07 June 2012

Lawatan Tokoh Syria

KUALA LUMPUR – Sekretariat Gabungan Selamatkan Syria yang diterajui IKRAM, ABIM, HALUAN dan 24 NGO, telah menjemput dua tokoh Syria untuk memberi kesedaran tentang realiti kebangkitan rakyat dan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Syria hasil kekejaman rejim Basyar Al-Assad. Mereka ialah ulama Syria yang juga pembantu khas Dr Yusuf Al-Qardhawi, Dr Khaled Hindawi dan pimpinan Ikhwan Muslimun Syria, Dr Amer Abu Salamah yang diturut ditemani seorang lagi pimpinan, Dr Salamah.

Mereka tiba pada Khamis 24 Mei 2012 dan pada malamnya mereka diraikan dalam majlis perjumpaan dengan para pimpinan IKRAM. Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad turut melancarkan Tabung Kasih Ummah Syria. Pada pagi keesokannya, Jumaat 25 Mei 2012, mereka menghadiri sesi rakaman di RTM untuk diterbitkan sebagai rencana pendek dalam Berita Dunia pada jam 11.00 malam tentang perjuangan Ikhwan Muslimun di Syria. Selesai solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM Gombak, Dr Khaled menyampaikan ucapan mengenai Syria kepada pelajar dan kakitangan UIAM. Kemudian, beliau bergegas menghadiri sesi rakaman TV3 di Damansara Utama, yang akan diterbitkan dalam bentuk dokumentari. Pertemuan bersama pelajar Arab di UIAM turut diadakan pada malamnya.


Pada Sabtu 26 Mei 2012, ulama dan pimpinan IM Syria ini menghadiri satu sesi khas ceramah Syria anjuran IKRAM Johor di Kompleks IKRAM Johor, Skudai. Pada pagi keesokannya, Ahad 27 Mei 2012 mereka ditemuramah secara langsung dalam TV Hijrah dalam rancangan Assalamualaikum dan rancangan Majalah Islam. Petangnya mereka bertemu dengan bekas Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bachok, YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Pada malamnya, mereka bertemu dengan para pimpinan HALUAN di Kompleks Penyayang HALUAN di Klang. Kutipan langsung berjumlah lebih RM6,000 disumbangkan terus kepada mereka sebagai sokongan.

Pada pagi Isnin 28 Mei 2012, mereka menghadiri sesi rakaman di Astro Awani. Petangnya mereka bertemu para pimpinan ABIM di Pejabat Sekretariat ABIM Pusat di Taman Cemerlang, Gombak. Kemudian mereka menghadiri sesi bersama Presiden IKRAM di Pejabat IKRAM Pusat di Seri Kembangan.

Kemuncak lawatan mereka ialah pada malamnya iaitu penyampaian Ceramah Umum “Syria: The Inside Story” anjuran IKRAM, ABIM dan HALUAN di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Ceramah yang diterjemahkan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dihadiri lebih 2,000 jamaah. Dr Khaled merakamkan penghargaan atas keprihatinan rakyat Malaysia berkenaaan isu Syria. Menurutnya, pembunuhan terhadap golongan dewasa, wanita dan kanak-kanak dilakukan oleh golongan yang menentang Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sejak 40 tahun yang lalu.

Sejak 40 tahun, tambahnya, seramai 60,000 orang syahid dan rejim Basyar telah melakukan penyembelihan rakyat tidak kurang daripada 100 tempat tanpa bantuan mana-mana pihak untuk rakyat. Terkini, rakyat bangun dengan lebih bersemangat bila ditindas ditambah lagi dengan para tentera Syria yang berpaling tadah meninggalkan rejim ini yang mencecah 200,000 orang. Beliau menterjemahkan iman kita ibarat muslim yang
satu jasad menentang rejim yang zalim ini. “Pemerintah yang bertamadun ialah yang adil bukan yang menindas dan memenjarakan saudaranya,” ujarnya.

Katanya, meskipun rejim ini mendakwa kononnya mereka menentang Yahudi, sejak 40 tahun lalu, rejim ini tidak pernah bunuh walau seorang Yahudi pun malah kini telah menghalakan senjata mereka dan membunuh 60,000 rakyat yang tidak berdosa. Tambah Khaled, PM Israel Benjamin Netanyahu pernah berkata bahawa Basyar Al-Assad merupakan orang yang dikasihinya seperti mana mereka kasihi ayahnya (Hafez Al-Assad) yang kekal membawa kebaikan dan kemaslahatan kepada Israel.

Mengatakan mereka berjuang melawan Israel merupakan satu penipuan. Baru-baru ini, di perkampungan bernama Hawlah, seramai 150 orang disembelih, dicincang termasuk 50 orang kanak-kanak. Ujarnya, rejim ini telah dibantu oleh Russia, Hizbullah dan Iran yang ingin menghapuskan rakyat ASWJ. Menurut beliau lagi, ada menara masjid yang ditembak rejim, di tempat bernama Dar’a, negeri kelahiran Imam An-Nawawi dan ada juga rakyat yang ditanam hidup-hidup kerana tidak mahu mengatakan “Tiada Tuhan melainkan Assad”.

Pimpinan IM Syria, Dr Amer Abu Salamah pula menambah, rakyat Syria menampakkan keberanian mereka hingga sanggup berkorban dan syahid, ribuan mereka yang cedera dan lebih 2 juta menjadi pelarian.

Sungguhpun Allah SWT berfirman bahawa orang beriman itu bersaudara, namun demikian katanya, hanya dengan ucapan sahaja tidak memberi manfaat kerana ia juga menuntut pengorbanan daripada kita jika kita katakan kita bersama-sama dengan rakyat Syria. Menurut beliau, amat bahaya bila ada yang mengatakan “Kami tiada apa-apa kaitan dengan apa yang berlaku di Syria, itu masalah mereka“ sedangkan kita merupakan jasad yang satu, umat yang satu.

Katanya, umat Islam amat simpati dengan apa berlaku di Gaza dan memang wajib kita bantu umat Islam di Gaza. Beliau turut mencetuskan persoalan yang mengheningkan suasana: “Kini berlaku di pelbagai tempat di Syria seperti mana yang berlaku di Gaza. Di manakah saudara-saudara Islamku yang telah membantu saudaranya di Gaza? Takutlah Allah, hendaklah kamu bersama dengan anak yatim yang dizalimi, mata dikorek, leher mereka dikapak.”

Tambahnya, Kesatuan Ulama Sedunia yang berjumlah 50,000 yang diketuai oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi turut menyokong rakyat Syria dan mengatakan kewajipan umat Islam membantu rakyat Syria. Jemaah yang hadir turut dipertontonkan dengan gambar dan video kekejaman rejim Basyar membunuh rakyatnya.

Dr Amer turut mencabar jemaah yang hadir termasuk para ahli perniagaan untuk menginfakkan harta mereka untuk mencontohi infak para sahabat baginda Abu Bakr RA, Umar Al-Khattab RA dan Abdur Rahman Auf RA bagi membantu rakyat Syria yang tertindas. Menambah semangat untuk menyumbang, beliau menceritakan bagaimana seorang jutawan Qatar yang menyumbang sebanyak 3 juta Riyal. Dalam masa dua hari selepas sumbangan, beliau telah mendapat 4 juta Riyal keuntungan perniagaannya.

Lebih terharu, seorang ibu menyahut cabaran Dr Amer dengan menyumbang sebanyak RM50,000. Sejumlah lebih RM67,000 sumbangan tunai berjaya dikumpul selain mereka yang menyahut cabaran infak lebih RM200,000 yang akan disumbangkan kemudian. Selepas ceramah, kelihatan sebahagian jemaah berpusu-pusu beratur di mesin ATM Masjid Negeri untuk memindahkan sumbangan tersebut melalui akaun.

*Sumbangan boleh dibuat melalui Tabung Kasih Ummah Syria atas nama Pertubuhan Ikram Malaysia akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12029010063512.*
*Ayuh bantu umat seakidah kita daripada dizalimi dan dibunuh berterusan!*

Lawatan lima hari ulama dan pimpinan IM Syria di Malaysia berjaya membuka mata masyarakat negara ini dan memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di Syria. Bagi mereka yang mengatakan kebangkitan rakyat Syria adalah kerana rencana Barat, anda silap.

*Rakyat Syria seperti Dr Khaled dan Dr Amer sendiri datang ke Malaysia untuk menceritakan realiti di sana dan bangkit kerana tidak sanggup lagi melihat kekejaman dan kezaliman berlaku sesuka hati di hadapan mata lantaran dibiarkan dan didiamkan oleh dunia.*

Penghargaan harus diberikan kepada penganjur lawatan ini iaitu Sekretariat Gabungan Selamatkan Syria mewakili suara 27 NGO di mana koordinatornya adalah anak muda, Saudara Naim Jusri di samping tiga NGO utama gabungan iaitu IKRAM, ABIM dan HALUAN. Program kesedaran dan pendedahan mengenai Syria akan terus digerakkan oleh gabungan ini dari masa ke semasa, insya-Allah.

No comments:

Post a Comment