23 May 2012

Prof Nazari: Bahaya Riba'

SUNGAI TANGKAS, 22 Mei: Pertubuhan IKRAM Malaysia cawangan Hulu Langat (IKRAM HL) telah menganjurkan sebuah ceramah bertajuk "Bahaya Riba': Implikasi Kepada Sosio-Ekonomi" yang bertempat di dewan Sekolah Menengah Sri Al-Amin, Sungai Tangkas. JK Tarbiyah IKRAM HL, penganjur program, telah menjemput seorang pakar ekonomi negara, Prof. Dr. Nazari Ismail, untuk menyampaikan ceramah. Prof. Dr. Nazari Ismail juga merupakan seorang professor yang bertugas di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya (UM).

Ceramah ini telah dihadiri oleh kira-kira seratus orang dari Bangi dan kawasan-kawasan sekitarnya. Ia telah bermula pada jam 9 malam dan berakhir pada jam 11.30 malam. Dalam tempoh masa dua jam setengah tersebut, Dr. Nazari telah menyampaikan pelbagai fakta dan sejarah bagaimana sistem riba' ini boleh bermula. Bahkan beliau juga turut membawa kepada para hadirin bagaimana industri perhutangan (financing) boleh bermula.

Katanya, sepanjang tempoh wujudnya manusia, industri perhutangan hanya sekitar 1% daripada tempoh tersebut. Ini kerana industri ini hanya diperkenalkan semenjak kebelakangan ini. Katanya lagi, dahulu manusia memandang hina terhadap orang yang menjadikan hutang sebagai perniagaannya.

Beliau turut membawa para hadirin kepada berwaspada dengan memperbanyakkan hutang. Beberapa kali di dalam sesi penyampaiannya tersebut, beliau menekankan isu ini. Ini kerana, industri hutang ini sememangnya berkait langsung dengan sistem riba' yang diguna pakai secara meluas oleh bank-bank di seluruh dunia.

Riba' bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan oleh umat Islam, kerana sesungguhnya secara jelas Allah telah menyebut; "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba" (2:275). Bahkan Allah dan Rasul telah mengisytiharkan peperangan terhadap golongan yang tidak meninggalkan riba'. Kesan daripada pengambilan riba' ini dapat dilihat dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin teruk dari masa ke masa.

Di akhir kalam, Dr. Nazari telah membacakan sepotong ayat dari al-Qur'an dan mengingatkan para hadirin supaya tidak terkejar-kejar memburu dunia, hiduplah dengan kesederhanaan dan kejarlah akhirat. -MIHL

No comments:

Post a Comment