31 July 2011

121 Amal Masyarakat Dalam Ramadhan


Oleh: Qassim Abdullah
(Dipetik dari zadud-duat.blogspot.com)

121 idea ini adalah satu usaha kami untuk membantu dan menolong anda dalam aktiviti kemasyarakatan pada bulan Ramadan, dengan membentangkan idea-idea yang boleh dilaksanakan dalam alam realiti, yang kebanyakannya telah pun dilaksanakan di pelbagai tempat. Justeru, ambillah mana-mana idea yang sesuai dengan anda dan apa yang boleh anda lakukan. Saya percaya bahawa idea-idea yang disenaraikan lebih dari seratus ini bukanlah semua idea-idea yang sesuai untuk disampaikan kepada masyarakat pada bulan Ramadan, bahkan ianya hanya satu model sahaja, dan anda boleh mengambil idea hasil cetusan anda sendiri dan saudara-saudara anda yang akan menambah koleksi idea sedia ada.

Anda akan temui idea yang kami senaraikan di bawah berbeza-beza mengikut keadaan dan tempat seperti di rumah, jalan, masjid dan kampung hingga kepada simbol-simbol, pertubuhan, persatuan, kelab, institusi dan syarikat-syarikat, dan kami tidak lupa kepada wanita, anak-anak, remaja dan pelajar, dan kami akhiri dengan paksi elektronik kerana kepentingannya pada masa ini.


Kepentingan Kerja Kemasyarakatan

Apakah masih ada di kalangan kita umat Islam yang tidak menyedari nilai dan kepentingan kerja dalam masyarakat? Maksud saya di sini ialah amal-amal Islam dan dakwah untuk menyebarkan kebaikan, kemuliaan, nilai, prinsip dan akhlak yang mana kerananya Islam datang dan untuknya Islam perjuangkan, membantu dan menolong orang ramai, menyediakan semua jenis bantuan samaada fizikal dan moral. Seandainya mereka ini masih berada di kalangan kita, saya ingin berikan kepada mereka satu ayat dari Kitab Allah dan hadits dari Rasulullah saw. Firman Allah SWT (bermaksud):
"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)" (al-Hajj, 22:77)
Nabi Muhammad saw telah bersabda (bermaksud):
"Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang menggembiarakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan. Sesungguhnya orang yang berjalan kerana ingin memenuhi keperluan saudaranya lebih saya sukai daripada orang yang beriktikaf di masjid ini - masjid di Madinah – selama bulan. Sesiapa yang dapat menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menutup kesalahannya, dan sesiapa yang menahan marah walaupun dia mampu untuk menunjukkannya, nescaya Allah akan memenuhi harapan hatinya pada hari kiamat, dan sesiapa yang berjalan untuk menemui saudaranya kerana memenuhi keperluan saudaranya hingga dapat menyelesaikan keperluannya, nescaya Allah akan meneguhkan kedudukannya pada hari semua kedudukan telah lenyap." (Tabarani di dalam Mu’jam Ausat, 6/139)

Kepentingan Perancangan Kerja-kerja Islam

Jika perancangan dalam urusan duniawi, perniagaan dan pengurusan badan-badan menjadi keperluan manusia, maka perancangan dalam urusan dakwah kepada Allah dan menyebarkan kebaikan di kalangan manusia adalah satu keperluan syarak. Kaedah syarak menyatakan: "Sesuatu perkara tidak akan sempurna melainkan hanya dengannya, maka perkara itu menjadi wajib". Atas alasan itu, kerja-kerja Islam mesti mempunyai perancangan, kerana perancangan dalam kerja-kerja Islam, memperkasakan agama Allah di muka bumi dan menyebarkan kebaikan di kalangan manusia merupakan tugas yang wajib dan tidak dapat dielakkan.

Bertitik tolak dari sini, para aktivis Islam mesti duduk dan merancang supaya apabila keluar dari bulan Ramadan nanti seboleh-bolehnya akan memberikan lebih impak kepada dakwah, di setiap tempat, sasaran dan institusi. Perkara pertama dalam perancangan ialah meletakkan objektif yang ingin dicapai, cara untuk mencapai objektif ini, dan mengukur pencapaian bagi setiap cara dan langkah yang telah dilakukan, dan selepas ditentukan semua perkara di atas maka disediakan jadual menjalankan tugas, yang mengandungi objektif, cara-cara, masa, tempat dan orang yang bertanggungjawab bagi pelaksanaan, dan kos aktiviti ini, mengukur pencapaian, dan bagaimana untuk membuat susulan.

Saudara yang bertanggungjawab ke atas sesuatu tempat itu seperti di masjid, jalan, kampong, Kilang, Sekolah, kolej, syarikat, Yayasan – organisasi, badan kebajikan, dan lain-lain hendaklah duduk dan merangka pelan Ramadan sebelum kedatangan bulan Ramadan, dengan memperuntukan sedikit masa, kerana jika perancangan dirangka lebih awal, tentu hasilnya adalah lebih menyeluruh.

Silaturrahim


1 - Hendaklah segera mengucapkan tahniah kepada kaum keluarga sempena ketibaan bulan Ramadan yang penuh berkat;

  • Bagi ibu bapa, sebaiknya menziarahi mereka atau sekurang-kurangnya menghubungi mereka melalui telefon. Mesej ‘sms’ tidak dibenarkan sama sekali.
  • Bagi adik-beradik dan ipar duai sebaiknya menghubungi mereka melalui telefon.
  • Bagi saudara-mara dan kaum kerabat sebelah anda dan sebelah isteri anda selain dari yang di atas, bolehlah anda menghantar mesej ‘sms’ atau e-mel kepada mereka. Namun perhubungan secara langsung adalah lebih baik.

2 - Tetapkan tarikh untuk majlis berbuka bersama keluarga dengan anda, dan majlis berbuka itu hendaklah mengumpulkan ibu bapa, adik-beradik, isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka.

3 - Tetapkan tarikh lain untuk majlis berbuka dengan keluarga isteri. Anda hendaklah gembira dengan majlis berbuka ini sepertimana anda gembira berbuka dengan keluarga anda. Dari segi tempat berbuka, tidak ada masalah dengan memilih tempat anda atau tempat mereka berdasarkan persetujuan.

4 - Mengirim brosur, risalah atau poster kepada mereka yang termampu dari kaum keluarga anda dan sebelah isteri anda.

5 – Cubalah anda kumpulkan ahli keluarga, dan terangkan kepada mereka hukum berpuasa dan sebahagian adab di bulan Ramadan.

6 - Suruhlah anak-anak anda untuk berhubung dengan sepupu-sepupu mereka daripada kaum keluarga anda supaya mereka mencapai makna yang lebih mendalam tentang hubungan silaturrahim dan penggabungan sebuah keluarga besar.

7 - Saudara terdekat yang miskin dan sangat memerlukan pertolongan adalah orang yang paling utama untuk anda hulurkan sedekah dan zakat selain ibu bapa, isteri dan anak-anak.

8 - Jika anda diundang oleh salah seorang saudara terdekat anda yang miskin untuk majlis berbuka, penuhilah undangannya sambil membawa makanan yang termampu sebagai hadiah atau memberikan makanan siap atau sebarang manisan.

9 - Tidak boleh mengabaikan adab dan akhlak semasa berbuka, seperti tidak bercampur antara bukan mahram, atau mengabaikan solat Terawih, melupakan zikir di waktu petang atau tidak bersembahyang Maghrib dan Isyak berjemaah di masjid.

Dengan Jiran

10 – Seminggu atau sepuluh hari sebelum Ramadan, edarkanlah jadual berbuka dan waktu imsak atau brosur untuk bulan Ramadan kepada jiran anda, jika boleh, disertakan dengan kad ucapan tahniah. Ini lebih baik.

11 – Suruhlah anak-anak anda untuk menyertai anak-anak jiran untuk menghiasi pintu masuk ke apartmen atau kondominium dengan hiasan yang indah dan sesuai selain menampal poster atau brosur yang sesuai.

12 - Menggantungkan lampu ‘tanglung’ dengan saiz yang sesuai di pintu masuk rumah atau apartmen yang boleh dikongsi harganya oleh kebanyakan atau sebahagian penduduk apartmen atau anda sendiri menanggung harganya.

13 – Tetapkan tarikh dengan ketua-ketua keluarga penduduk bangunan itu untuk mengambil bahagian bersama-sama dalam majlis berbuka, dan menyatakan bahawa ini adalah tradisi tahunan dan peluang untuk bersua muka dengan penduduk-penduduk bangunan itu bersama-sama walaupun hanya setahun sekali untuk berbuka dan taat kepada Allah. Tawarkan diri untuk menjadi tuan rumah majlis berbuka di apartmen anda kecuali jika ada penduduk yang menawarkan di apartmennya. Pada pandangan saya jelas tergambar kejujurannya.

14 – Menyuruh isteri anda untuk mencadangkan kepada wanita-wanita di apartmen untuk membuka kelas bimbingan khas untuk mereka, iaitu mempelajari asas-asas bacaan dan hukum Tajwid cara mudah di samping menggalakkan supaya berterusan dan berpanjangan dan sentiasa memuji mereka serta jangan lupa memberikan hadiah.

15 – Mengadakan pertandingan untuk menghafaz beberapa surah atau sebahagian surah Al-Quran untuk kanak-kanak di apartmen dan menyampaikan hadiah dalam majlis yang ringkas.

16 - Menjemput penduduk-penduduk apartmen itu untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja pengedaran ‘plastik’ (ada makanan) Ramadhan.

17 – Antara budaya yang baik yang kian pupus antara jiran ialah bertukar-tukar hidangan manisan. Oleh itu budaya ini hendaklah dihidupkan semula dalam bulan yang mulia ini.

18 - Membantu penduduk-penduduk di kejiranan itu, supaya bangun untuk solat subuh, terutamanya terdapat sesetengah orang yang makan Sahur dan kemudian tidur sebelum solat subuh.

19 – Merebut peluang dari nilai-nilai kerohanian Ramadan dan pertemuan berterusan antara penduduk bangunan itu dengan menyelesaikan mana-mana aspek negatif yang berkaitan dengan apartmen seperti: masalah penyelenggaraan, kebersihan apartmen, keselamatan dan lain-lain lagi.

Idea Untuk Kerja-kerja Di Masjid


20 – Solat Terawih mewakili solat yang amat penting dalam bulan Ramadan. Justeru, jika kedudukan solat Terawih yang penting, maka begitu juga pentingnya dalam hal ehwal berkenaan solat Terawih dan yang paling penting adalah soal imam yang akan memimpin solat. Memandangkan hanya sebilangan kecil imam yang memiliki kelunakan suara dan bacaan mereka yang memberi kesan serta adanya respon para makmum dengan mereka, maka perlulah dipercepatkan dapat satu persetujuan daripada imam ini, dan menentukan bilangan solat (juzuk - hizb ... dll) dan dapatkan persetujuan dengan imam tentang imbuhan material (janganlaah terlalu membebankan) dan menguruskan imbuhan ini. Jika imam ada keistimewaan tersendiri dan terkenal di kejiranan dengan masjid, maka pihak pengurusan masjid hendaklah mengumumkan kepada para jemaah dan menggunakan segala cara pemberitahuan untuk menarik jemaah ke masjid untuk solat Terawih.

21 - Berkaitan dengan solat Terawih ialah perkataan ‘tarwih’ (berehat-rehat sambil mendengar tazkirah) yang mesti diletakkan agenda-agenda yang mempunyai objektif dan pengertian untuk disampaikan kepada para jemaah, dan bercakap dalam isu yang mengambil kira keadaan negara dan realiti yang ada, dan isu-isu yang paling penting yang berlaku dalam masyarakat, dan mengaitkan hal ini dengan hubungan yang baik kepada Allah dan kembali kepada-Nya. Begitu juga tazkirah itu hendaklah sesuai dengan tempoh rehat yang diperuntukkan, mengikut ketetapan masjid dan jemaah solat. Jika ianya sebuah masjid yang besar sebaik-baiknya diagih-agihkan tugas tazkirah kepada lebih daripada seorang, dan undanglah pendakwah-pendakwah yang istimewa dari dalam dan luar kejiranan atau daerah, dan mengumumkan kepada para jemaah solat sebelum bulan Ramadan dalam masa yang mencukupi.

22 - Jika anda seorang khatib di masjid, maka mulakanlah dari bulan Syaaban untuk menyediakan satu teks khutbah atau lebih tentang persediaan untuk bulan Ramadan dan menyambut dengan baik, keadaan orang-orang soleh untuk menyambut bulan ini, memenuhinya dengan membaca Al-Quran, membentuk hati dan jiwa, kedua-duanya teruja untuk menghayati bulan Ramadhan, dan berdoa kepada Allah supaya sampai ke Ramadan dengan amalan yang terbaik dan banyak.

23 - Jika tidak terdapat khatib di kalangan ikhwah, maka salah seorang hendaklah cuba bercakap dengan khatib masjid dan mengajaknya untuk menyediakan satu teks khutbah atau lebih tentang sambutan bulan Ramadan.

24 – Mengadakan kempen kebersihan dan keindahan masjid, terutama kebersihan masjid, permaidani, dinding, siling, penyelenggaraan lampu dan penyaman udara - jika ada - dan kipas, tandas dan penyejuk air. Semua kempen ini berjalan sebelum kedatangan Ramadan lebih awal. Dari aspek kebersihan masjid adalah jelas dan tidak dapat dinafikan tentang keperluan masjid kepada kebersihan yang berterusan, terutama di bulan Ramadan di mana para jemaah akan berbuka di masjid saban hari, di samping azan maghrib, kesan minuman dan sisa-sisa kurma dan makanan dikumpulkan, dan ramai jemaah yang tinggal lama di masjid - semua ini memerlukan pembersihan sebelum bulan Ramadan dan pada bulan Ramadan tentulah lebih wajib lagi.

25 - Menghias masjid dari luar dengan hiasan yang bersesuaian, sama ada dengan hiasan lampu atau kertas-kertas poster tanpa berlebih-lebihan, terutama di menara masjid.

26 - Menggantung ‘tanglung’ dengan saiz yang sesuai di pintu masuk ke masjid atau tempat yang dipersetujui oleh ajk masjid.

27 – Mengemaskinikan majalah dinding untuk bulan Ramadan atau membeli majalah dinding dari mana-mana kedai yang diletakkan di belakang masjid supaya tidak mengganggu jemaah semasa solat.

28 - Mengedarkan brosur atau risalah tentang bulan Ramadan beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan yang mengandungi beberapa pengertian yang terpilih dan sesuai, dan meminta keizinan dari pengurusan masjid imam untuk membuat pengedaran.

29 – Meminta pihak yang menguruskan masjid untuk menyediakan jadual majlis-majlis berbuka di masjid dan menjemput semua penduduk berdekatan masjid dan mengumumkan kepada mereka lebih awal dan menggesa jemaah solat tidak terikat dengan tarikh yang dicadangkan sehingga dipersetujui orang masjid, dan mengingatkan orang masjid bahawa tujuan berbuka secara berjamaah adalah untuk menghimpunkan orang-orang di masjid bersama-sama untuk perkara ketaatan, bukan semata-mata makan dan minum. Inilah cara untuk mencapai persaudaraan, kasih sayang dan perpaduan antara orang agama dan inginkan kesejahteraan.
30 - Mengatur dan menguruskan kerja-kerja makanan panas kepada orang-orang yang layak di kejiranan dan kawasan sekitar masjid, dan ini memerlukan yang berikut:

  • Menganjurkan kempen untuk mengajak orang yang baik untuk menderma bagi menampung kos makanan ini, sama ada dengan wang atau makanan yang tertentu.
  • Memanggil orang muda masjid dan kawasan ini untuk mendaftarkan nama mereka untuk mengambil bahagian dalam pengurusan dan pengedaran makanan kepada orang yang layak di rumah mereka.
  • Menentukan penyelia untuk tugas ini dan mengutamakan orang yang lebih berpengalaman.
  • Memantapkannya dengan menyediakan kemudahan tertentu seperti peralatan dapur gas dan sebagainya serta berpakat dengan chef dan membayar upah untuk mereka.

31 - Jika anda tidak dapat memasak makanan di masjid, maka tidak ada salah anda berpakat dengan restoran yang anda tetapkan dan dibekalkan ke masjid, yang diedarkan selepas menerima makanan sebelum solat Maghrib dalam masa yang mencukupi dan memadai untuk pengagihan; supaya tidak melebihi masa untuk solat.

32 - Menderma satu karton kurma serta minuman ringan dan jus (oren - tebu - Soya ... dan sebagainya) untuk jemaah solat berbuka di masjid ketika azan.

33 - Menyeru pengurusan masjid dan mereka yang bertanggungjawab untuk menerima projek ‘bungkusan Ramadan’ dan menginfakkan bersama mereka untuk mengisi bungkusan. Sebaik-baiknya hendaklah barang keperluan yang amat diperlukan oleh golongan miskin dan mereka yang memerlukan (seperti beras - gula - tepung - Kacang tanah - minyak - teh - kopi ... dll) dan diagihkan kepada golongan miskin dan orang yang mendaftar dalam senarai masjid. Bungkusan itu hendaklah diedarkan seminggu sebelum bulan Ramadan, dan jika tidak keberatan ada bungkusan lain yang diedarkan pada separuh kedua bulan Ramadhan. Ini lebih baik bagi golongan miskin dan bagi penderma.

34 – Kerjasama dengan pentadbiran masjid untuk mengadakan Pertandingan Kuiz Ramadan secara bertulis yang diedarkan sepanjang bulan Ramadan yang mengandungi perkara berikut:

  • Soalan-soalan mudah seboleh mungkin dan tidak terlalu kompleks dan khusus berkaitan al-Quran, Hadis, Fekah, Seerah, biografi tokoh dan hal ehwal umat Islam, serta soalan-soalan umum.
  • Tentukan tempat untuk menyerahkan jawapan dan tarikh tutup untuk itu.
  • Tentukan anugerah, bilangan dan masa dan tempat pengedaran.

Jangan lupa untuk menjemput para dermawan untuk mendermakan hadiah untuk pertandingan ini, dan sebaik-baiknya tarikh penyampaian anugerah adalah semasa majlis khatam Al-Quran semasa solat Terawih.

35 - Pada minggu terakhir bulan Sya’ban meminta imam masjid, atau sesiapa sahaja yang memiliki kemampuan atau ilmu untuk menjelaskan hokum puasa kepada para jemaah, menjawab soalan dan pertanyaan mereka yang berkaitan dengan puasa. Semua ini dengan teknik yang mudah difahami oleh orang ramai selaras dengan fikiran dan kefahaman majority jemaah.

36 - Merujuk pengurusan masjid bagi memastikan bilangan naskah al-Quran yang mencukupi, serta memastikan jumlah rehal al-Quran yang besi sama ada yang besar atau kecil dan rehal kayu, dan kerusi yang akan diduduki oleh jemaah warga tua dan mereka yang sakit, semuanya hendaklah dalam jumlah yang mencukupi, dan mungkin ada pertambahan orang yang memerlukan daripada jemaah lebih daripada jangkaan; kerana sering berlaku kerana kekurangan kerusi di dalam masjid.

37 – Melengkapkan ruang solat wanita jika sudah ada, atau menyediakan tempat yang sesuai untuk wanita solat jika tidak terdapat ruang khas di dalam bilik masjid untuk wanita. kipas dan dan sebagainya, serta menyemak jumlah kerusi untuk jemaah wanita, kerana mereka yang paling memerlukan berbanding yang lelaki. Ini dilihat di kebanyakan masjid-masjid .

38 - Pertandingan untuk jemaah dan penduduk sekitar masjid yang mencakupi: hafazan surah-surah tertentu atau juzuk-juzuk tertentu, kemungkinan pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori seperti berikut:

  • Kategori pertama: Surah al-Quran 4, 5 atau 6 rubu’ (perempat) Al-Quran seperti: Taubat - Hud - Yunus - Yusuf ... Lain-lain.
  • Kategori Kedua: Surah Al-Quran kira-kira 3 rubu’ (perempat) daripada al-Quran seperti: Shura - Zukhruf - Zumar - Shad ...Lain-lain.
  • Kategori Ketiga: Surah kira-kira 2 rubu’ (perempat), seperti: Muhammad - Fath - Hujurat - Zariyat - Hadid - Mujadalah ... Lain-lain.

Mengenal pasti anugerah yang sesuai bagi setiap kategoti untuk menggalakkan golongan muda khususnya untuk mengambil bahagian dalam pertandingan dan hubungan yang erat dengan Al-Quran, dan juga menjemput para dermawan untuk mendermakan hadiah pertandingan ini, serta menetapkan tarikh penyampaian anugerah dan sebaiknya hendaklah diadakan pada majlis khatam Quran semasa Terawih solat.

39 - Jika ianya sebuah masjid jamek yang besar dan bilangan jemaah yang ramai, kemungkinan boleh diadakan pameran dan jualan buku-buku Islam di perkarangan masjid atau pintu masuk, atau mana-mana tempat yang sesuai yang lain, dengan melakukan kerja-kerja publisiti untuk itu. Semua ini untuk mengambil kesempatan Ramadan dan nilai ‘kerohanian’nya dengan menggallakkan masyarakat membeli buku-buku Islam dan naskha al-Quran.

40 – Ketika hampir Ramadan, berbicaralah dengan umat Islam di masjid tentang keperluan untuk bertaubat kepada Allah sebelum permulaan bulan, dan membersihkan hati para jemaah antara satu sama lain. Kita cuba mengambil peluang kurnian Tuhan daripada setiap saat sepanjang Ramadan, dan mengingatkan mereka tentang keadaan generasi awal dari para sahabat dan pengikut mereka (Tabien) di mana mereka telah menyambut Ramadan sebelum itu iaitu sejak enam bulan yang lalu, serta bercakap mengenai keadaan orang-orang soleh pada bulan Ramadan. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita menuruti mereka dan menjadi seperti mereka. Amin.

41 - Pastikan untuk hadir ke masjid pada malam anak bulan Ramadan kelihatan, untuk berkongsi bersama saudara-saudara anda di masjid dalam kegembiraan dengan kedatangan bulan Ramadhan, dan saling bertukar-tukar ucapan tahniah dengan mereka dan berdoa agar Allah memberkati mereka pada bulan Ramadan, dan untuk membantu mereka untuk taat kepada-Nya, menerima mereka, dan menyertai mereka mendirikan solat Terawih sejak dari malam pertama Ramadan.

42 - Pada hari terakhir bulan Sya’ban kirimlah SMS dari telefon bimbit anda kepada saudara-saudara anda di masjid, dan pilih mesej yang paling indah dan kirim kepada mereka.

43 – Melakukan kerja secara serius dan berterusan semasa solat subuh untuk kerja-kerja pembersihan dan melembutkan hati melalui tazkirah tidak melebihi 5 - 7 minit. Jika keadaan tidak mengizinkan eloklah menggantikannya dengan kuiz ringkas satu atau dua soalan mudah dan menyampaikan hadiah seperti buku atau cd ... Lain-lain.

44 – Menetapkan tarikh untuk memulakan solat Tahajud, dan memilih Imam yang sesuai untuk solat ini, dan mungkin imam yang sama dengan solat Terawi atau mungkin orang lain, dan menentukan jumlah bacaan (1juzuk – 2 juzuk - 3 juzuk ... dan sebagainya), dan menentukan masa mula Tahajud. Sesetengah masjid bermula pada permulaan yang ketiga terakhir bulan Ramadan dan setengahnya bermula pada petengahan setiap bulan. Namun semuanya adalah baik.

45 – Persetujuan dengan pengurusan masjid untuk mengadakan iktikaf bulan Ramadan, dan menyusun program kepada mereka yang beriktikaf, terutama jika bilangan orang yang beriktikaf terlalu ramai dan melantik orang yang bertanggungjawab untuk program iktikaf. Diharapkan semua yang terlibat bersungguh-sungguh semasa program i'tikaaf ini supaya orang yang beriktikaf keluar nanti akan lebih dekat kepada Allah, dan mencapai tujuannya dari ibadah ini yang tidak berulang-ulang kerana hanya sekali setahun .

46 - Persetujuan dengan orang-orang di masjid dan orang-orang yang mempunyai pengalaman untuk menganjurkan «Umrah Ramadan» sama ada di permulaan Ramadan atau di akhirnya, di mana ia diuruskan oleh orang yang berpengalaman, atau menggunakan salah satu syarikat ‘travel’, dan menyusun program dengan baik dan berhati-hati untuk mengambil kesempatan daripada setiap masa dalam perjalanan yang diberkati ini dengan menyedari bahawa penganjuran yang baik untuk Umrah mempunyai kesan positif ke atas hati peserta dan sentiasa ingat perjalanan yang sangat indah ini selain perjalanan indah semasa Haji.

47 – Ramai para jemaah memulakan komitmen mereka kepada agama melalui penyertaan dalam majlis bacaan al-Quran di masjid, terutamanya semasa Ramadan; Oleh itu, adalah perlu semasa majlis bacaan al-Quran di masjid pada bulan Ramadan; orang yang dilantik sebagai ketua hendaklah mengajarkan hukum bacaan yang mudah dan ringkas, dan tidak melayani secara keras dengan orang baru semasa membetulkan bacaan supaya tidak mendatangkan kesan negatif ke atas setengah peserta dan mungkin akan meninggalkan majlis bacaan al-Quran sepenuhnya. Elok juga menyediakan hadiah yang mudah dan ringkas kepada peserta, dan menyediakan soalan-soalan yang memberi tumpuan kepada hokum tajwid yang telah dikaji sebelum ini. Tiada mengapa untuk menjelaskan beberapa makna al-Quran daripada ayat yang kita lalui semasa membaca. Adalah penting untuk menggalakkan orang yang baru membaca untuk menjadi cemerlang dalam bacaan supaya berterusan dalam majlis membaca al-Quran masjid. Mudah-mudahan ianya adalah permulaan yang baik bagi mereka dan untuk kita.

48 - Imam solat Terawih menetapkan tarikh untuk majlis khatam semasa Terawih. Kebiasaanya pada semester ketiga Ramadan dan dimaklumkan kepada para jemaah. Sebaik-baiknya tidak bertentangan dengan tarikh khatam masjid-masjid terkenal di sekelilingnya supaya tidak menghalang penyertaan lebih ramai jemaah pada hari ini. Perlulah merancang untuk majlis hari ini supaya keluar dalam imej terkini, dan nampak gembira seolah-olah menyambut salah satu hari raya kita. Mungkin kita mengagihkan hadiah bagi beberapa pertandingan yang adakan sebelum ini. Tidak mengapa untuk mengedarkan beberapa manisan, buah-buahan atau minuman ringan dan jus pada hari ini, kerana ia adalah sesuatu yang baik tiada apa yang salah.

49 - Berpakat dengan beberapa orang jemaah supaya tinggal di masjid selepas solat Subuh sehingga terbit matahari dan menunaikan solat sunat Duha dua rakaat supaya Allah memberi ganjaran Haji dan Umrah seperti yang dinyatakan dalam hadis.

50 - Selepas melalui setengah bulan Ramadan mulalah berfikir untuk menganjurkan solat Eidulfitri. Sebaik-baiknya apabila anda berfikir resapkanlah semangat berjamaah, dalam erti kata masjid cuba menyediakan perkarangan yang besar untuk menghimpunkan ramai jemaah yang menyertai solat Eidulfitri secara berjamaah, supaya tidak solat di tepi masjid atau di sudut-sudut yang menyebabkan barisan solat tidak tersusun dan membezakan barisan antara orang Islam. Sudah tentu selaras dengan khutbah hari raya seperti yang sedia ada di masjid-masjid serta tidak melupakan hadiah, hiasan dan ucapan tahniah kepada para jemaah. Sebelum itu telah menjelaskan hukum solat Hari Raya pada sebelah malam hari raya. Kemudian anak-anak remaja masjid atau beberapa masjid bergabung untuk mengambil bahagian dalam solat dan melakukan aktiviti ringkas iaitu melakukan perarakan melalui jalan-jalan dengan menyanyikan nasyid dan zikir dan membawa sepanduk dan hiasan, serta membentangkan tikar atau karpet dan membersihkan tempat solat dan lain-lain yang perlu untuk menganjurkan solat sesuai dengan umat Islam dan sesuai dengan majlis itu.

Sambungan dalam siri 3

No comments:

Post a Comment