23 September 2013

Qurban 01: Sejarah, Pengertian dan Dalil


SEJARAH ASAL USUL QURBAN

1. Qurban Zaman Nabi Adam A.S. (Rujuk Surah al-Maidah, 5:27- 31)
2. Qurban Zaman Nabi Nuh A.S.
3. Qurban Zaman Nabi Daud dan Sulaiman A.S.
4. Qurban Zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S.
5. Qurban Zaman Nabi Musa A.S.
6. Qurban Bangsa Yunani dan Rom
7. Qurban Abdul Mutalib nenda Rasulullah S.A.W.

PENGERTIAN QURBAN

Bahasa: Nama yang diberikan terhadap apa yang diqurbankan atau apa yang disembelih pada Hari Raya Adha.

Dinamakan juga sebagai ‘Udhiyyah’ yang berasal daripada perkataan ‘Dhuha’ iaitu waktu Dhuha, kira-kira antara jam 7.00 hingga 11 pagi, kerana qurban disyariatkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan setelah selesai Solat Eidul Adha.

Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada perkataan Al-Udhiyyah dan Ad-Dhahiyyah yang dimaksudkan binatang sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Qurban dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah.

Syarak: Menyembelih haiwan yang tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus (hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulama’.

DALIL-DALIL MENGENAI QURBAN

1. DALIL AL-QUR'AN

Firman Allah (bermaksud);
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (wahai Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu (pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) qurbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (al-Kauthar, 108:1-2)

FirmanNya lagi;
“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” (al-Haj, 22:36)

2. DALIL HADITH MENGENAI KELEBIHAN QURBAN

Banyak hadith yang membicarakan mengenai ibadah qurban, antaranya hadith daripada A’isyah, Rasulullah bersabda (yang bermaksud);
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang qurban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah qurban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang qurban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk diqurbankan.” (HR. Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadith Hasan Gharib)

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”
Rasulullah SAW menjawab: “Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”
Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”
Baginda menjawab: “Tiap helai bulu (dari binatang yang diqurbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berqurban, akan tetapi dia tidak mahu berqurban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

3. DALIL IJMA’ ULAMA’

Para ulama’ Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan qurban berdasarkan ayat dan hadith Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan qurban merupakan amalan yang paling disukai Allah pada Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang diqurbankan akan didatangkan di Hari Kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Qurban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah yang bermaksud;
“Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (as-Soffaat, 37:107)

Bersambung...

No comments:

Post a Comment