27 September 2013

Qurban 02: Hukum Ibadah Qurban & Pandangan Ulama'

...bersambung...


HUKUM IBADAH QURBAN

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa qurban itu hukumnya wajib, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai sunnah.

Alasan yang mengatakan amalan qurban itu adalah wajib berdasarkan firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) qurbanmu.” (al-Kauthar, 108:1-2)

Di dalam sebuah hadith Nabi SAW;
‘Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan qurban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.” ‘ (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan qurban adalah suatu amalan sunnah adalah berpandukan hadith Nabi SAW;
“Aku diperintah untuk melakukan qurban dan qurban itu adalah sunnah bagi kamu.” (HR. at-Tirmizi)

Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW menyatakan;
“Diwajibkan ke atasku supaya berqurban dan tidak diwajibkan ke atas kamu.” (HR. Dar al-Qutniy)

Berdasarkan hadith di atas, ibadah atau amalan qurban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya.


Terdapat satu athar sahabat (hadith mengenai sahabat Nabi) bahawa Abu Bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah qurban, sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu, maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir sekiranya mereka berqurban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka. (HR. Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunat muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqh. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berat daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).

Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;

“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…” (HR. at-Tirmizi dan al-Hakim)

Sehubungan dengan itu, ibadah qurban dikira sama ada sunat muakkad atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah qurban.

Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya adalah ‘sunnah muakkadah’ (sunat muakkahd) iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berqurban dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berqurban.

Namun begitu kebanyakan ulama’ berpendapat ibadah qurban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah qurban seumur hidupnya. Jika dia tidak berqurban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah bahawa nabi telah berqurban bagi pihak umatnya.

Berpandukan kepada amalan qurban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulama’ berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih qurban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment