02 April 2014

MAWD 2014: Teguhkan Saf, Memimpin Ummah


BANDAR BARU BANGI, 15 Mac: Bertemakan ‘Teguhkan Saf, Memimipin Ummah’, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (Daerah Hulu Langat) telah pun selesai mengadakan mesyuarat agongnya bagi tahun 2014 yang bertempat di Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia (Daerah Hulu Langat), Bandar Baru Bangi.

Mesyuarat yang dihadiri seramai 50 perwakilan ini telah dirasmikan oleh Ketua Wanita IKRAM Negeri Selangor, Prof Madya Dr Roohaida Othman. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan aspek kepimpinan melalui barisan yang kemas dan berdisiplin berdasarkan Surah As-Saff ayat 4. Kepimpinan juga disaran untuk berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan segala amanah demi meraih keredhaan Allah. Selain itu, beliau turut memperingatkan perwakilan tentang perancangan IKRAM bagi tahun 2012-2015 iaitu menjadi rujukan masyarakat, diberi kepercayaan, diterima kepimpinannya dan menjadi jurubicara masyarakat.


Puan Zuraidah Kornain, selaku Ketua Wanita bagi sesi 2012-2014 dalam ucapannya pula menekankan aspek Plan-Do-Check-Action (PDCA) dalam pengurusan organisasi. Ia bagi memastikan segala perancangan strategik tercapai. Beliau turut mendedahkan tentang hasil kajian lapangan yang menunjukkan bahawa hanya segelintir masyarakat yang mengenali IKRAM. Justeru, beliau menyarankan semua ahli Wanita IKRAM bekerja lebih keras untuk melahirkan ahli yang kompeten daripada aspek keilmuan, kemahiran dan sikap demi menjadikan IKRAM suatu pertubuhan yang dirasai oleh masyarakat.

Selain meneliti dan menilai laporan prestasi Wanita IKRAM Hulu Langat bagi sesi 2012-2014, para perwakilan juga telah menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk melantik barisan kepimpinan bagi menerajui Wanita IKRAM daerah Hulu Langat bagi sesi 2014-2016, seperti berikut:

  • Pengerusi Tetap: Puan Hamisah Abdul Mubin
  • Timbalan Pengerusi Tetap: Puan Noor Azizah Abu Hassan
  • Ketua Wanita: Puan Norain Hayun
  • Timbalan Ketua Wanita: Dr Wardah Mustaf Din
  • Setiausaha: Dr Norazizah Mohd Aripin
  • Bendahari: Puan Nurul Hidayah Zairulshahfudin
  • Ahli-Ahli Jawatankuasa:
    • Dr Masyitah Mohammad Khayat
    • Ustazah Noor Raihan Ghazali
    • Puan Aisyah Zamani

Dalam majlis ini juga, sumbangan yang diterima melalui Projek Tabung Kasih Sabrina telah disampaikan oleh Ketua Wanita Sesi 2012-2014; Puan Zuraidah Kornain kepada adik Sabrina bt. Fadzli bagi membantu membiayai pembedahan tulang belakangnya akibat penyakit scoliosis.

Dalam ucapan penggulungan, Puan Norain Hayun, selaku Ketua Wanita yang baru dilantik telah menyatakan penghargaan beliau kepada semua ahli jawatankuasa sesi 2012-2014 dan mengharapkan agar semua ahli jawatankuasa yang baru dilantik dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya.-WIHL

No comments:

Post a Comment