31 August 2014

Hidayah itu hadiah

                                        

Hidayah itu satu cahaya yang indah, yang menembusi hati dan mengubah jiwa para penerimanya.

Jika ia cahaya yang terang benderang, mengapa tidak ramai yang menemui sinar hidayah? Mengapa ramai di kalangan manusia masih meraba-raba dalam kegelapan?

Dalam nukilan yang ringkas ini kita akan meneliti sifat 'cahaya' itu sendiri, dan kaitannya dengan hidayah.

Allah SWT berfirman:

4:174




"Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu Nur (cahaya) yang jelas" (An Nisa:174)

Allah menerangkan bahawa Dia menurunkan Nur kepada manusia.

Apakah itu Nur? Kita dapati jawapannya dalam ayat yang menerangkan tentang matahari dan bulan:

 10:5

"Dia lah yang menjadikan matahari dhiya' dan bulan sebagai nur, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan kebenaran. Allah menjelaskan ayat-ayatNya satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui" (Yunus:5)

Cahaya matahari disebut sebagai dhiya'. Cahaya matahari itu jelas, terpancar di mana-mana sahaja, sesiapa sahaja dapat melihat cahaya tersebut dengan nyata walaupun tidak memandang matahari secara langsung.

Namun yang dikatakan nur adalah cahaya bulan. Cahaya ini suatu cahaya yang samar-samar bagi kebanyakan orang. Hanya orang yang benar-benar mencari bulan akan nampak cahaya tersebut dengan nyata. Sebaliknya, bagi orang yang memilih untuk duduk dalam rumah, tidak ada beza sama ada anak bulan ataupun bulan purnama yang muncul di langit. Dia tidak dapat menikmati indahnya sinaran bulan penuh yang menggamit jiwa.

Cahaya hidayah adalah cahaya yang terang. Tetapi jika kita hanya duduk-duduk dan berpeluk tubuh, kita tidak akan menjumpai cahaya itu. Perlunya seorang mukmin itu keluar dari kepompong keselesaan, dan berusaha untuk mencari 'bulan purnama' di tengah-tengah kegelapan jahiliyyah.

5:35

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya; dan berjihadlah pada jalan Allah supaya kamu beroleh kejayaan" (Al Maidah:35)

Dan dalam sebuah hadith qudsi:

وإن تقرَّب منِّي شبرًا ، تقرَّبتُ إليه ذراعًا . وإن تقرَّبإليَّ ذراعًا ، تقرَّبتُ منه باعًا . وإن أتاني يمشي ، أتيتُه هَرْولةً

"Dan jika (hambaKu) mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, aku mendekatkan diri kepadanya sehasta; dan jika dia mendekatkan diri sehasta, aku mendekatkan diri kepadanya sedepa. Dan jika dia mendatangiku berjalan, aku mendatanginya dengan berlari" (HR Muslim)

Carilah hidayah, walau lautan terpaksa kau redah.

1 comment: