21 November 2011

Risalah Mursyid: Apa Lagi Selepas Haji?

Oleh Dr. Muhammad Bad'i, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin

Segala puji bagi Allah Rabbil-‘alamin, selawat dan salam ke atas Rasulullah dan mereka yang mengikutinya serta mendokongnya.

Kejayaan Ummah Terletak Pada Ketaatan Yang Berterusan

Sesungguhnya antara tanda haji mabrur ialah muslim yang menunaikan haji itu terus istiqamah selepas hajinya. Dia tetap iltizam dalam ketaatannya kapada Tuhannya dan dia menjadi lebih baik daripada sebelumnya, itulah tanda ibadahnya diterima. Seorang salaf berkata: “Tanda mabrurnya haji ialah bertambah kebaikan selepasnya dan tidak mengulangi maksiat sekembalinya.” Al-Hasan al-Basri berkata: “Haji mabrur ialah dia kembali dalam keadaan zuhud di dunia, cinta kepada akhirat.”

Imam al-Banna berkata: “Alangkah besarnya keagongan Rububiyyah! Alangkah hebatnya kelebihan Uluhiyyah! Allah melimpahkan kurniaNya ke atas hamba-hambaNya, Dia mengundang mereka datang ke ‘rumah’Nya yang suci untuk mengampunkan dosa-dosa mereka, mensucikan hati-hati mereka, melipatgandakan pahala untuk mereka, membaharui ruh-ruh mereka, dan memberikan mereka limpahan kurnia yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia!”

Demikianlah, muslim yang mengerjakan haji pulang seperti hari dia dilahirkan ibunya untuk memulakan lembaran baru, kehidupan yang suci, bersih, tidak tercemar. Dia membawa tenaga baru yang hebat untuk melangkah ke medan kejayaan dalam hidupnya bersama Tuhannya, dirinya dan manusia. Itulah perkembalian yang terpuji dengan istiqamah yang tetap dan berterusan.

Rasulullah s.a.w. ditanya: “Apakah amalan yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Iman kepada Allah dan RasulNya.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab lagi: “Kemudian jihad fi sabilillah.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: “Kemudian haji yang mabrur.” (Al-Bukhari dan Muslim).

Haji mabrur ialah haji yang tidak diikuti dengan maksiat kepada Allah.

Keperluan Umat Kepada Talbiah Yang Berterusan

Talbiah ialah cetusan suara roh. Ia bukan sekadar luahan lisan. Malah ia diterjemah oleh perbuatan.

لبيك اللهم لبيك

Ungkapan suci yang terpancar dari hati, menyahut seruan Allah berterusan sepanjang tahun. Mengisytiharkan janji setianya, ketulusan matlamat hidupnya, merentasi kepayahan, rintangan dan kepenatan kerana cinta dan rindu kepada Allah. Muslim yang menunaikan haji memulakan langkah mengislah diri menjauhi fasad, fujur (kejahatan), ilhad (mengingkari kewujudan Tuhan), ibahiyyah (free sex), kezaliman, menceroboh ke atas hak-hak orang lain, keganasan dan usaha yang boleh mendatangkan kemusnahan kepada apa saja. Maka segala puji, ni’mat dan kerajaan hanya milik Allah Yang Esa semasta-mata. Bukan milik mana-mana kekuatan meskipun kelihatan begitu gah sekalipun.

Sesungguhnya talbiah merupakan dendangan kemuliaan yang merupakan tuntutan revolusi umat Arab masa kini; "Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman" (al-Munafiqun, 63:8). Ia merupakan selogan kemegahan bagi tanah air yang sedang melangkah menuju kebangkitan; "Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." (Aali Imran, 3:139). Ia adalah laungan harapan bagi mereka yang beramal dan berjihad "dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman" (ar-Rum, 30:47).

Imam al-Banna pernah menukilkan kesan dendangan ini dalam membentuk hidup bahagia: "Alangkah indahnya apabila kelopak hati mukmin berkembang menerima seruan dari Yang Maha Tinggi, sebagaimana kelopak bunga berkembang indah apabila menerima titisan air embun! Lalu ia menjadi mekar bahagia… setiap ketika terpantul dari lubuk hati kalimah suci لبيك اللهم لبيك"

Seandainya umat merealisasikan makna talbiah, Allah menjamin akan menolongnya. Dia akan hancurkan singgahsana kebatilan sebagaimana yang kita saksikan sekarang, satu persatu hancur bergelimpangan dengan izin Allah, iaitu ketika mana rakyat menghayati talbiah dan bersumpah akan tetap cekal menghadapi kezaliman dan kerosakan. Maka umat telah membuktikan dengan menghulurkan syuhada’dan para pejuang yang terluka di Mesir, Tunisia dan Libya. Dan esok sedang menanti giliran di Yaman dan Syria dengan izin Allah.

Kesatuan Umat Islam Harapan Seluruh Insan

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka." (al-Hajj, 22:27-28).

Haji merupakan muktamar Islami yang besar, manifestasi iman yang gemilang yang disertai oleh pelbagai bangsa, puak, suku, lapisan pada satu masa, di tempat yang sama, mengalunkan kata-kata yang sama, melaksanakan amalan yang sama, menghadap ke matlamat yang satu, iaitu mengisytiharkan ubudiyyah, perhambaan dan kesetiaan kepada Allah Yang Esa. Itulah risalah, misi yang berpanjangan setiap tahun: kamu adalah kekuatan dengan kesatuan kamu, kamu adalah kekuatan dengan tautan hati kamu. Maka atas dasar apa kamu berpecah?

Sesungguhnya telah tiba masanya sekarang untuk kamu realisasikan kewajipan kamu yang paling berharga yang termaktub di dalam firman ini (maksudnya): "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Aali Imran, 3:103)

Berwaspadalah kamu dari tipu daya musuh kamu. Mereka amat maher menggunakan senjata pecah belah dan berpuak-puak di kalangan kamu, yang sangat cekap menyebarkan perkara-perkara karut yang boleh melemahkan umat kita, mereka cuba mengalihkan matlamat, menimbulkan isu budaya, penjajahan bentuk baru dan berbagai-bagai slogan yang manakutkan. Jika kamu tidak berpegang teguh pada prinsip kesatuan dan iltizam di dalam satu saf, maka kamu akan ditimpa azab sebagaimana yang menimpa orang sebelum kamu, "Katakanlah: 'Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain'. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya." (al-An’am, 6:65)

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir r.a., apabila turun ayat ini baginda s.a.w. berkata: "Aku berlindung dengan WajahMu".

Sesungguhnya kesatuan umat hari ini merupaka satu harapan selepas kita melihat bagaimana haji menggugurkan sempadan antara negara-negara, bahkan antara benua-benua, sempadan yang dicipta oleh manusia-manusia yang tamak, mementingkan diri dan individualistic. Sesungguhnya haji bukan saja membuatkan kita merasai kesatuan dunia Islam semata-mata, malah ia membuatkan kita merasai kesatuan bumi ini, kesatuan manusia dan kemanusiaan. Semasa haji wadak, Rasulullah s.a.w. telah mengisytiharkan secara jelas dan nyata dasar kebebasan, persamaan dan keadilan. Baginda menyeru: “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu dan bapa kamu satu. Ketahuilah bahawa tiada kelebihan bagi Arab ke atas ‘Ajam, dan tiada kelebihan bagi ‘Ajam ke atas Arab. Tiada kelebihan bagi merah ke atas hitam dan tiada kelebihan bagi hitam ke atas merah kecuali dengan taqwa.” (al-Baihaqi). Baginda juga mengisytiharkan pengembalian hak wanita, kedudukan dan kehormatannya. Tegasnya, ia merupakan perisytiharan hak asasi manusia serta kemuliaan mereka, “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram ke atas kamu sebagaimana haramnya hari ini, di bulan ini dan di negeri ini!” (Muslim). Bilakah dunia akan sedar bahawa botol ubat untuk menyelamatkan dunia ada pada Islam yang merupakan system hidup dan penyelesai kepada semua permasalahan?

Sayyid Qutub pernah menukilkan tentang haji dan apa yang tersirat di sebaliknya: “Haji merupakan muktamar untuk bertaaruf, bertasyawur (mesyuarat), menyelaraskan langkah, menyatukan kekuatan, bertukar-bertukar pengalaman, barang dagangan, percubaan-percubaan dan mengatur urusan dunia Islam yang satu, yang lengkap dan melengkapkan sekali dalam setahun.”

Maka adakah umat telah memetik buah manfaat haji dalam kesatuan yang syumul dengan menggabungkan semua kekuatannya, mengumpulkan segala persediaannya dan menghimpunkan segala potensinya untuk membina kemajuan, memacu kebangkitan sebagai persediaan untuk memikul amanah dan menegakkan risalah? Sesungguhnya haji, selain ia merupakan satu ibadah dan taqarrub kepada Allah, padanya manfaat kemasyarakatan, kebudayaan, ekonomi, politik dan pendidikan. Ia merupakan saham besar dalam membina watan, meningkatkan kesedaran umat, menyelesaikan permasalahan, mengaktifkan pergerakan dan memantapkan halatujunya.

Janji Bersama Allah Yang Kukuh

Sesungguhnya Imam a-Banna telah menyimpulkan kewajipan umat selepas haji dalam ucapannya kepada rombongan haji: “Wahai saudara-saudara, sesungguhnya kita sekarang berada di negeri haram, di hadapan Baitillahil-haram, zamzam dan Maqam Ibrahim. Kita berjanji kepada Allah dengan janji yang kukuh bahawa kita akan memikul beban jihad dan pengorbanan dalam menegakkan prinsip Islam yang tinggi dan ajarannya yang murni. Kita akan perangi dengan izinNya semua bid’ah dan khurafat yang diserapkan ke dalam agama kita yang dibina di atas dasar tauhid yang benar. Itulah fikrah yang sejahtera. Sesiapa yang merasinya, dia akan mengecapi kemanisan iman dan dia termasuk orang yang diterima di sisi Allah.

Ketahuilah bahawa kebahagian muslimin tidak akan terlaksana dan tidak akan berlaku kecuali dengan mereka menjadikan al-Quran al-Karim sebagai dustur (perlembagaan) dan undang-undang mereka. Ambil daripadaku kalimah ini: sesungguhnya Allah tidak menolong kaum yang fasiq yang meninggalkan agama mereka dan mengikuti jalan syaitan yang direjam. Pada hari kita kembali ke pangkuan al-Quran dan as-Sunnah, hari itu kita akan melihat pertolongan Allah tegak di hadapan mata kita kerana itu adalah janji daripada Allah. Dan janji Allah itu benar. Dia tidak memungkirinya. Bacalah firmanNya: “dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (ar-Rum, 30:47)

Dan aku mengingatkan kamu wahai Ikhwan, kamu yang memikul dakwah ini, kamu berusaha menyebarkannya, kamu berkorban waktu, harta dan tenaga di jalannya, terutama pada masa kini, dengan apa yang telah ditegaskan oleh Imam al-Banna di tanah suci jalan-jalan yang menjamin kejayaan dakwah kamu. Beliau berkata: “Yang aku maksudkan bahawa dakwah Ikhwan Muslimin ialah dakwah yang ikhlas kerana Allah sejak hari pertama ia ditubuhkan. Ia diasaskan di atas taqwa kepadaNya, bersandarkan kepada keagonganNya. Inilah dakwah yang aku yakin untuk berjaya mesti ada dua perkara asas:

Pertama: kebersihan orang yang mendokongnya, kesucian jiwa mereka sehingga mereka layak menerima bantuan dan pertolongan daripada Allah Tabaraka wa Ta’ala

Kedua: hubungan hati-hati ini dengan da’i awwal s.a.w., hubungan ruhi yang kuat yang membawa kepada berpegang teguh dan mengikuti sunnahnya. Tidak akan baik akhir umat ini melainkan dengan apa yang membaikkan awalnya.

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Wahai Tuhanku, maka saksikanlah.

Selawat dan salam ke atas Rasulullah, Allah Maha Besar dan segala puji bagiNya

10 November 2011

Nasionalisme Pemecah Kesatuan Ummah

Oleh Ustaz Wan Ahmad


Ada sebuah ayat di dalam Al-Qur'an yang mengisyaratkan bahwa suatu masyarakat sengaja menjadikan "berhala" tertentu sebagai jambatan penghubung antara satu individu dengan individu lainnya. Sebegitu rupa "berhala" itu diagungkan sehingga para anggota masyarakat yang "menyembahnya" merasakan tumbuhnya semacam "kasih-sayang" di antara mereka.

04 November 2011

Madrasah Zulhijjah

Oleh Ustaz Wan Ahmad

Kita ketika ini telah memasuki bulan Zulhijjah 1432 H. Ini bermakna sudah dua bulan kita keluar dari Madrasah Ramadhan dan kini masuk pula untuk mendapatkan tarbiyah Allah SWT yang lain, iaitu Madrasah Zulhijjah.

Mengapa ia disebut Madrasah Zulhijjah? Ini adalah kerana pada bulan ini ada tiga ibadah besar yang sarat dengan nilai-nilai tarbiyah iaitu :

  • Haji.
  • Solat Aidil Adha.
  • Qurban.
  • Di samping itu ada pula ibadah sunnah muakkad bagi yang tidak menunaikan fardhu haji iaitu Puasa Hari Arafah.

Oleh yang demikian kita semua dituntut untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi bulan Zulhijjah ini sehingga ketika ianya datang menemui kita, kita telah bersiap sedia dengan amal-amal di bulan ini sekaligus mengambil nilai-nilai tarbiyah yang ada di dalamnya.

IKRAM Mengenai Program Seksualiti Merdeka


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penganjuran Program Seksualiti Merdeka
4 November 2011

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menganggap penganjuran Program Seksualiti Merdeka adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip akhlak dalam Islam dan fitrah kemanusiaan sejagat.

Program Seksualiti Merdeka bertujuan memperjuangkan kesamarataan dalam pengamalan seks dan menentang diskriminasi ke atas golongan-golongan LGBTIQ (Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual, Intersexual and Queer).

31 October 2011

Perlawanan Ukhuwwah Kajang-HL

UNITEN, BANGI - Beberapa perlawanan ukhuwwah bola sepak di antara IKRAM Kajang dan IKRAM Hulu Langat (HL) telah diadakan di stadium UNITEN pada 29 Oktober 2011. IKRAM Kajang telah menjadi tuan rumah kepada acara yang berlangsung dari jam 8 pagi sehingga 11 pagi tersebut. Jika perlawanan di antara IKRAM HL dan IKRAM AJ pada 26 Oktober yang lalu hanya ada kumpulan pemuda, acara kali ini dianjurkan dengan empat kategori; Remaja (16-18 tahun), IPT (19-25 tahun), Belia (26-35 tahun) dan Senior (36 tahun ke atas).

29 October 2011

Perlawanan Bola Pemuda IKRAM: HL vs AJ


KAJANG – Perlawanan bola sepak ukhuwah antara Pemuda IKRAM Hulu Langat dengan Pemuda IKRAM Ampang Jaya telah berlangsung di Stadium Mini Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini pada Rabu 26 Oktober lalu. Perlawanan tamat dengan keputusan seri 4-4. Perlawanan ini salah satu proses menarik minat belia bukan IPT untuk bersama menyertai aktivisme dan dakwah Pemuda IKRAM yang sebahagiannya menjadi pemain bagi kedua-dua pasukan. Perlawanan ini juga sebagai salah satu usaha Pemuda Daerah untuk mempelbagaikan program bagi menarik lebih ramai belia luar untuk memahami dan menyertai IKRAM serta merapatkan ukhuwah di kalangan warga Pemuda IKRAM Daerah itu sendiri. Program bermula pada malam sebelumnya dengan katibah bersama di Surau Abdul Rahman Auf di Bangi. Kedua-dua pemain pasukan tidur pada malamnya dan bangun untuk qiamullail pada jam 5.00 pagi. Selepas Kuliah Subuh yang menarik oleh Pengerusi Tarbiah IKRAM Hulu Langat Ust Zamri Abdul Rahim, pemain terus bergegas ke Stadium untuk persediaan perlawanan.

23 October 2011

Seminar Wanita & Syariah 2011


KENYATAAN AKHBAR SEMPENA
SEMINAR WANITA DAN SYARIAH 2011
Wanita Pertubuhan IKRAM (IKRAM) dan
Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Selangor

Pada hari ini Ahad, 23 Oktober 2011 bersamaan dengan 25 Zulkaedah 1432H, Wanita IKRAM dan Wanita JIM Negeri Selangor mengadakan Seminar Wanita dan Syariah bagi memberikan kesedaran bahawa kesejahteraan diri dan kehidupan seorang wanita itu akan terjamin dalam syariah Islam. Pelaksanaan program ini diharapkan akan dapat menyumbang kepada segala usaha yang telah dilakukan sebelum ini bagi membetulkan persepsi yang silap mengenai kedudukan wanita dalam Islam.

27 September 2011

Muktamar Pelajar IM: Pesanan Buat Pemuda


Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, yang indah lagi diberkati. Selawat dan salam ke atas penghulu kita, ikutan kita dan pemimpin kita Muhammad s.a.w, keluarga serta sahabat-sahabat baginda semuanya.

Anak-anakku muda mudi tercinta,

Ketahuilah bahawa kamu adalah harapan umat, lengan-lengannya yang gagah, mindanya yang cerah, masa depannya yang gemilang, harapannya yang bersinar dan kekuatannya yang terpendam. Kamu adalah unsur kebangkitan umat, kemajuan serta kegemelingannya yang paling penting. Itulah kedudukan kamu, itulah nilai kamu. Itulah tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, dihadapan umat dan dihadapan diri kamu sendiri. Sesungguhnya kamu adalah bekalan untuk masa depan tempat bergantungnya harapan untuk kebangkitan umat kamu.

Dan kami, ketika kami berkata demikian bukan kerana hendak mengampu atau mengambil hati kamu. Sebaliknya kami menegaskan sesuatu yang memang menjadi reality dan mengiktiraf sesuatu yang benar. Itulah juga yang dipesan oleh kekasih kita yang terpilih, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. bermaksudnya:
“Hendaklah kamu saling berpesan agar memelihara para pemuda dengan baik kerana sesungguhnya mereka itu memiliki hati yang paling lembut.”
Bertitik tolak dari sini, maka terdapat beberapa perkara yang wajib keatas kamu terhadap semua aspek yang melingkungi kamu dan yang berkaitan dengan diri kamu.

18 September 2011

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1432H


BANGI - Majlis Ramah Mesra Aidilfitri IKRAM / JIM / PIBG Sri Al-Amin, Bangi telah diadakan dengan jayanya diperkarangan Sekolah Sri Al-Amin, Bangi dengan dihadiri oleh kira-kira 1000 pengunjung. Para pengunjung adalah terdiri dari warga Ikram Daerah Hulu Langat, Kajang, ahli-ahli PIBG, JIM DHL, warga Sekolah Al-Amin dan masyarakat setempat beserta keluarga masing-masing.

Majlis telah diserikan dengan kehadiran Presiden Ikram, Ust Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, ahli-ahli JKP dan JKN. Acara kemuncak pada sambutan kali ini adalah penyerahan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak 12 tahun kebawah diikuti anak-anak berumur 13 - 15 tahun dan seterusnya anak-anak berumur 16 dan 17 tahun. Sebanyak 600 sampul duit raya telah disediakan unuk majlis ini.

Majlis Ramah Mesra ini telah diceriakan oleh Pengerusi Program, Dr Mohd Hariffin Boosroh (gambar), TYDP Ikram Hulu Langat.

Lagi gambar boleh didapati di Facebook IKRAM Hulu Langat

14 September 2011

JEMPUTAN: Majlis Aidilfitri 1432H


Dengan segala hormatnya
Warga IKRAM Hulu Langat
bersama keluarga

Dijemput untuk menghadiri
Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1432H

Anjuran bersama
IKRAM Kajang
IKRAM Hulu Langat
JIM Daerah Hulu Langat  
PIBG Sekolah Sri Al-Amin Bangi

Tarikh
18 September 2011/ 20 Syawal 1432H (Ahad)

Masa
9.30 pagi – 1.30 petang

Tempat
Sekolah Sri Al-Amin Bangi,
Sungai Tangkas, Kajang

Semoga dengan kehadiran anda sekeluarga akan memeriahkan lagi majlis ini

05 September 2011

Mursyid Am IM: Tahniah Buat Rakyat Mesir



MESIR - Prof Dr Mohamed Badie, Mursyid Am Ikhwan Muslimin, mengirimkan ucapan tahniah yang tulus kepada rakyat Mesir, negara-negara Arab dan Islam sempena Hari Raya Eidul Fitri, sambil berdoa kepada Allah SWT agar menjadikannya sebagai perayaan yang menggembirakan orang-orang Mesir, yang pernah dibayangi ketidakadilan dan kekejaman di mana kini telah menikmati kebebasan.

15 August 2011

Ramadhan al-Mubarak!


Iftar Perdana



BANGI - Iftar Perdana anjuran bersama PIBG Sekolah Sri Al Amin Bangi, Ikram Hulu Langat, Ikram Kajang, JIM Daerah Hulu Langat dan FASA telah diadakan pada hari Sabtu bermula jam 6.45 Petang.

Majlis Iftar Perdana ini telah dihadiri oleh kira-kira 800 ahli PIBG, Ikram, JIM dan FASA serta keluarga masing-masing. Turut hadir ialah Pengerusi PIBG, Dr Badrol Ahmad, Yang DiPertua Ikram Daerah Hulu Langat, Dr Mustafa Din Subari dan Yang DiPertua Ikram Kajang, Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

31 July 2011

121 Amal Masyarakat Dalam Ramadhan


Oleh: Qassim Abdullah
(Dipetik dari zadud-duat.blogspot.com)

121 idea ini adalah satu usaha kami untuk membantu dan menolong anda dalam aktiviti kemasyarakatan pada bulan Ramadan, dengan membentangkan idea-idea yang boleh dilaksanakan dalam alam realiti, yang kebanyakannya telah pun dilaksanakan di pelbagai tempat. Justeru, ambillah mana-mana idea yang sesuai dengan anda dan apa yang boleh anda lakukan. Saya percaya bahawa idea-idea yang disenaraikan lebih dari seratus ini bukanlah semua idea-idea yang sesuai untuk disampaikan kepada masyarakat pada bulan Ramadan, bahkan ianya hanya satu model sahaja, dan anda boleh mengambil idea hasil cetusan anda sendiri dan saudara-saudara anda yang akan menambah koleksi idea sedia ada.

Anda akan temui idea yang kami senaraikan di bawah berbeza-beza mengikut keadaan dan tempat seperti di rumah, jalan, masjid dan kampung hingga kepada simbol-simbol, pertubuhan, persatuan, kelab, institusi dan syarikat-syarikat, dan kami tidak lupa kepada wanita, anak-anak, remaja dan pelajar, dan kami akhiri dengan paksi elektronik kerana kepentingannya pada masa ini.


06 July 2011

Pemeriksaan Kesihatan PERCUMA


IKRAM Hulu Langat dan IKRAM Health bersama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Persatuan Penduduk Seksyen 9 BBB dan Masjid Al-Hasanah BBB akan mengadakan:

Program Pemeriksaan Kesihatan (PERCUMA)

~ Pemeriksaan tekanan darah (sasaran untuk 200 orang) ~
~ Pemeriksaan gula dalam darah (sasaran untuk 200 orang) ~
~ BMI: Body Mass Index (sasaran untuk 50 orang sahaja) ~
~ Pap Smear bagi wanita (sasaran untuk 50 orang sahaja) ~

Dengan bertemakan:

<B68.gif>KELUARGA SIHAT, HIDUP PUN HEBAT, JIRAN MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT!<B68.gif>

Pada 10 Julai 2011

Jam 9.00 pagi - 12.00 tengah hari

Bertempat di Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi

Terbuka kepada semua ahli IKRAM Zon Selatan Selangor (Hulu Langat, Kajang, Sepang) dan Putrajaya. Juga kepada penduduk-penduduk sekitar seksyen 9 Bandar Baru Bangi.

18 May 2011

Program Sambutan Ahli Baru

BANGI - Sebuah taklimat berkenaan IKRAM telah diadakan untuk ahli-ahli baru Daerah Hulu Langat pada hari Selasa, 17hb Mei 2011. Taklimat ini telah dihadiri kira-kira 40 orang termasuk 22 ahli baru. Kebanyakan ahli-ahli baru yang hadir adalah mereka yang menetap di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi. Berikut merupakan laporan bergambar suasana program tersebut.

YDP Ikram Hulu Langat sedang menyampaikan ucapan aluan.

03 May 2011

Al-Qur'an Sebagai Panduan Hidup


Oleh: Saudara Shaffie Mokhtar

Sesungguhnya Allah Yang Maha Esa telah menurunkan kitab suci Al-Qur'an kepada umat manusia sebagai satu kitab panduan yang dengannya manusia seharusnya berpegang supaya kehidupan ini sentiasa di dalam jalan kebenaran. Bermula saat ianya diwahyukan sehingga ke saat pengadilan kelak, kitab suci ini akan kekal sebagai satu-satunya kitab panduan bagi umat manusia yang isi kandungannya tidak sedikitpun ada kekurangan maupun tokok tambah walau sebiji hurufpun. Bagaimana ini mungkin terjadi, kerana ianya merupakan suatu mukjizat yang dijamin Allah akan keasliannya sehinggalah ke hari Kiamat. Bagi yang membaca apa lagi yang menghafaz, disediakan ganjaran yang cukup besar untuk bekalan di hari muka kelak.

30 March 2011

Masyarakat Perlu Berpegang dengan Adab dan Akhlak Mulia


Pertubuhan IKRAM Malaysia
Masyarakat Perlu Berpegang dengan Adab dan Akhlak Mulia
Jumaat, 20 Rabiul Akhir 1432H/25 Mac 2011M

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang berat tuduhan salahlaku seks terhadap ketua pembangkang.

Isu yang ditimbulkan dan cara pendedahannya mencerminkan keaiban masyarakat kita. Ia menimbulkan persoalan sama ada masih wujud saluran amr makruf nahi mungkar. Ia bagaikan tidak mengutamakan pandangan agama, adab dan tata susila.

09 March 2011

Hari Wanita Sedunia 2011

Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Sempena Hari Wanita Sedunia 2011

Tema:
‘Equal access to education, training and science and technology: Pathway to decent work for women’ (Peluang yang sama rata untuk mendapatkan pendidikan, latihan, sains dan teknologi: Jalan untuk meraih kerjaya yang baik kepada wanita).
8 Mac 2011 bersamaan 3 Rabiul Akhir 1432 H

Latar Belakang

1.0 Saban tahun Hari Wanita Sedunia disambut pada tanggal 8 Mac di serata dunia bagi memberikan pengiktirafan kepada sumbangan besar yang dimainkan oleh kaum wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara. Sambutan ini juga adalah bagi memperingati perjuangan wanita dalam menuntut hak-hak mereka. Bagi wanita Islam perjuangan memartabatkan kedudukan wanita telah bermula sejak 1432 tahun dahulu dengan turunnya risalah Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw. Risalah yang dibawa oleh Rasulallah saw telah pun meletakkan kedudukan wanita pada tahap yang tinggi dan kaum lelaki menjadi pelindung kepada wanita. Kedudukan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT.

28 February 2011

Mukhayyam: Menawan Puncak Gunung Nuang

HULU LANGAT - Sebuah perkhemahan IKRAM Hulu Langat (HL) untuk Ahli Aktif dan Ahli Teras ikhwah (lelaki) telah diadakan bermula 26 sehingga 27hb Februari 2011. Perkhemahan atau lebih biasa disebut mukhayyam telah dianjurkan oleh JK Tarbiyah daerah. Ustaz Zamri Abd Rahim, Pengerusi JK Tarbiyah daerah HL berkata, objektif mukhayyam adalah untuk meningkatkan tahap disiplin dan ukhuwwah di antara ahli selain dari untuk menawan puncak Gunung Nuang. Berikut ekstrak (yang telah disunting) email salah seorang peserta:

07 February 2011

AJK Unit Keluarga Pertubuhan IKRAM DHL

Mewakili AJK Unit Keluarga Pertubuhan IKRAM Daerah Hulu Langat:

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ikhwah & akhawat yang dihormati;

Kami dari Unit Keluarga Pertubuhan IKRAM Daerah Hulu Langat bakal menganjurkan satu program forum sempena sambutan maulidur rasul pada tahun ini.
Program ini bakal dijalankan di Ruang legar Tingkat Bawah Flat Council Home Seksyen 16 Bandar Baru Bangi pada 15 Februari 2011 pukul 8:00a.m. - 1:00pm.

Program ini adalah kerjasama antara Unit Keluarga Pertubuhan IKRAM Daerah Hulu Langat, PITRAH  (Pertubuhan Ibu Tunggal Rangkaian Hati)  ,AJK Council Home  Sec 16 Bandar Baru Bangi dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.

Panelis2 yang bakal menjayakan forum ini adalah termasuk:
1.   Ustazah Anisah Abd Ghani - Pensyarah Syariah Univerisiti Malaya;Ahli  Majlis Tertinggi, Dewan Perwakilan Nasional ,Pertubuhan IKRAM Malaysia, Pakar Rujuk  Tabung Haji Malaysia
2.   Ustaz Zamri bin Abd Rahim - Penolong   Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran
3.   Puan Zaiton bt. Ismail  - pelajar PHD UIA dan kaunselor
4.   Moderator - Dr Noor Azizah Tahir (AJK Unit Keluarga Pertubuhan IKRAM Daerah Hulu Langat )
Di samping aktiviti forum; program ini juga bakal memberikan khidmat 'medical check-up' percuma buat peserta-peserta program -  terutama penduduk-penduduk flat sek 16.

Dengan ini, sukacita dimaklumkan bahawa ikhwah / akhawat yang ingin memberikan sumbangan kepada kejayaan majlis ini adalah amat dialu2kan. Setakat ini, kita masih memerlukan kira2 RM1500 untuk kelancaran program ini.

Ikhwah / akhawat yang ingin memberi sumbangan boleh terus menghubungi Abdullah (019-3591775) Atau boleh terus bank in ke akaun CIMB: Ukht/Mkck Yani 12150001482207.

Sekian Terima Kasih,

Jzkk,
Dr Noor Azizah Tahir