04 October 2013

Perkhemahan Ahli Aktif Wanita Tiga Daerah


HULU LANGAT, 29 September: Sekreteriat Mukhayyam (Perkhemahan) IKRAM gabungan tiga daerah IKRAM (Kajang, Hulu Langat dan Sepang) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Ahli Aktif bertempat di Kem Lubok Manggis, Hulu Langat. Program yang melibatkan 50 orang peserta ini bermula pada malam Jumaat, 27hb September dan tamat pada tengahari Ahad, 29 September 2013. Dengan bertemakan Tadabbur Alam, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sedari awal program sehingga ke penghujungnya – baik indoor mahupun outdoor, serta memenuhi tuntutan fizikal, minda dan rohani.


Mukhayyam dimulakan dengan ucapan alu-aluan diikuti dengan sesi ta’aruf sesama peserta program pada malam Jumaat di Masjid Sungai Ramal Baru, Kajang.

Pada Sabtu pula, hari dimulakan dengan pemeriksaan kesihatan yakni pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan pengiraan BMI. Melalui sesi ini, para peserta ditekankan mengenai kepentingan memelihara nikmat kesihatan yang Allah beri melalui pemeriksaan berkala dan penjagaan kesihatan melalui pemakanan, riadhah dan sebagainya.

Kemudian para peserta ditugaskan untuk bergerak ke tapak mukhayyam iaitu Lubok Manggis, Hulu Langat secara konvoi berkumpulan. Dalam perjalanan, para peserta ditugaskan untuk membeli barang mentah untuk memasak dan jugak tugasan tadabbur ayat al-Quran bertemakan alam semulajadi.

Setibanya di Lubok Manggis, para peserta dikehendaki masak sendiri dengan barang yang dibeli dan peralatan masak yang disediakan sendiri. Aktiviti ini mendidik kemahiran survival di samping kerjasama antara ahli dalam kumpulan, di samping perancangan yang tersusun.

Pada keesokan harinya, slot ‘Aku, Dia dan Alam’ mengajak para peserta untuk duduk tafakkur dan tadabbur alam bagi menghasilkan puisi tentang alam.

Selesai mendeklamasikan puisi, mukhayyam diteruskan dengan slot pengisian dengan Ustazah Maznah, Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia. Menjelang tengahari, majlis penutup dan penyampaian hadiah dijalankan sebagai mengakhiri Mukhayyam Ahli Aktif daerah Hulu Langat, Kajang dan Sepang bagi tahun 2013.

Program Perkhemahan bagi setiap peringkat ahli adalah program tahunan bagi IKRAM.-IMHL

No comments:

Post a Comment