24 August 2014

“Makhluk itu sentiasa mengintai saya..!”





“Saya takut, encik. Sangat takut.”

Dada Pak Maun turun naik dengan deras, nafasnya berhembus kencang. Kejap-kejapan matanya memandang ke kiri, kemudian ke kanan, seakan-akan ada seseorang, atau sesuatu, yang sedang memburunya.  

“Semenjak saya tahu makhluk ni duk ikut saya, saya jadi tak tenang. Nak keluar rumah, berjaga-jaga. Nak keluar duit, risau. Nak pergi ‘toilet’ pun cuakkkkk!!!!!”, ujar Pak Maun dengan bersungguh-sungguh.
  
Wawancara di atas mungkin lebih sesuai dijadikan bahan utama dalam majalah-majalah seram yang laku di pasaran, bukan dalam sebuah blog yang membicarakan perihal dakwah & tarbiyah. Mungkin anda akan sedikit hairan jika penulis mengatakan bahawa Pak Maun adalah contoh manusia yang telah ditarbiyah dengan baik.

Kenapa pula?

Masyarakat di negara ini terkenal sejak zaman purbakala dengan ketakutan kepada makhluk halus. Sehingga ke hari ini, majalah-majalah mistik dan seram dijual walaupun di sekecil-kecil kedai runcit. Filem-filem seram picisan yang tidak menambahkan nilai moral dan intelek dihasilkan saban tahun. Setiap penyakit yang tidak dapat dijelaskan sebab-sebabnya secara automatik disandarkan kepada ‘gangguan’ atau ‘buatan orang’. Semua ini menggambarkan kuatnya ‘iman’ sebilangan masyarakat Islam di negara ini kepada ‘al-ghaib’, yang difahami sebagai makhluk menakutkan yang tidak dapat dilihat.

Ketakutan ini mampu mencapai tahap yang melampau-lampau, sehingga takut kepada makhluk ini melebihi takut kepada Pencipta makhluk. Pelik bukan! Kalaulah iman kepada perkara ghaib ini dapat dihalakan kepada perkara-perkara yang benar, yakni

Takut kepada pengawasan Allah,

Takut dicatat oleh malaikat pencatat,

Takut datangnya malaikat maut pada bila-bila masa,

Kita pasti akan melihat satu perubahan yang besar pada manusia di negara ini. Pegawai-pegawai takut untuk mengambil rasuah walaupun di ceruk yang paling tersorok. Pengurus kewangan akan sangat berjaga-jaga, dari mana sumber wang dan ke mana ia dibelanjakan. Orang ramai akan berhijrah daripada kepercayaan karut yang menumpulkan akal dan hati, kepada kepercayaan yang berteraskan iman, yang berlandaskan al-haq kerana hati-hati mereka hanya takut kepada Allah dan mereka hanya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Muraqabah (merasai pengawasan Allah) lebih penting lagi buat para du’at yang mengaku membawa risalah kebenaran. Tarbiyah ini pada asasnya tidak lain daripada tarbiyah imaniyah, dan para du’at umpama  para pekebun yang menanam benih-benih iman dalam tanah yang kontang. Benih itu menumbuhkan pohon yang teguh, akarnya mencengkam jauh ke dalam bumi. Pohon ini tidak tertumbang dek taufan, tidak kering dek teriknya pancaran dan tidak lemas ditenggelamkan hujan.

Iman adalah pencetus kepada semua perkara lain. Iman akan memastikan komitmen seseorang kepada tarbiyah walaupun dia seorang diri. Ia akan melindungi seseorang daripada dualisme, menjadi malaikat di hadapan manusia dan menjadi syaitan di belakang mereka.

Sejuta patah perkataan tidak dapat menggambarkan pentingnya tarbiyah keimanan ini. Jagalah iman kita dan beri penekanan yang tinggi kepada pembentukan iman pada sasaran-sasaran dakwah kita. Iman yang benar kepada perkara ghaib adalah ciri khusus orang-orang yang bertakwa:
"Itulah Al-Kitab, tidak ada sebarang syak padanya; ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Al Baqarah : 2-3)

Insyaallah suatu hari akan lahir ramai lagi ‘Pak Maun’ yang merintih: “Takut nak buat maksiat, Allah sedang mengintai saya…!!”

No comments:

Post a Comment