04 October 2012

JOM ke Seminar Wanita & syariah ^__^



Suasana masyarakat masakini sedang menyaksikan keruntuhan peradaban manusia berpunca dari penghakisan nilai-nilai murni dan pengabaian tanggungjawab ahli-ahli keluarga dalam unit asas masyarakat. Institusi kekeluargaan tidak lagi mampu memainkan peranan serta fungsi-fungsi asasnya dengan baik dan ia semakin hilang kepentingannya sehingga ada yang menganggap keluargalah punca penderitaan ramai manusia di dunia ini.
Pandangan negatif terhadap institusi kekeluargaan sudah lama menular dan berakar umbi dalam masyarakat, terutamanya di kalangan mereka yang terpaksa melalui pengalaman pedih hidup dalam penderitaan dan penganiayaan fizikal, seksual serta emosi yang dicetuskan oleh ahli keluarga sendiri. Kelompok yang berpandangan sebegini, sebenarnya telah meresap masuk dan menjadi suara lantang di persada antarabangsa serta telah berjaya membentuk satu gelombang pergerakan yang menentang keluarga (anti-family movement).
Di peringkat penggubalan polisi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) bermula dengan Convention on the Elimination of all Forms of Violence and Discrimination Against Women (CEDAW), kelompok yang diketuai oleh golongan feminis ini telah berjaya melobi agenda anti-keluarga dalam hampir kesemua dasar-dasar serta polisi yang dikeluarkan. CEDAW yang merupakan satu undang-undang antarabangsa yang menyentuh hak-hak wanita khususnya berkaitan penghapusan diskriminasi ke atas wanita pada dasarnya tidak bersifat anti-keluarga namun perubahan yang berlaku seterusnya memberikan gambaran bahawa pergerakan anti-keluarga ini telah mendapat tempat di badan dunia tersebut.
Terdapat tiga aspek yang begitu ketara diperjuangkan iaitu
  • meluaskan definisi ‘gender’ yang dipergunakan di UN untuk ditakrifkan sebagai satu konstruk sosial yang memberikan ruang yang luas dari sudut penakrifan, bagi memasukkan dan mengiktiraf orientasi seksual yang lain, termasuklah golongan homoseksual dan lesbian.
  • memastikan semua negara di dunia mengiktiraf penguguran sebagai satu hak asasi reproduksi wanita, yang dikatakan boleh menentukan sama ada dia mahu terus hamil atau sebaliknya. Pengharaman pengguguran di sudut undang-undang dikira sebagai satu pencerobohan terhadap hak asasi wanita.
  • mengubah definisi ‘unit keluarga’ iaitu tidak hanya bermula dengan perkongsian hidup seorang lelaki dan wanita yang kemudiannya menghasilkan zuriat, sebaliknya merangkumi juga keluarga ibu atau bapa tunggal serta keluarga golongan homoseksual dan lesbian yang membuat keputusan untuk tinggal bersama dan membela anak-anak.
Usaha melobi yang begitu agresif oleh golongan feminis radikal ini telahpun banyak mewarnakan dokumen-dokumen yang diluluskan oleh UN dan mempunyai kesan yang signifikan, sama ada secara terus atau tidak langsung terhadap polisi mengenai wanita dan keluarga di semua negara di dunia. Kerajaan Malaysia sendiri telah membuat ratifikasi kepada CEDAW, dengan beberapa reservasi yang antara lainnya menetapkan yang ianya tidak bercanggah dengan peruntukan di bawah perlembagaan Persekutuan.
Perjuangan memastikan keluarga terus menjadi unit asas yang paling penting dalam pembangunan ketamadunan manusia masih tetap mendapat sokongan dan perhatian masyarakat. Deklarasi Doha yang mewakili pandangan pro-famili telah dikeluarkan yang mencakupi aspek etika, agama dan budaya, maruah manusia, keluarga, perkahwinan, keibubapaan serta anak-anak.
Dalam negara kita sendiri, usaha dan komitmen untuk mempertahankan institusi keluarga menjadi salah satu keutamaan yang jelas ketara di semua peringkat. Ini termasuklah pembentukan beberapa dasar kerajaan yang dilihat sebagai satu petunjuk positif sejauhmana pihak yang bertanggungjawab memberikan penekanan dalam aspek kekeluargaan ini.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor meyakini bahawa masyarakat perlu diberikan kefahaman tentang gerakan anti-keluarga ini dan memastikan usaha-usaha untuk mengembalikan kemurnianan institusi keluarga dikongsi bersama oleh semua ahli masyarakat.
Sehubungan dengan itu, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia, Negeri Selangor dengan kerjasama FELCRA Training & Consultancy (FTC) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Wanita dan Syariah dengan tema ”Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat”.
1. OBJEKTIF SEMINAR
  1. Meningkatkan kefahaman terhadap CEDAW, Deklarasi Doha dan dasar-dasar negara yang berkaitan serta kesannya terhadap pembangunan wanita Islam
  2. Memberi pendedahan dan kefahaman tentang kesan undang-undang antarabangsa terhadap pembangunan wanita Islam di Malaysia
  3. Menilai konsep kesaksamaan gender daripada perspektif Islam

No comments:

Post a Comment