31 May 2012

Water Games IKRAM Jr.

Program Water Games! anjuran IKRAM Hulu Langat
(Perkongsian dari Saudari Iman)

Alhamdulillah berjalan lancar dengan kehadiran 34 aulad lelaki dan perempuan berumur 4-12 tahun. Aulad datang dari Bandar Baru Bangi dan juga dari kawasan Bandar Seri Putra.

Program bermula pada pukul 9 pagi, di mana aulad diminta mendaftarkan diri dan membayar yuran penyertaan RM10 kepada AJK IKRAM Jr, Makcik Azwa. Sementara itu, remaja IKRAM Teens yang datang membantu diberi sedikit taklimat oleh Makcik Iman. Ingatan kepada mereka: Keselamatan paling penting!

Setelah membuat pendaftaran kehadiran, masa untuk main!
Aulad yang belum bersalin pakaian renang diminta untuk ke bilik persalinan sementara yang telah sedia boleh terus ke kolam renang. Ada kolam renang terbuka ( untuk lelaki dan perempuan), kolam renang kanak-kanak (yang lebih cetek) dan juga kolam renang tersorok untuk perempuan. Aulad bebas pergi ke mana-mana kolam renang, cuma memang yang ke kolam renang dewasa hanya mereka yang agak berani dan dah besar.

Remaja yang datang membantu telah berbahagi kumpulan untuk memastikan semua kolam renang diawasi. Alhamdulillah, kakak-kakak dan abang-abang remaja ini bermain-main dengan aulad dan membuat permainan mereka. Tiada struktur permainan tertentu diberikan, cuma dibekalkan beberapa alatan seperti pelampung serta bola kecil dan besar sebagai permainan. Aulad dan remaja kena kreatif mencipta permainan sendiri!

Setelah puas bermain selama 2 jam lebih di dalam air, aulad dipanggil keluar dari kolam renang dan diminta bersalin pakaian. Masing-masing pun dah penat dan lapar! IKRAM Jr menyediakan makanan nasi lemak, roti dan peanut butter, serta air kotak susu coklat. Masya-Allah, licin, sampai tak cukup! Maaf ye pada yang tak dapat semua...

Program diakhiri dengan sesi mengambil gambar beramai-ramai.

JazakumuLlah khayran kathira kepada semua yang membantu menjayakan program ini: Kak Azlina Roszy menjadi pemandu dari Bandar Seri Putra dan pemantau tak rasmi sehingga akhir program, Kak Anhar, juga membantu berada sama di kolam renang dan menghantar balik remaja perempuan, Kak Hasnah dan suami, membantu menghantar remaja lelaki ke Al-Amin selepas program, dan membawa pulang beberapa aulad, Ukhti Hajar dan ukhti Maryam yang mencarikan remaja IKRAM teens untuk menjadi pembantu dalam program, remaja IKRAM Teens yang hadir (Syahida (anak Kak Lina) Hafsa, Hani, Syifaa, dua orang lagi maaf tak ingat, Syakir, Syafiq, Usamah, Azzam dan Izzuddin). Serta ikhwah akhawat yang memberi sokongan kepada program IKRAM Jr.

Insya-Allah, semoga anak-anak kita seronok menyertai program IKRAM Jr, dan menjadi kenangan manis untuk mereka. Biarlah nampak seperti hanya program main-main, tapi inilah titik permulaan untuk mereka berjinak-jinak dan menaruh minat kepada Islam, Dakwah dan Jamaah, insya-Allah.
--
(Berita tidak rasmi IHL)

No comments:

Post a Comment