03 September 2013

PERASMIAN PEJABAT DAN JAMUAN RAYA 1434H

BANDAR BARU BANGI, 31 Ogos: Pertubuhan IKRAM Malaysia cawangan Hulu Langat (IKRAM HL) telah menganjurkan majlis Perasmian Pejabat dan Jamuan Raya bersempena pembukaan pejabat baru cawangan, beserta bulan Syawal 1434H.

Perasmian pejabat IKRAM HL yang telah berlangsung di sebelah awal paginya telah dihadiri oleh ahli IKRAM HL dan juga para tetamu terhormat dari IKRAM pusat, di antara mereka yang hadir termasuk Ustaz Mohd Parid Sheikh Ahmad (Presiden IKRAM), Ustaz Shamsul Ma'arif Ismail (TYDP IKRAM Selangor), Dr. Ahmad Zainuddin Abdullah (Pengerusi KIMB), dan beberapa lagi wakil dari IKRAM Pusat beserta IKRAM Negeri Selangor.

Majlis telah dimulakan dengan pembacaan beberapa potong ayat al-Qur'an dari surah Taha (20), ayat 56-76, yang berkisar di sekitar kisah di antara nabi Musa AS dan para pesihir yang diupah oleh Firaun. Sejurus selepas tilawah al-Qur'an, YDP IKRAM Hulu Langat, Hj Sufyan Mohd Nor telah memberikan kata-kata aluan, dengan juga mengucapkan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang dalam mendirikan pejabat baru IKRAM HL.

Ustaz Mohd Parid kemudiannya telah memberikan ucapan perasmiannya, dengan membawa kita kepada memuhasabah terhadap perkembangan-perkembangan yang berlaku ke atas ummah seluruh dunia, terutamanya di Mesir dan Syria. Setelah beliau membacakan sebuah hadith Nabi tentang penyakit al-wahnu, beliau telah mengatakan, "Jadilah kita umat arus, yang mencorakkan dunia, bukan ummah yang dibawa arus dunia." Di akhir ucapan beliau, Presiden IKRAM telah merasmikan pejabat baru IKRAM HL dengan lafaz "BismiLlahirrahmanirrahim"

Para tetamu beserta kesemua ahli IKRAM HL yang hadir telah dijemput menikmati jamuan raya yang telah disediakan. Jamuan raya ini turut dihadiri oleh beberapa tetamu jemputan khas, di antara mereka termasuk, YB. Dr. Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Serdang), PITRAH Bangi, Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan lain-lain.

Ketika Hj. Sufyan sedang beramah mesra dengan YB. Dr. Ong Kian Ming, YB. Dr. Ong telah menyatakan bahawa beliau dan isteri juga turut berpuasa pada bulan Ramadhan yang lepas. Beliau hanya terlepas lima hari, ketika bertugas di Singapura hanya kerana hotel tersebut tidak menyediakan sahur.

Majlis yang dianjurkan IKRAM HL ini telah mendapat sambutan yang baik dari ahli dan juga dari tetamu-tetamu terhormat. Para hadirin yang hadir telah berpeluang mengukuhkan ukhuwah dan hubungan di antara mereka. -IMHL

--
Gambar-gambar lanjut boleh didapati di Facebook IKRAM HL; KLIK.

No comments:

Post a Comment