04 November 2011

Madrasah Zulhijjah

Oleh Ustaz Wan Ahmad

Kita ketika ini telah memasuki bulan Zulhijjah 1432 H. Ini bermakna sudah dua bulan kita keluar dari Madrasah Ramadhan dan kini masuk pula untuk mendapatkan tarbiyah Allah SWT yang lain, iaitu Madrasah Zulhijjah.

Mengapa ia disebut Madrasah Zulhijjah? Ini adalah kerana pada bulan ini ada tiga ibadah besar yang sarat dengan nilai-nilai tarbiyah iaitu :

  • Haji.
  • Solat Aidil Adha.
  • Qurban.
  • Di samping itu ada pula ibadah sunnah muakkad bagi yang tidak menunaikan fardhu haji iaitu Puasa Hari Arafah.

Oleh yang demikian kita semua dituntut untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi bulan Zulhijjah ini sehingga ketika ianya datang menemui kita, kita telah bersiap sedia dengan amal-amal di bulan ini sekaligus mengambil nilai-nilai tarbiyah yang ada di dalamnya.


Ibadah Haji

Ketika ini, sebahagian dari saudara-saudara kita yang menunaikan ibadah haji telah berada di tanah suci. Inilah rangkaian ibadah yang memiliki kandungan sejarah tarbiyah yang luar biasa. Ini agar manusia mengambil pelajaran yang tidak ternilai dari sana dan ia bukan hanya bagi mereka yang sudah dipanggil oleh Allah untuk menunaikannya, tetapi juga bagi kita yang belum berkesempatan melaksanakan rukun Islam yang kelima tersebut.

Di antara pelajaran yang begitu jelas dari ibadah haji ialah; "Deklarasi persamaan darjat manusia di dalam Islam". Islam bukanlah agama yang mempertahankan atau mendukung diskriminasi atau dasar warna kulit dan suku bangsa. Allah tidak membezakan manusia dari segi :

  • Hartanya.
  • Kemasyhurannya.
  • Jawatannya.
  • Kekuasaannya.

Oleh kerana itu, berkumpullah jutaan manusia di Masjidil Haram di mana mereka semuanya setara dan semuanya bercampur baur menjadi satu sebagai hamba Allah yang tidak ada bezanya antara presiden dan rakyat biasa, ataupun direktor dan petani desa. Bahkan ketika berihram, sekaya dan setinggi manapun jawatan seseorang, mereka semua sama iaitu hanya berbalut kain ihram putih yang tidak berjahit.

Kita pun, yang tidak berada di Masjidil Haram, sepatutnya sedar akan hakikat nilai manusia di hadapan Allah SWT. Mereka semua sama. Yang membezakan dan membuat seseorang lebih mulia daripada lainnya adalah ketaqwaannya.
"Sesungguhnya manusia yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa." (al-Hujurat, 49:13)
Hakikat ini sepatutnya tertanam kuat dalam jiwa kita dan menjadi titik tolak untuk kita terus meningkatkan ketaqwaan kita. Sementara ramai orang yang mengumpulkan bekalan untuk kehidupan dunianya, Allah SWT menunjukkan pula kepada kita untuk mempersiapkan sebaik-baik bekalan, iaitu taqwa.
"...Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa..." (al-Baqarah, 2:197)
Selain nilai tarbiyah di atas, haji juga sarat dengan perjuangan sejarah Nabi Ibrahim dan keluarganya :

  • Ka’bah merupakan tempat ibadah yang pertama kali dibangun oleh Nabi Ibrahim. Ia merupakan simbol ketauhidan dan ke arahnyalah umat Islam berkiblat dalam solat.
  • Sai’e mengingatkan kita akan usaha dan ikhtiar yang serius isteri Nabi Ibrahim, Siti Hajar, dalam usaha membangunkan semula ketauhidan.
  • Melontar jumrah juga merupakan simbol penentangan terhadap syaitan yang telah dicontohkan oleh Nabi Ibrahim AS sehingga ke kiamat nanti, statusnya tidak akan pernah berubah iaitu syaitan adalah musuh yang nyata bagi orang-orang yang beriman.

Selain dari itu, semua amalan-amalan dalam ibadah haji merupakan kepatuhan dan ketundukan yang total kepada Allah swt sebagai pembuat syariat. Bagaimana petunjuk Allah dalam beribadah, maka begitulah juga kita mesti mengerjakannya. Bagaimana perintah Allah kepada orang-orang yang beriman, maka begitu pulalah ia mesti bersikap "sami'na wa atha'na" (kami dengar dan kami patuh).

Dengan yang demikian ibadah haji menjadi ibadah yang sangat berat kerana selain menyediakan pembiayaan yang sangat besar dan memerlukan fizikal yang kuat, keadaan ruhiyah juga mesti terjaga selama ibadah ini ditunaikan.

Maka, seiringan dengan beratnya kombinasi dari ibadah 'qalbiyah', ibadah 'badaniyah' dan ibadah 'maliyah' ini, Allah telah menyediakan balasan yang luar biasa pula;
"Haji yang mabrur, tidak ada balasannya kecuali syurga" (HR Bukhari dan Muslim)
Memperbanyakkan Amal Ibadah 10 Hari Pertama Zulhijjah

Jadi, bagaimana dengan kita yang di bulan Zulhijjah 1432H ini belum mampu menunaikan haji? Masih ada banyak kesempatan amal untuk kita kerjakan. Bagi kita yang tidak menunaikan hajipun, kesempatan emas tetap terbuka untuk meraih banyak keutamaan di bulan Zulhijjah. Memperbanyakkan ibadah pada tanggal 1 Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah merupakan pilihan yang bijak kerana banyak hadits yang menjelaskan keutamaannya. Ibadah itu boleh berupa:

  • Memperbanyakkan sedekah.
  • Berzikir.
  • Tilawah Al Qur’an.
  • Amal Soleh lain.

Rasulullah SAW bersabda :
"Tidak ada hari-hari di mana amal soleh lebih disukai oleh Allah Azza wa Jalla dari pada hari-hari ini, yakni hari pertama hingga kesepuluh Zulhijjah." Para shahabat pun bertanya, "Ya Rasulullah, meskipun dibandingkan dengan berjihad fi sabilillah?" Baginda menjawab, "Memang, meskipun dibandingkan dengan berjihad fi sabilillah, kecuali seorang yang pergi membawa nyawa dan hartanya, kemudian tidak satu pun di antara keduanya itu yang kembali (mati syahid)" (HR Jamaah kecuali Muslim dan Nasai’e)
Dalam hadits yang lain, Rasulullah SAW bersabda :
"Tidak ada hari-hari yang dianggap lebih agung oleh Allah swt dan lebih disukai untuk digunakan sebagai tempat beramal sebagaimana hari pertama hingga kesepuluh Zulhijjah ini. Oleh keranan itu, perbanyakkanlah pada hari-hari itu bacaan tahlil, takbir dan tahmid." (HR Ahmad)
"Tidak ada hari-hari yang lebih disukai Allah untuk digunakan beribadah sebagaimana halnya hari-hari sepuluh Zulhijjah. Berpuasa pada siang harinya sama dengan berpuasa selama satu tahun dan solat pada malam harinya sama nilainya dengan mengerjakan solat pada malam lailatul qadr." (HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Baihaqi)

Puasa Hari Arafah

Puasa ini disunnahkan bagi kita yang tidak mengerjakan haji. Adapun bagi mereka para jamaah haji, mereka tidak dibenarkan untuk berpuasa kerana ketika itu mereka perlu wukuf di Arafah. Dengan yang demikian, keutamaan hari Arafah boleh dinikmati samada oleh orang yang sedang berhaji mahupun yang tidak berhaji.

Keutamaan puasa Arafah ini diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA (terjemahan gambar):
Rasulullah saw pernah ditanya tentang puasa hari Arafah, baginda menjawab, "Puasa itu menghapus dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya" (HR Muslim)
Subhanallah!! Sungguh luarbiasa. Mendengar keutamaan puasa Arafah ini, dapat kita fahami bahwa pada hari Arafah itu, ramai orang yang dibebaskan oleh Allah SWT dari siksa neraka.
“Tidak ada satu hari yang pada hari itu Allah membebaskan para hamba dari api neraka yang lebih banyak dibandingkan hari Arafah." (HR Muslim)
Solat Eidul Adha

Amal khusus di bulan Zulhijjah berikutnya adalah Solat Aidil Adha. Jumhur ulama’ menjelaskan bahwa hukumnya sunnah muakkad dan ada beberapa ulama’ yang berpendapat hukumnya wajib. Jika pada Solat Aidil Fitri disunnahkan makan terlebih dahulu sebelum berangkat ke tempat solat, maka Solat Aidil Adha adalah kebalikannya iaitu disunnahkan makan setelah Solat Aidil Adha.

Berkorban
Amalan lain yang sangat istimewa dan khusus di bulan Zulhijjah ini adalah qurban. Ibadah korban ini juga sarat dengan nilai tarbiyah. Bahkan sejarah disyariatkannya qurban pada masa Nabi Ibrahim AS adalah sejarah:

  • Pengorbanan.
  • Ketaatan.
  • Proses pewarisan di dalam keluarga muslim.

Kita sekarang tidak diperintahkan untuk menyembelih "Ismail-Ismail" kita, tetapi boleh menyembelih kambing, biri-biri, lembu dan unta sebagai bentuk ketaatan dan pengorbanan kita kepada Allah swt. Keutamaan qurban adalah sebagaimana yang disebutkan dalam hadits berikut:
"Tidak ada amalan yang diperbuat manusia pada Hari Raya Qurban yang lebih dicintai oleh Allah selain menyembelih haiwan. Sesungguhnya haiwan kurban itu kelak pada hari kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulu dan kuku-kukunya. Sesungguhnya sebelum darah kurban itu mengalir ke tanah, pahalanya telah diterima Allah. Maka tenangkanlah jiwa dengan berqurban" (HR Tirmizi)
Begitulah amal-amal khusus sepanjang bulan Zulhijjah. Semoga Zulhijjah 1432 ini semakin mendekatkan kita kepada Allah SWT sehingga kita memperolehi ridha, rahmat dan keampunanNya beserta harapan untuk bertemu Allah swt kelak di syurgaNya.

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami mengisi 10 hari yang terbaik di bulan Zulhijjah ini dengan amal-amal yang dicintai olehMu sehingga kami mendapat kelebihan dan ganjaran yang besar yang disediakan untuk mereka-mereka yang melaksanakan amal dengan penuh ketaatan dan kesabaran.

Ameen Ya Rabbal Alameen

No comments:

Post a Comment