31 October 2011

Perlawanan Ukhuwwah Kajang-HL

UNITEN, BANGI - Beberapa perlawanan ukhuwwah bola sepak di antara IKRAM Kajang dan IKRAM Hulu Langat (HL) telah diadakan di stadium UNITEN pada 29 Oktober 2011. IKRAM Kajang telah menjadi tuan rumah kepada acara yang berlangsung dari jam 8 pagi sehingga 11 pagi tersebut. Jika perlawanan di antara IKRAM HL dan IKRAM AJ pada 26 Oktober yang lalu hanya ada kumpulan pemuda, acara kali ini dianjurkan dengan empat kategori; Remaja (16-18 tahun), IPT (19-25 tahun), Belia (26-35 tahun) dan Senior (36 tahun ke atas).

Perlawanan di antara IKRAM HL dan IKRAM Kajang dalam kesemua kategori telah mendapat sambutan yang baik dari kedua-dua belah pihak. IKRAM Kajang telah memenangi kesemua kategori yang dipertandingkan kecuali kategori belia, yang mana IKRAM Hulu Langat telah memberikan pertentangan yang cukup hebat dari kumpulan Belianya. Keputusan daripada perlawanan adalah seperti berikut (mengikut kategori):
  • Remaja: Kajang (2) vs Hulu Langat (0)
  • IPT: Kajang (2) vs Hulu Langat (0)
  • Belia: Kajang (0) vs Hulu Langat (2)
  • Senior: Kajang (2) vs Hulu Langat (0)

Perlawanan bola sepak ukhuwwah ini telah berjaya menarik ramai golongan veteran IKRAM untuk turut serta. Di antaranya akh Sobirin, akh Roslan, Dr. Azmi, akh Murad, akh Khairuddin, akh Mahathir dan bahkan ramai lagi yang tidak disebutkan nama*.

Pada sebelah malam pula, Pemuda IKRAM dari kalangan pelajar IPT telah menyambung perjuangan dengan qiyamullayl di surau Abdul Rahman bin Auf, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

IKRAM berusaha untuk merealisasikan cita-cita membangunkan dan membentuk individu-individu muslim yang lengkap ciri-cirinya melalui program-program anjurannya. Dalam konteks ini ia bertujuan menggalakkan para ahli IKRAM untuk mempunyai tubuh badan yang kuat (qawiyul jismi). Terdapat sepuluh ciri individu muslim yang dicita-citakan IKRAM, iaitu individu yang mempunyai;
  1. Aqidah yang sejahtera
  2. Ibadah yang sahih
  3. Akhlak yang mantap
  4. Tubuh badan yang kuat
  5. Kemampuan untuk bekerja
  6. Sifat berdikari
  7. Kemampuan melawan hawa nafsu
  8. Sangat terurus urusannya
  9. Memelihara waktu
  10. Bermanfaat buat orang lain
*Akh = saudara di dalam bahasa Arab.

No comments:

Post a Comment