16 October 2012

Seminar 'Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat' 14/10/2012


Pada 14 Oktober 2012 yang lalu, telah berlangsung Seminar Wanita & Syariah 2012 bertemakan 'Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat'. Seminar yang dianjurkan oleh Wanita Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor, dengan kerjasama FELCRA Training & Consultancy ini telah diadakan di Dewan Wisma Felcra, Setiawangsa, Kuala Lumpur, bermula jam 9 pagi hingga jam 1.30 petang.

Program ini bertujuan memberikan kefahaman mengenai pentingnya masyarakat menyokong agenda mengarusperdanakan keluarga sebagai unit asas yang sangat signifikan dalam pembangunan ketamadunan manusia. Ternyata, usaha mengembalikan kegemilangan institusi kekeluargaan dapat dilakukan dengan penghayatan dan pengamalan syariah yang sememangnya diturunkan sebagai rahmat buat sekalian alam.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah at-Tahrim (ayat 6-12), kemudian disusuli dengan ucapan perasmian oleh YDP IKRAM Selangor, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus. Ucapan yang sungguh bertenaga ini memberikan penghargaan kepada peserta lelaki yang turut menyertai seminar ini. Ucapan beliau turut menyentuh hikmah agung daripada sai'e dan kaitannya dengan peranan wanita yang diiktiraf oleh Allah. Selain itu, beliau turut menegaskan komitmen IKRAM untuk terus mendidik wanita dengan tarbiah serta memperkasakan wanita untuk turut menyumbang di dalam masyarakat.

Sesi ucaptama 'Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat' pula disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Hj Siraj, Pengerusi JK Pembangunan Sosial IKRAM. Ucaptama yang menarik ini menyentuh kepentingan institusi keluarga dalam pembangunan masyarakat serta senario keluarga semasa di Malaysia dan dunia. Banyak pendedahan berasaskan fakta dan statistik telah mengejutkan para peserta untuk tidak sewenang-wenangnya merasa selamat daripada ancaman terkini terhadap institusi kekeluargaan. 

Ternyata, hanya dengan hidup di bawah naungan syariah, masyarakat akan berupaya memperbaiki keadaan ini dan hidup dengan sejahtera dan bahagia. Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai agenda mengarusperdanakan keluarga serta cadangan peranan yang boleh dilakukan untuk menzahirkan harapan murni ini.

Setelah majlis berhenti rehat untuk sesi kudapan dan sidang media, majlis diteruskan dengan sesi forum. Pn Azlina Roszy Mohamad Ghaffar telah membentangkan mengenai CEDAW, Deklarasi Doha dan dasar-dasar negara berkaitan keluarga. Kemudian, Prof Dr. Najibah Mohd Zin berkongsi tentang Hak-hak asasi wanita: perbandingan antara CEDAW dan undang-undang Islam. Sesi ini dan sesi soal jawab kemudiannya dikendalikan oleh Dr. Zulfakar Ramlee selaku moderator.

Diharapkan seminar ini telah membuka mata para peserta mengenai senario terkini dunia berkaitan keluarga. Semoga kesedaran ini juga akan dikongsikan oleh para peserta dengan ahli masyarakat yang lain, selain menjalankan peranan efektif untuk mengarusperdanakan keluarga di bawah naungan syariah untuk membangun masyarakat dan peradaban yang sejahtera.

*Bahan-bahan yang dibentangkan semasa sesi ucaptama, dan forum boleh diperolehi di sini


No comments:

Post a Comment