03 May 2011

Al-Qur'an Sebagai Panduan Hidup


Oleh: Saudara Shaffie Mokhtar

Sesungguhnya Allah Yang Maha Esa telah menurunkan kitab suci Al-Qur'an kepada umat manusia sebagai satu kitab panduan yang dengannya manusia seharusnya berpegang supaya kehidupan ini sentiasa di dalam jalan kebenaran. Bermula saat ianya diwahyukan sehingga ke saat pengadilan kelak, kitab suci ini akan kekal sebagai satu-satunya kitab panduan bagi umat manusia yang isi kandungannya tidak sedikitpun ada kekurangan maupun tokok tambah walau sebiji hurufpun. Bagaimana ini mungkin terjadi, kerana ianya merupakan suatu mukjizat yang dijamin Allah akan keasliannya sehinggalah ke hari Kiamat. Bagi yang membaca apa lagi yang menghafaz, disediakan ganjaran yang cukup besar untuk bekalan di hari muka kelak.

(1) Diberi ganjaran pahala mengikut setiap huruf yang dibacanya dengan balasan pahala yang berlipat kali ganda

Dari Abdullah bin Mas'ud RA, katanya Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
"Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah(al-Quran), maka dia akan memperolehi pahala satu kebajikan dan setiap satu pahala itu digandakan sepuluh kali. Aku tidak mengatakan bahawa Alif, Lam, Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu adalah satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Riwayat At-Tirmizi dan Ad-Darimi)
(2) Berada dalam rahmat Allah

Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
"Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperolehi ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yang di langit)." (Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud)
(3) Dianggap sebagai keluarga kesayangan Allah

Dari Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga yang terdiri daripada makhluk manusia." Lalu Rasulullah ditanya: "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah s.a.w.?" Jawab baginda: "Mereka adalah keluarga Allah dan orang istimewa bagi-Nya." (Riwayat Ahmad,Ibnu Majah,Ad-Darimi,Al-Hakim dan An-Nasaie)
(4) Al-Quran sendiri akan memberi syafaat kepada pembaca dan penggemarnya di hari kiamat

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA katanya: Aku mandengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat bagaikan pemberi syafaat kepada tuannya." (Hadis riwayat muslim)
(5) Syafaat 10 anggota keluarga ke syurga

Dari Ali bin Abu Talib KWH, katanya Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) :
"Barang siapa membaca al-Quran dan menghafalnya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberi hak syafaat kepadanya untuk sepuluh anggota keluarganya, mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk syurga." (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi)
Bagi yang membaca, rasanya ramai dari kalangan kita sudahpun beramal dengannya, tetapi bagaimana pula dengan menghafaz? Yang berkeluarga, harapan diletakkan kepada anak-anak supaya ada di kalangan mereka yang menjadi seorang hafiz. Tidak terlambat rasanya jika kita sendiri berusaha ke arah yang sama. Mungkin jalan yang akan ditempoh mengambil masa yang agak panjang disebabkan faktor usia, namun biarlah Allah menilainya atas usaha dan niat ikhlas kita. Semoga kita berusaha bersungguh-sungguh.

Wallahu a'lam.

1 comment:

  1. Assalamualaikum.

    Ana merupakan pelajar IPT yang sedang bercuti semester sehingga bulan September ini. Sekadar bertanya, bagaimana ana boleh menyertai usrah atau program anjuran IKRAM hulu langat? harap dapat disertakan nama akhawat untuk dihubung. jazakumullahu khairan :)

    ReplyDelete