KENYATAAN AKHBAR SEMPENA
SEMINAR WANITA DAN SYARIAH 2012
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Selangor
Pada hari ini Ahad, 14 Oktober 2012 bersamaan dengan 27 Zulkaedah 1433H, Wanita IKRAM Negeri Selangor mengadakan Seminar Wanita dan Syariah dengan tema“Mengarusperdanakan Keluarga Asas Pembangunan Masyarakat”. Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan kefahaman mengenai keluarga sebagai unit asas yang paling penting dalam pembangunan ketamadunan manusia. Program Seminar Wanita dan Syariah ini merupakan kesinambungan dari siri seminar yang dianjurkan oleh Wanita IKRAM Negeri Selangor bagi mengajak kaum wanita terutamanya bahawa syariah itu diturunkan sebagai rahmat kepada sekelian alam. Siri seminar ini yang bermula pada tahun lepas dengan memberikan kesedaran bahawa kesejahteraan diri dan kehidupan seorang wanita itu akan terjamin dalam syariah Islam kini diteruskan dengan memberi fokus terhadap aspek kekeluargaan. Pelaksanaan program kali ini diharapkan akan dapat menyumbang kepada segala usaha yang telah dilakukan untuk mengembalikan kemurnian institusi keluarga dalam masyarakat.
Kesucian dan keutuhan institusi kekeluargaan itu harus terus menjadi fokus untuk dipertahankan oleh setiap ahli masyarakat. Sehubungan itu, kaum lelaki sebagai pemimpin keluarga diperingatkan akan tanggungjawab mereka terhadap keluarga sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran dalam Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”.
Dari kiri: Dr Roohaida dan Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Timbalan Ketua Wanita IKRAM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj (JKP IKRAM) dan En. Rohaizat Ahmad (Pengarah Urusan FELCRA Training andConsultancy) dalam sidang media semasa Seminar Wanita dan Syariah di Wisma Felcra, Kuala Lumpur.
Suasana masyarakat masakini sedang menyaksikan keruntuhan peradaban manusia berpunca dari penghakisan nilai-nilai murni dan pengabaian tanggungjawab ahli-ahli keluarga dalam unit asas masyarakat. Institusi kekeluargaan menjadi kian rapuh dan semakin hilang kepentingannya sehingga ada yang menganggap keluargalah punca penderitaan ramai manusia di dunia ini. Pandangan negatif terhadap institusi kekeluargaan sudah lama menular dan berakar umbi dalam masyarakat, terutamanya di kalangan mereka yang terpaksa melalui pengalaman pedih hidup dalam penderitaan dan penganiayaan fizikal, seksual serta emosi yang dicetuskan oleh ahli keluarga sendiri.
Kecelaruan pemikiran dan pemahaman tentang unsur kemanusiaan ini telah menyumbang kepada keruntuhan sosial yang berterusan memburuk dalam masyarakat. Allah swt telah berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Bagi menentang arus anti-famili ini, golongan pro-famili telah mengeluarkan Deklarasi Doha yang mencakupi aspek etika, agama dan budaya, maruah manusia, keluarga, perkahwinan, keibubapaan serta anak-anak. Dalam negara kita sendiri, usaha dan komitmen untuk mempertahankan institusi keluarga menjadi satu keutamaan melalui pembentukan beberapa dasar kerajaan seperti Dasar Wanita Negara dan Dasar Keluarga Negara. Oleh itu melalui program ini, Wanita IKRAM Negeri Selangor berhasrat untuk memberi pendedahan dan kefahaman tentang kesan undang-undang antarabangsa terhadap pembangunan wanita Islam di Malaysia.
Kami harap segala usaha kita dengan semua pihak akan mencapai matlamat kita memastikan kesejahteraan kehidupan semua ahli masyarakat kita.
Semoga Allah swt memberkati usaha ini.
Prof. Madya Dr. Roohaida Othman
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Negeri Selangor
No comments:
Post a Comment