Showing posts with label Tarbiyah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyah. Show all posts

28 September 2014

Tarbiyah didahulukan, usrah diutamakan



"Setiap seorang daripada kita perlu dibetulkan!"

Demikianlah antara mesej penting yang diterapkan kepada para murabbi (pendidik/pemberi tarbiyah) dalam taklimat Pemerkasaan Usrah yang telah berlangsung pada hari Ahad, 28 September bertempat di SRI Al Amin Bangi. Taklimat ini dihadiri oleh ahli-ahli IKRAM dari daerah Hulu Langat, Kajang dan Sepang.



Taklimat ini adalah salah satu initiatif IKRAM yang sentiasa mengambil berat terhadap penerusan dan pemantapan tarbiyah ahli. IKRAM berkeyakinan bahawa tarbiyah menyeluruh yang efektif, yang dilaksanakan melalui sistem usrah, mampu melahirkan individu-individu contoh yang akan menyelesaikan permasalahan ummah berdasarkan ajaran Quran dan Sunnah. 

Para peserta didedahkan dengan aspek-aspek tarbiyah & usrah yang menyeluruh. Tarbiyah sepertimana yang dijelaskan, bukan sekadar majlis ilmu dan pertemuan mingguan, tetapi adalah sesuatu yang diambil serius, di mana pembawa usrah perlu mengambil berat tentang keadaan anak didiknya dan memastikan peningkatan dalam semua bidang, baik dalam ibadah, ilmu, amal dakwah mahupun kesihatan fizikal.

"Tarbiyah ini satu perkara yang besar", ujar seorang peserta di akhir program. "Jika dilaksanakan dengan baik ia mampu menggegarkan dunia".

31 August 2014

Hidayah itu hadiah

                                        

Hidayah itu satu cahaya yang indah, yang menembusi hati dan mengubah jiwa para penerimanya.

Jika ia cahaya yang terang benderang, mengapa tidak ramai yang menemui sinar hidayah? Mengapa ramai di kalangan manusia masih meraba-raba dalam kegelapan?

Dalam nukilan yang ringkas ini kita akan meneliti sifat 'cahaya' itu sendiri, dan kaitannya dengan hidayah.

Allah SWT berfirman:

4:174




"Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu Nur (cahaya) yang jelas" (An Nisa:174)

Allah menerangkan bahawa Dia menurunkan Nur kepada manusia.

Apakah itu Nur? Kita dapati jawapannya dalam ayat yang menerangkan tentang matahari dan bulan:

 10:5

"Dia lah yang menjadikan matahari dhiya' dan bulan sebagai nur, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan kebenaran. Allah menjelaskan ayat-ayatNya satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui" (Yunus:5)

Cahaya matahari disebut sebagai dhiya'. Cahaya matahari itu jelas, terpancar di mana-mana sahaja, sesiapa sahaja dapat melihat cahaya tersebut dengan nyata walaupun tidak memandang matahari secara langsung.

Namun yang dikatakan nur adalah cahaya bulan. Cahaya ini suatu cahaya yang samar-samar bagi kebanyakan orang. Hanya orang yang benar-benar mencari bulan akan nampak cahaya tersebut dengan nyata. Sebaliknya, bagi orang yang memilih untuk duduk dalam rumah, tidak ada beza sama ada anak bulan ataupun bulan purnama yang muncul di langit. Dia tidak dapat menikmati indahnya sinaran bulan penuh yang menggamit jiwa.

Cahaya hidayah adalah cahaya yang terang. Tetapi jika kita hanya duduk-duduk dan berpeluk tubuh, kita tidak akan menjumpai cahaya itu. Perlunya seorang mukmin itu keluar dari kepompong keselesaan, dan berusaha untuk mencari 'bulan purnama' di tengah-tengah kegelapan jahiliyyah.

5:35

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya; dan berjihadlah pada jalan Allah supaya kamu beroleh kejayaan" (Al Maidah:35)

Dan dalam sebuah hadith qudsi:

وإن تقرَّب منِّي شبرًا ، تقرَّبتُ إليه ذراعًا . وإن تقرَّبإليَّ ذراعًا ، تقرَّبتُ منه باعًا . وإن أتاني يمشي ، أتيتُه هَرْولةً

"Dan jika (hambaKu) mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, aku mendekatkan diri kepadanya sehasta; dan jika dia mendekatkan diri sehasta, aku mendekatkan diri kepadanya sedepa. Dan jika dia mendatangiku berjalan, aku mendatanginya dengan berlari" (HR Muslim)

Carilah hidayah, walau lautan terpaksa kau redah.

24 August 2014

“Makhluk itu sentiasa mengintai saya..!”





“Saya takut, encik. Sangat takut.”

Dada Pak Maun turun naik dengan deras, nafasnya berhembus kencang. Kejap-kejapan matanya memandang ke kiri, kemudian ke kanan, seakan-akan ada seseorang, atau sesuatu, yang sedang memburunya.  

“Semenjak saya tahu makhluk ni duk ikut saya, saya jadi tak tenang. Nak keluar rumah, berjaga-jaga. Nak keluar duit, risau. Nak pergi ‘toilet’ pun cuakkkkk!!!!!”, ujar Pak Maun dengan bersungguh-sungguh.
  
Wawancara di atas mungkin lebih sesuai dijadikan bahan utama dalam majalah-majalah seram yang laku di pasaran, bukan dalam sebuah blog yang membicarakan perihal dakwah & tarbiyah. Mungkin anda akan sedikit hairan jika penulis mengatakan bahawa Pak Maun adalah contoh manusia yang telah ditarbiyah dengan baik.

Kenapa pula?

Masyarakat di negara ini terkenal sejak zaman purbakala dengan ketakutan kepada makhluk halus. Sehingga ke hari ini, majalah-majalah mistik dan seram dijual walaupun di sekecil-kecil kedai runcit. Filem-filem seram picisan yang tidak menambahkan nilai moral dan intelek dihasilkan saban tahun. Setiap penyakit yang tidak dapat dijelaskan sebab-sebabnya secara automatik disandarkan kepada ‘gangguan’ atau ‘buatan orang’. Semua ini menggambarkan kuatnya ‘iman’ sebilangan masyarakat Islam di negara ini kepada ‘al-ghaib’, yang difahami sebagai makhluk menakutkan yang tidak dapat dilihat.

Ketakutan ini mampu mencapai tahap yang melampau-lampau, sehingga takut kepada makhluk ini melebihi takut kepada Pencipta makhluk. Pelik bukan! Kalaulah iman kepada perkara ghaib ini dapat dihalakan kepada perkara-perkara yang benar, yakni

Takut kepada pengawasan Allah,

Takut dicatat oleh malaikat pencatat,

Takut datangnya malaikat maut pada bila-bila masa,

Kita pasti akan melihat satu perubahan yang besar pada manusia di negara ini. Pegawai-pegawai takut untuk mengambil rasuah walaupun di ceruk yang paling tersorok. Pengurus kewangan akan sangat berjaga-jaga, dari mana sumber wang dan ke mana ia dibelanjakan. Orang ramai akan berhijrah daripada kepercayaan karut yang menumpulkan akal dan hati, kepada kepercayaan yang berteraskan iman, yang berlandaskan al-haq kerana hati-hati mereka hanya takut kepada Allah dan mereka hanya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Muraqabah (merasai pengawasan Allah) lebih penting lagi buat para du’at yang mengaku membawa risalah kebenaran. Tarbiyah ini pada asasnya tidak lain daripada tarbiyah imaniyah, dan para du’at umpama  para pekebun yang menanam benih-benih iman dalam tanah yang kontang. Benih itu menumbuhkan pohon yang teguh, akarnya mencengkam jauh ke dalam bumi. Pohon ini tidak tertumbang dek taufan, tidak kering dek teriknya pancaran dan tidak lemas ditenggelamkan hujan.

Iman adalah pencetus kepada semua perkara lain. Iman akan memastikan komitmen seseorang kepada tarbiyah walaupun dia seorang diri. Ia akan melindungi seseorang daripada dualisme, menjadi malaikat di hadapan manusia dan menjadi syaitan di belakang mereka.

Sejuta patah perkataan tidak dapat menggambarkan pentingnya tarbiyah keimanan ini. Jagalah iman kita dan beri penekanan yang tinggi kepada pembentukan iman pada sasaran-sasaran dakwah kita. Iman yang benar kepada perkara ghaib adalah ciri khusus orang-orang yang bertakwa:
"Itulah Al-Kitab, tidak ada sebarang syak padanya; ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Al Baqarah : 2-3)

Insyaallah suatu hari akan lahir ramai lagi ‘Pak Maun’ yang merintih: “Takut nak buat maksiat, Allah sedang mengintai saya…!!”

05 November 2013

Ucapan YDP IKRAM HL Sempena Awal Muharram 1435H



IKRAM Hulu Langat mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah kepada semua warga Bangi, Bandar Baru Bangi, Bandar Seri Putra, dan Bandar Bukit Mahkota,serta kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.

04 October 2013

Perkhemahan Ahli Aktif Wanita Tiga Daerah


HULU LANGAT, 29 September: Sekreteriat Mukhayyam (Perkhemahan) IKRAM gabungan tiga daerah IKRAM (Kajang, Hulu Langat dan Sepang) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Ahli Aktif bertempat di Kem Lubok Manggis, Hulu Langat. Program yang melibatkan 50 orang peserta ini bermula pada malam Jumaat, 27hb September dan tamat pada tengahari Ahad, 29 September 2013. Dengan bertemakan Tadabbur Alam, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sedari awal program sehingga ke penghujungnya – baik indoor mahupun outdoor, serta memenuhi tuntutan fizikal, minda dan rohani.


21 November 2011

Risalah Mursyid: Apa Lagi Selepas Haji?

Oleh Dr. Muhammad Bad'i, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin

Segala puji bagi Allah Rabbil-‘alamin, selawat dan salam ke atas Rasulullah dan mereka yang mengikutinya serta mendokongnya.

Kejayaan Ummah Terletak Pada Ketaatan Yang Berterusan

Sesungguhnya antara tanda haji mabrur ialah muslim yang menunaikan haji itu terus istiqamah selepas hajinya. Dia tetap iltizam dalam ketaatannya kapada Tuhannya dan dia menjadi lebih baik daripada sebelumnya, itulah tanda ibadahnya diterima. Seorang salaf berkata: “Tanda mabrurnya haji ialah bertambah kebaikan selepasnya dan tidak mengulangi maksiat sekembalinya.” Al-Hasan al-Basri berkata: “Haji mabrur ialah dia kembali dalam keadaan zuhud di dunia, cinta kepada akhirat.”

Imam al-Banna berkata: “Alangkah besarnya keagongan Rububiyyah! Alangkah hebatnya kelebihan Uluhiyyah! Allah melimpahkan kurniaNya ke atas hamba-hambaNya, Dia mengundang mereka datang ke ‘rumah’Nya yang suci untuk mengampunkan dosa-dosa mereka, mensucikan hati-hati mereka, melipatgandakan pahala untuk mereka, membaharui ruh-ruh mereka, dan memberikan mereka limpahan kurnia yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia!”

Demikianlah, muslim yang mengerjakan haji pulang seperti hari dia dilahirkan ibunya untuk memulakan lembaran baru, kehidupan yang suci, bersih, tidak tercemar. Dia membawa tenaga baru yang hebat untuk melangkah ke medan kejayaan dalam hidupnya bersama Tuhannya, dirinya dan manusia. Itulah perkembalian yang terpuji dengan istiqamah yang tetap dan berterusan.

Rasulullah s.a.w. ditanya: “Apakah amalan yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Iman kepada Allah dan RasulNya.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab lagi: “Kemudian jihad fi sabilillah.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: “Kemudian haji yang mabrur.” (Al-Bukhari dan Muslim).

Haji mabrur ialah haji yang tidak diikuti dengan maksiat kepada Allah.

Keperluan Umat Kepada Talbiah Yang Berterusan

Talbiah ialah cetusan suara roh. Ia bukan sekadar luahan lisan. Malah ia diterjemah oleh perbuatan.

لبيك اللهم لبيك

Ungkapan suci yang terpancar dari hati, menyahut seruan Allah berterusan sepanjang tahun. Mengisytiharkan janji setianya, ketulusan matlamat hidupnya, merentasi kepayahan, rintangan dan kepenatan kerana cinta dan rindu kepada Allah. Muslim yang menunaikan haji memulakan langkah mengislah diri menjauhi fasad, fujur (kejahatan), ilhad (mengingkari kewujudan Tuhan), ibahiyyah (free sex), kezaliman, menceroboh ke atas hak-hak orang lain, keganasan dan usaha yang boleh mendatangkan kemusnahan kepada apa saja. Maka segala puji, ni’mat dan kerajaan hanya milik Allah Yang Esa semasta-mata. Bukan milik mana-mana kekuatan meskipun kelihatan begitu gah sekalipun.

Sesungguhnya talbiah merupakan dendangan kemuliaan yang merupakan tuntutan revolusi umat Arab masa kini; "Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman" (al-Munafiqun, 63:8). Ia merupakan selogan kemegahan bagi tanah air yang sedang melangkah menuju kebangkitan; "Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." (Aali Imran, 3:139). Ia adalah laungan harapan bagi mereka yang beramal dan berjihad "dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman" (ar-Rum, 30:47).

Imam al-Banna pernah menukilkan kesan dendangan ini dalam membentuk hidup bahagia: "Alangkah indahnya apabila kelopak hati mukmin berkembang menerima seruan dari Yang Maha Tinggi, sebagaimana kelopak bunga berkembang indah apabila menerima titisan air embun! Lalu ia menjadi mekar bahagia… setiap ketika terpantul dari lubuk hati kalimah suci لبيك اللهم لبيك"

Seandainya umat merealisasikan makna talbiah, Allah menjamin akan menolongnya. Dia akan hancurkan singgahsana kebatilan sebagaimana yang kita saksikan sekarang, satu persatu hancur bergelimpangan dengan izin Allah, iaitu ketika mana rakyat menghayati talbiah dan bersumpah akan tetap cekal menghadapi kezaliman dan kerosakan. Maka umat telah membuktikan dengan menghulurkan syuhada’dan para pejuang yang terluka di Mesir, Tunisia dan Libya. Dan esok sedang menanti giliran di Yaman dan Syria dengan izin Allah.

Kesatuan Umat Islam Harapan Seluruh Insan

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka." (al-Hajj, 22:27-28).

Haji merupakan muktamar Islami yang besar, manifestasi iman yang gemilang yang disertai oleh pelbagai bangsa, puak, suku, lapisan pada satu masa, di tempat yang sama, mengalunkan kata-kata yang sama, melaksanakan amalan yang sama, menghadap ke matlamat yang satu, iaitu mengisytiharkan ubudiyyah, perhambaan dan kesetiaan kepada Allah Yang Esa. Itulah risalah, misi yang berpanjangan setiap tahun: kamu adalah kekuatan dengan kesatuan kamu, kamu adalah kekuatan dengan tautan hati kamu. Maka atas dasar apa kamu berpecah?

Sesungguhnya telah tiba masanya sekarang untuk kamu realisasikan kewajipan kamu yang paling berharga yang termaktub di dalam firman ini (maksudnya): "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Aali Imran, 3:103)

Berwaspadalah kamu dari tipu daya musuh kamu. Mereka amat maher menggunakan senjata pecah belah dan berpuak-puak di kalangan kamu, yang sangat cekap menyebarkan perkara-perkara karut yang boleh melemahkan umat kita, mereka cuba mengalihkan matlamat, menimbulkan isu budaya, penjajahan bentuk baru dan berbagai-bagai slogan yang manakutkan. Jika kamu tidak berpegang teguh pada prinsip kesatuan dan iltizam di dalam satu saf, maka kamu akan ditimpa azab sebagaimana yang menimpa orang sebelum kamu, "Katakanlah: 'Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain'. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya." (al-An’am, 6:65)

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir r.a., apabila turun ayat ini baginda s.a.w. berkata: "Aku berlindung dengan WajahMu".

Sesungguhnya kesatuan umat hari ini merupaka satu harapan selepas kita melihat bagaimana haji menggugurkan sempadan antara negara-negara, bahkan antara benua-benua, sempadan yang dicipta oleh manusia-manusia yang tamak, mementingkan diri dan individualistic. Sesungguhnya haji bukan saja membuatkan kita merasai kesatuan dunia Islam semata-mata, malah ia membuatkan kita merasai kesatuan bumi ini, kesatuan manusia dan kemanusiaan. Semasa haji wadak, Rasulullah s.a.w. telah mengisytiharkan secara jelas dan nyata dasar kebebasan, persamaan dan keadilan. Baginda menyeru: “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu dan bapa kamu satu. Ketahuilah bahawa tiada kelebihan bagi Arab ke atas ‘Ajam, dan tiada kelebihan bagi ‘Ajam ke atas Arab. Tiada kelebihan bagi merah ke atas hitam dan tiada kelebihan bagi hitam ke atas merah kecuali dengan taqwa.” (al-Baihaqi). Baginda juga mengisytiharkan pengembalian hak wanita, kedudukan dan kehormatannya. Tegasnya, ia merupakan perisytiharan hak asasi manusia serta kemuliaan mereka, “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram ke atas kamu sebagaimana haramnya hari ini, di bulan ini dan di negeri ini!” (Muslim). Bilakah dunia akan sedar bahawa botol ubat untuk menyelamatkan dunia ada pada Islam yang merupakan system hidup dan penyelesai kepada semua permasalahan?

Sayyid Qutub pernah menukilkan tentang haji dan apa yang tersirat di sebaliknya: “Haji merupakan muktamar untuk bertaaruf, bertasyawur (mesyuarat), menyelaraskan langkah, menyatukan kekuatan, bertukar-bertukar pengalaman, barang dagangan, percubaan-percubaan dan mengatur urusan dunia Islam yang satu, yang lengkap dan melengkapkan sekali dalam setahun.”

Maka adakah umat telah memetik buah manfaat haji dalam kesatuan yang syumul dengan menggabungkan semua kekuatannya, mengumpulkan segala persediaannya dan menghimpunkan segala potensinya untuk membina kemajuan, memacu kebangkitan sebagai persediaan untuk memikul amanah dan menegakkan risalah? Sesungguhnya haji, selain ia merupakan satu ibadah dan taqarrub kepada Allah, padanya manfaat kemasyarakatan, kebudayaan, ekonomi, politik dan pendidikan. Ia merupakan saham besar dalam membina watan, meningkatkan kesedaran umat, menyelesaikan permasalahan, mengaktifkan pergerakan dan memantapkan halatujunya.

Janji Bersama Allah Yang Kukuh

Sesungguhnya Imam a-Banna telah menyimpulkan kewajipan umat selepas haji dalam ucapannya kepada rombongan haji: “Wahai saudara-saudara, sesungguhnya kita sekarang berada di negeri haram, di hadapan Baitillahil-haram, zamzam dan Maqam Ibrahim. Kita berjanji kepada Allah dengan janji yang kukuh bahawa kita akan memikul beban jihad dan pengorbanan dalam menegakkan prinsip Islam yang tinggi dan ajarannya yang murni. Kita akan perangi dengan izinNya semua bid’ah dan khurafat yang diserapkan ke dalam agama kita yang dibina di atas dasar tauhid yang benar. Itulah fikrah yang sejahtera. Sesiapa yang merasinya, dia akan mengecapi kemanisan iman dan dia termasuk orang yang diterima di sisi Allah.

Ketahuilah bahawa kebahagian muslimin tidak akan terlaksana dan tidak akan berlaku kecuali dengan mereka menjadikan al-Quran al-Karim sebagai dustur (perlembagaan) dan undang-undang mereka. Ambil daripadaku kalimah ini: sesungguhnya Allah tidak menolong kaum yang fasiq yang meninggalkan agama mereka dan mengikuti jalan syaitan yang direjam. Pada hari kita kembali ke pangkuan al-Quran dan as-Sunnah, hari itu kita akan melihat pertolongan Allah tegak di hadapan mata kita kerana itu adalah janji daripada Allah. Dan janji Allah itu benar. Dia tidak memungkirinya. Bacalah firmanNya: “dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (ar-Rum, 30:47)

Dan aku mengingatkan kamu wahai Ikhwan, kamu yang memikul dakwah ini, kamu berusaha menyebarkannya, kamu berkorban waktu, harta dan tenaga di jalannya, terutama pada masa kini, dengan apa yang telah ditegaskan oleh Imam al-Banna di tanah suci jalan-jalan yang menjamin kejayaan dakwah kamu. Beliau berkata: “Yang aku maksudkan bahawa dakwah Ikhwan Muslimin ialah dakwah yang ikhlas kerana Allah sejak hari pertama ia ditubuhkan. Ia diasaskan di atas taqwa kepadaNya, bersandarkan kepada keagonganNya. Inilah dakwah yang aku yakin untuk berjaya mesti ada dua perkara asas:

Pertama: kebersihan orang yang mendokongnya, kesucian jiwa mereka sehingga mereka layak menerima bantuan dan pertolongan daripada Allah Tabaraka wa Ta’ala

Kedua: hubungan hati-hati ini dengan da’i awwal s.a.w., hubungan ruhi yang kuat yang membawa kepada berpegang teguh dan mengikuti sunnahnya. Tidak akan baik akhir umat ini melainkan dengan apa yang membaikkan awalnya.

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Wahai Tuhanku, maka saksikanlah.

Selawat dan salam ke atas Rasulullah, Allah Maha Besar dan segala puji bagiNya

10 November 2011

Nasionalisme Pemecah Kesatuan Ummah

Oleh Ustaz Wan Ahmad


Ada sebuah ayat di dalam Al-Qur'an yang mengisyaratkan bahwa suatu masyarakat sengaja menjadikan "berhala" tertentu sebagai jambatan penghubung antara satu individu dengan individu lainnya. Sebegitu rupa "berhala" itu diagungkan sehingga para anggota masyarakat yang "menyembahnya" merasakan tumbuhnya semacam "kasih-sayang" di antara mereka.

04 November 2011

Madrasah Zulhijjah

Oleh Ustaz Wan Ahmad

Kita ketika ini telah memasuki bulan Zulhijjah 1432 H. Ini bermakna sudah dua bulan kita keluar dari Madrasah Ramadhan dan kini masuk pula untuk mendapatkan tarbiyah Allah SWT yang lain, iaitu Madrasah Zulhijjah.

Mengapa ia disebut Madrasah Zulhijjah? Ini adalah kerana pada bulan ini ada tiga ibadah besar yang sarat dengan nilai-nilai tarbiyah iaitu :

  • Haji.
  • Solat Aidil Adha.
  • Qurban.
  • Di samping itu ada pula ibadah sunnah muakkad bagi yang tidak menunaikan fardhu haji iaitu Puasa Hari Arafah.

Oleh yang demikian kita semua dituntut untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi bulan Zulhijjah ini sehingga ketika ianya datang menemui kita, kita telah bersiap sedia dengan amal-amal di bulan ini sekaligus mengambil nilai-nilai tarbiyah yang ada di dalamnya.

28 February 2011

Mukhayyam: Menawan Puncak Gunung Nuang

HULU LANGAT - Sebuah perkhemahan IKRAM Hulu Langat (HL) untuk Ahli Aktif dan Ahli Teras ikhwah (lelaki) telah diadakan bermula 26 sehingga 27hb Februari 2011. Perkhemahan atau lebih biasa disebut mukhayyam telah dianjurkan oleh JK Tarbiyah daerah. Ustaz Zamri Abd Rahim, Pengerusi JK Tarbiyah daerah HL berkata, objektif mukhayyam adalah untuk meningkatkan tahap disiplin dan ukhuwwah di antara ahli selain dari untuk menawan puncak Gunung Nuang. Berikut ekstrak (yang telah disunting) email salah seorang peserta: