung dan melahirkan anak, lelaki-lelaki tersebut akan dikumpulkan dan dipanggil seorang Qafah (orang yang pakar dalam mengenal keserupaan anak dan bapa) dan anak itu akan mengikut lelaki yang ditunjuk, dan akan bersamanya dan dipanggil sebagai anaknya, lelaki itu tidak menolak perkara tersebut.


Apabila diutuskan Muhammad SAW dengan kebenaran, terhapuslah nikah Jahiliyyah kesemuanya, kecuali nikah sepertimana waktu ini."


(Sahih Bukhari, bil. 5127)
 
*************************************

Nikah menurut ta'rifan Aishah ra ialah "seorang lelaki pergi kepada lelaki lain dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan jagaannya atau anaknya, maka lelaki tersebut memberikan mahar kemudian dia menikahinya".



Jika benar ingin menikah dengan seseorang, tidak perlu tunggu lama-lama sehingga lemas dalam 'fasa pengenalan', kerana akhirnya hanya syaitan yang akan dikenal dalam fasa tersebut. Buat sahaja appointment dengan bapanya dan nyatakan hasrat secara ikhlas. Ini lebih gentleman dan menunjukkan sifat keperwiraan, seolah-olah kita sedang mengatakan secara tidak langsung,


"saya bukan buaya darat yang mahu ambil kesempatan terhadap anak pakcik, saya serius mahu menjaga agama saya dan agamanya."


Tapi jika tidak berkenalan, bagaimana seseorang itu tahu jika bakal pasangannya cocok untuk dirinya?

 Sememangnya perlu ada sedikit sebanyak perkenalan dan mencari keserasian sebelum bernikah, tapi ‘perkenalan’ tidak sama dengan ‘keluar berdua-duaan’, ‘saling bergayut’ atau ‘mesra berpegangan’. Cukup dengan menziarahi keluarga, bertanya pandangan daripada teman-teman yang kenal dengannya dan perkara-perkara lain yang sesuai dengan aturan syarak dan tidak menimbulkan bisikan syaitan. 


Lebih-lebih lagi, kerana kita beriman bahawa Allah yang menentukan jodoh kita sejak dari awal.


"..maka ditiupkan ruh kepadanya dan dituliskan untuknya empat kalimat: rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagia." (HR Muslim)


Seorang mukmin, dengan mengetahui hakikat ini, tidak risau dengan siapa yang akan menjadi jodohnya. Yang lebih penting ialah membuat istikharah, berdoa, menghindari maksiat dan bertawakkal kepada Allah agar diberi kebahagiaan. Ketahuilah jika kita menggembirakan Allah, Allah akan menggembirakan kita dengan seribu satu kebaikan.

14 January 2015

BERTEGAS DI DALAM ISU K-POP DAN BUDAYAKAN HIBURAN PATUH SYARIAH

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM) WILAYAH PERSEKUTUAN
14 Januari 2015

Pertubuhan IKRAM Malaysia Wilayah Persekutuan (IKRAM WP) adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam.

IKRAM WP memandang serius dengan insiden yang berlaku semasa Mini Konsert KL-Live Centre oleh TGM Events dan ACER pada 10 Januari 2015 yang lalu. Video perjumpaan bersama peminat B1A4 yang tersebar sejak Sabtu lalu menunjukkan aksi beberapa gadis Melayu berpelukan dengan anggota kumpulan berkenaan. Insiden tersebut adalah sesuatu yang amat memalukan dan tidak boleh dibiarkan berulang.

IKRAM WP menggesa pihak kerajaan dan JAKIM mengambil tindakan yang tegas terhadap penganjur konsert yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan budaya masyarakat di negara ini. Sikap yang tidak bertanggungjawab ini mesti dibendung agar ia tidak berulang.

Di dalam menangani isu-isu sebegini, IKRAM WP menyarankan agar pendekatan yang menyeluruh dan berhikmah diambil yang melibatkan pelbagai pihak sama ada ibubapa, sekolah, masyarakat, kerajaan, tokoh-tokoh masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan. Pendidikan dan tarbiah yang terbaik kepada generasi muda mestilah disediakan dengan penekanan kepada pembinaan syakhsiah.

Suasana dan bi’ah yang positif melalui pendekatan yang proaktif pula mestilah diwujudkan untuk perkembangan sihat generasi muda. Sebagai sebuah NGO dakwah dan tarbiah, IKRAM WP mempunyai modul-modul pembangunan insan yang sedia untuk dimanfaatkan dan telah pun dilaksanakan bersesuaian dengan citarasa generasi muda.
IKRAM WP juga menyeru semua pihak mengambil pendekatan kreatif di dalam menangani kecenderungan golongan muda untuk berhibur di dalam batasan syariah. Hiburan itu tidak salah selagi tidak ada perkara-perkara yang ditegah syariat dan tidak melalaikan.


Akhirnya, IKRAM WP bersedia berkongsi pandangan dan buah fikiran di dalam menyantuni golongan muda dan seterusnya bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan program-program bersesuaian untuk golongan tersebut.

Ahmad Zubair W. Ab Rahim
Pengerusi JK Belia dan Remaja

IKRAM Wilayah Persekutuan