26 August 2012

Aidilfitri Menyerlahkan Sejuta Makna


oleh Wan Ahmad Sanadi

Assalamualaikum,

Sungguh terasa begitu berat meninggalkan bulan Ramadhan kerana ianya adalah bulan yang:

1. Dimuliakan.
2. Sentiasa dinantikan oleh orang-orang mu'min.
3. Didalamnya penuh dengan keberkatan.
4. Penuh maghfirah.
5. Diberikan kemenangan Islam, ketika Baginda Rasulullah saw bersama para sahabat
membuka kota Makkah.
6. Menjanjikan orang-orang mu'min mendapat darjat Muttaqien, sesudah melaksanakannya dengan penuh mujahadah.
7. Allah Azza Wa Jalla menurunkan kitabNya, yang menjadi pedoman hidup orang-orang mu'min.

Setelah menyelesaikan puasa sebulan di bulan Ramadhan, orang-orang mu'min memasuki episod kehidupan yang baru iaitu kehidupan yang penuh dengan makna di samping penuh dengan erti.


a. Nilai-nilai luhur menjadi dasar kehidupannya yang tertanam dalam hatinya.
b. Nilai-nilai yang bersumber dari Islam.
c. Menjadi orang Muttaqien.
d. Kehidupan yang bersih dari segala bentuk kotoran dunia.
e. Kehidupan yang tidak lagi mahu terlibat dengan perkara-perkara yang boleh menjerumuskan manusia ke dalam bentuk kekejian.
f. Kehidupan yang tidak lagi dilumuri dengan dosa.

Inilah makna kembali kepada fitrah.

Gambaran orang-orang yang sudah dipisahkan dengan kehidupan jahiliyah dan gambaran orang-orang yang berhasil melaksanakan puasa yang pasti terlihat dalam kehidupan berikutnya secara mendalam di mana mereka memutuskan rona kehidupan jahiliyah lalu meneruskan kehidupan baru serta sentiasa mengingati Kemaha Esaan Allah Rabbul Jalil.

Hakikatnya di dalam diri manusia sentiasa berlaku pertarungan antara hawa nafsu yang mengajak manusia ke arah kesesatan dengan keinginan manusia berbuat baik.

1. Kadang-kadang manusia kalah dengan hawa nafsunya.
2. Kadang-kadang manusia menang melawan hawa nafsunya.
3 Kadang-kadang manusia menonjol kebaikannya.
4 Kadang-kadang manusia menonjol keburukannya.

Manusia yang dapat mengalahkan hawa nafsunya adalah manusia yang akan selamat di dunia dan akhirat dan sebaliknya, manusia yang kalah dan menjadi hamba hawa nafsunya, maka akan rugi di dunia dan di akhirat.

Betapa ramai manusia yang menjadi hamba hawa nafsunya dan membiarkan hawa nafsu menguasai dirinya serta mengikuti naluri binatang kerana manusia yang hanya mengikuti hawa nafsunya, tidak ubah seperti binatang.

Puasa tujuannya mendidik manusia agar manusia tidak hanya memikirkan keperluan nafsu haiwaninya bahkan mendidik:
a. Manusia menuju ke arah yang mulia.
b. Manusia agar hidupnya menjadi lebih selaras.
c. Manusia menjadi lebih seimbang.
d. Manusia untuk dapat mengalahkan nafsu yang merosak kehidupannya.

Kemudian, manusia lulus, mengharungi kehidupannya dan mendapat kehormatan dari Allah Azza Wa Jalla, sesudah menang melawan hawa nafsunya dan menjadi hambaNya yang Muttaqien.

Tidak ramai. Bahkan hanya sedikit manusia yang dapat mengakhiri puasanya di bulan Ramadhan dan mendapatkan darjat Muttaqien. Semoga kita termasuk orang-orang yang mendapat gelaran Muttaqien.


Betapa indahnya Ramadhan dan Aidil Fitri di mana ribuan orang kembali bertemu dengan sanak saudara dan keluarganya.

Mungkin mereka sudah tidak bertemu dalam rentang waktu yang tertentu. Mungkin satu, dua atau tiga tahun atau mungkin lebih lama daripada itu lagi.

Tidak ada waktu atau kesempatan yang lebih baik dalam kehidupan ini, yang dapat menyatukan dan mempertemukan antara sanak saudara, keluarga, sahabat handai dalam satu suasana kecuali Aidil Fitri.

Mereka yang ada di luar negara pulang. Mereka yang ada di bandar-bandar besar pulang. Mereka yang ada di daerah-daerah yang berbeza bertemu kembali.



Tidak ada kegembiraan yang dapat melebihi saat Aidil Fitri. Tidak ada kesempatan yang lebih indah dalam kehidupan ini kecuali saat Aidil Fitri ini di mana dapat berkumpulnya sesebuah keluarga.

Rangkaian perjalanan kehidupan yang gersang dapat di sirami semula dengan pertemuan keluarga. Nilai-nilai yang amat penting dalam kehidupan adalah berhasilnya seorang mu'min menjalani `tarbiyah' Rabbaniyah selama satu bulan melalui puasa yang kemudiannya menjadikan diri mereka kembali kepada fitrahnya yang bersih.

Aidil Fitri bermakna hari kemenangan. Kemenangan seorang hamba melawan hawa nafsunya. Jutaan orang merayakannya dengan syukur dan kegembiraan. Mereka ingin memberi tanda kepada kehidupannya dengan penuh kemenangan.

Ribuan manusia dengan perjuangan yang luar biasa, menempuh jarak yang jauh, tujuannya adalah ingin melakukan silaturrahim dengan seluruh keluarganya. Ini adalah nilai-nilai Islam yang sudah lama di realisasikan dalam kehidupan. Dua perkara yang paling pokok dalam kehidupan seorang mu'min adalah :

1. `Birrul walidain' - Berbakti kepada kedua ibubapa.
2. `Silaturrahim' - Menguatkan kembali hubungan kekeluargaan.

Nilai-nilai ini semakin mengukuhkan integrasi kehidupan sosial. Betapa mulianya Islam kerana menggalakkan umatnya menyambungkan kembali berbagai ikatan manusia melalui Islam serta menguatkan kembali hubungan kekerabatan yang berlandaskan sikap saling memuliakan. Tidak ada doktrin yang mampu membawa manusia bersatu, kecuali ajaran dan nilai-nilai Islam. Hanya dengan dua prinsip dalam Islam, `birrul walidain', dan `silaturrahim' , mempunyai pengaruh yang sangat luar biasa dan sangat bererti dalam kehidupan sosial. Betapa indah makna Islam. Di saat Aidil Fitri ini, berapa banyak wang yang teragih ke kampung halaman?

Mereka yang datang dari luar Negara dan mereka yang datang dari berbagai bandar-bandar besar serta mereka yang kembali ke kampung halaman mereka dan memberikan wang kepada sanak saudara dan keluarga mereka, pasti memberi impak yang penting dalam kehidupan.

Ribuan orang yang pulang ke kampung secara tidak secara langsung berlaku suatu proses pengagihan kekayaan yang berlaku hanya disebabkan motivasi Islam.

Mereka ikut serta memperbaiki kehidupan sanak saudara mereka di mana ramai orang-orang yang tinggal di bandar-bandar besar yang membantu ahli keluarganya dan ramai juga yang membantu dari segi pembangunan sekolah, membantu pembangunan masjid, memberikan bekalan dan sebagainya, semuanya membawa perubahan bagi kehidupan.

Islam sesungguhnya mampu menjadi faktor stimulus atau pendorong bagi perubahan kehidupan dan terciptanya pola kehidupan baru yang lebih kukuh dan erat, khususnya menciptakan integrasi sosial yang sangat luar biasa nilainya.

Ramadhan telah berlalu, Aidil Fitri telah menjelang dan kehidupan terus berjalan.

Pertemuan yang indah di antara keluarga-keluarga dengan kebahagiaan serta pertemuan yang tidak dapat dilukiskan oleh sesiapapun di mana orang-orang yang sudah lama berpisah, bertemu kembali bahkan bertemu dengan penuh erti dan kemenangan.

Semoga dengan kedatangan Aidil Fitri tahun ini, setiap warga Muslim dapat menikmati kehidupan yang lebih bahagia di mana tidak ada kesedihan.

Orang-orang miskin, orang-orang papa, orang-orang yang tanpa keluarga tetap dapat menikmati
kehidupan ini dan tidak ada yang disia-siakan bahkan mereka yang tersisih dalam kehidupan ini perlu mendapatkan simpati dan dimuliakan.

Ya Allah, terimalah daripada kami solat kami, puasa kami, ruku' kami, sujud kami, doa kami dan ibadah kami. Sesungguhnya Engkau amat mengetahui akan kelemahan diri kami maka kami memohon kepadaMu kemaafan bagi setiap kesilapan dan kelalaian kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

No comments:

Post a Comment