28 February 2011

Mukhayyam: Menawan Puncak Gunung Nuang

HULU LANGAT - Sebuah perkhemahan IKRAM Hulu Langat (HL) untuk Ahli Aktif dan Ahli Teras ikhwah (lelaki) telah diadakan bermula 26 sehingga 27hb Februari 2011. Perkhemahan atau lebih biasa disebut mukhayyam telah dianjurkan oleh JK Tarbiyah daerah. Ustaz Zamri Abd Rahim, Pengerusi JK Tarbiyah daerah HL berkata, objektif mukhayyam adalah untuk meningkatkan tahap disiplin dan ukhuwwah di antara ahli selain dari untuk menawan puncak Gunung Nuang. Berikut ekstrak (yang telah disunting) email salah seorang peserta:


Ekspidisi bermula dari Hospital Pakar An-Nur di Bandar Baru Bangi pada jam 11 pagi hari pertama dengan penyertaan daripada 22 orang ikhwah dan seorang juru arah. Mereka tiba di Kuala Pangsun, Hulu Langat jam 12 tengah hari. Tanpa melengahkan masa, mereka terus makan tengah hari yang dibekalkan dari rumah dengan arahan penganjur program. Selepas taklimat dan pemeriksaan oleh Komandan Dr. Azmi Hassan, semua ikhwah didapati layak untuk meneruskan expedisi ini.

Platoon seramai 23 orang tersebut dipecahkan kepada lima skuadron dengan ketua masing-masing. Makanan dan minuman diagihkan kepada setiap skuadron yang kemudiannya dibahagi-bahagikan kepada ikhwah supaya dimasukkan ke dalam beg galas masing-masing. Setiap ikhwah dibekalkan dengan sebotol air 100 plus dan sebotol besar air mineral. Berat muatan yang harus dipikul mencecah hampir 5kg seorang.

Selepas solat zohor dan pendaftaran dengan pihak Jabatan Perhutanan Selangor Tengah, ekspidisi dimulakan dengan dipandu oleh En. Rosmidi Miswan, juru arah khas yang diimport dari Taman Bangi 3, Bandar Baru Bangi. Destinasi A ialah ke Kem Lolo kurang lebih 5km dari kaki gunung. Jam 2:15 petang, platoon mula bergerak selepas acara memanaskan badan. Jalan tanah liat (trek pacuan 4 roda) yang diselaputi batu kerikil yang menusuk ke tapak kaki jika alas kaki yang tidak bersesuaian.

Perjalanan yang panjang yang tidak berkesudahan, amat mencabar kesabaran dan ketahanan fizikal. Ketika berjalan mendaki terasa degupan jantung semakin kencang dan betis semakin menebal. Lutut dan segala urat sendi semacam ada arus elektrik yang mengalir. Keringat mengalir membasahi baju dan seluar walaupun cuaca sejuk dan nyaman.

Keadaan di sekeliling dengan flora yang berwarna-warni dan fauna yang menghijau sedikit membantu kami melupakan lengoh-lengoh di betis dan kaki kami. Bila sampai di atas, terasa amat lega, justeru kami akan menuruni anak bukit ini. Perjalanan akan lebih senang selepas ini. Bunyi deruman air mengalir semakin kuat memecah kesunyian hutan. Jangkaan kami meleset sekali, selepas selekoh, kami nampak trek itu mendaki jauh lebih tinggi. Subhanallah. Tapi berbekalkan semangat yang jitu dan gurau-senda ikhwah, kami berjaya menempoh satu lagi cabaran. Di sinilah kami merasai kemanisan ikatan ukhuwah bila dalam keadaan kepayahan dan kepenatan sebegini, rakan kita sanggup berkongsi bekalan air dan makanan walaupun ia tahu setiap ikhwah sudah ada bekalan masing-masing. Ini baru permulaan, ikutilah ekspidisi seterusnya.

Pada hari berikutnya, ikhwah IKRAM HL telah berjaya buat pertama kalinya menawan Puncak Gunung Nuang setinggi 4898 kaki (1493 meter) iaitu puncak tertinggi di negeri Selangor. Mereka berjaya sampai di puncak tersebut pada jam 12 tengah hari 27 feb 2011 sekaligus menawan juga Puncak Gunung Pengasih sejam sebelumnya. Sesampai di puncak Gunung Nuang, ikhwah sekalian telah berehat dengan suasana yang penuh nyaman. Ada dari kalangan mereka yang sampai awal telah mula memanaskan makanan untuk makan tengah hari.

Setelah beberapa ketika berada di atas puncak gunung, dan setelah selesai makan tengah hari, kesemua ahli mukhayyam yang berjaya sampai puncak, turun menuju ke tapak perkhemahan. Perjalanan turun mengambil masa yang lebih pendek jika dibandingkan dengan perjalanan mendaki gunung tersebut. Di tapak perkhemahan, ikhwah semua telah bersiap sedia berkemas untuk pulang. Setelah selesai berkemas dan solat zuhur, platoon ini berangkat pulang dengan membawa bekalan pengalaman yang cukup manis ketika menempuh kesusahan bersama-sama ikhwah-ikhwah yang lainnya.

Operasi menawan puncak Gunung Nuang ini telah berakhir pada pukul 9 malam, apabila semua peserta bertolak kembali ke rumah masing-masing, setelah selesai majlis penutup yang ringkas di kaki gunung.

1 comment: