04 October 2013

Qurban 04: Beberapa Perihal Qurban

...sambungan...


SYARAT QURBAN DAN BINATANG YANG DIQURBANKAN

1. Binatang yang hendak dijadikan qurban itu, hendaklah dari binatang yang tidak cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya. Umur yang disarankan bagi binatang yang akan diqurbankan itu adalah seperti berikut;

  • Kambing atau domba yang telah berumur satu tahun lebih atau sudah berganti gigi
  • Kambing biasa yang telah berumur dua tahun lebih.
  • Unta yang telah berumur lima tahun lebih.
  • Sapi, kerbau atau lembu yang telah berumur dua tahun lebih.
  • Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak bunting ketika hendak diqurbankan. Bagaimanapun, qurban tetap dianggap sah, jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang bunting.
Sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud;
Daripada Barra’ bin ‘Azib, Rasulullah SAW bersabda; “Empat jenis binatang yang tidak sah dijadikan qurban, yang rosak matanya, yang sakit, yang pincang dan yang kurus dan tidak mempunyai isi.” (HR. Muslim)


Seekor kambing hanya untuk qurban satu orang diqiaskan dengan denda meninggalkan wajib haji. Akan tetapi seekor unta, lembu, kerbau boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian menurut pandangan Syafi’iyyah. Hadith Rasulullah SAW;
Daripada Jabir , baginda berkata: “Kami telah menyembelih qurban bersama dengan Rasulullah SAW, pada Tahun Hudhaibiyah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (HR. Muslim)

Di dalam sebuah hadith lain pula;
Daripada Abbbas, kami pernah bersama-sama dengan Rasululah SAW dalam satu perjalanan, ketika itu masuk hari raya qurban, maka kami bersama-sama menyembelih seekor lembu untuk tujuh orang dan seekor unta untuk sepuluh orang.” (HR. At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

2. Qurban dilakukan pada waktu yang telah ditetapkan.

Dalam Mazhab al-Maliki ditambah dua syarat lagi, iaitu;
3. Penyembelih mestilah terdiri dari seorang muslim, oleh yang demikian tidak sah sembelihan seorang kafir yang telah diwakilkan oleh tuan qurban kepadanya. sekiranya dia ahli kitab, maka harus memakan daging sembelihannya.

4. Tidak boleh berkongsi beberapa orang dalam membayar harga binatang qurban, kecuali mereka terdiri daripada kaum kerabatnya yang terdiri daripada anak-anak, adik-beradik dan anak bapa saudaranya dan termasuk juga isteri atau suami dan ke semua mereka tinggal serumah dengannya.

WAKTU MELAKUKAN QURBAN

Waktu menyembelih qurban adalah bermula daripada matahari setinggi tombak, pada hari Raya Haji sehingga terbenam matahari pada 13 bulan Zulhijjah.

Sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa yang menyembelih qurban sebelum solat Hari Raya Haji, sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri dan barangsiapa menyembelih qurban sesudah solat Hari Raya dan dua khutbahnya, sesungguhnya dia telah menyempurnakan ibadahnya dan telah menepati sunnah atau aturan umat Islam.” (HR. Al-Bukhari)

Maksud ‘Solat Hari Raya Haji’ dalam hadith di atas adalah waktunya, bukannya solatnya, kerana mengerjakan solat tidak menjadi syarat kepada sembelihan qurban.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Semua hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah), adalah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih qurban.” (HR. Ahmad)

PERKARA YANG DISUNATKAN KETIKA MENYEMBELIH QURBAN

1. Menurut Mazhab Hanafi, sunat bagi orang yang hendak berqurban mengikat binatang yang akan diqurbankannya beberapa hari sebelum hari qurban, untuk menunjukkan bahawa ketika bersedia untuk melakukan ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan menzahirkan rasa bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Di samping itu juga dimakruhkan sekiranya kita menggunakannya untuk menunggang, mengambil susunya, bulunya dan sebagainya.

2. Sunat disembelih sendiri oleh mereka yang berqurban, kerana boleh mendekatkan dirinya kepada Allah.

3. Sunat dihadapkan binatang yang akan disembelih ke arah kiblat, sepertiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadith Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh semua imam.

4. Sunat kepada orang yang berqurban menyaksikan binatang qurbannya, sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah di dalam sebuah hadith;
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda; “Bangunlah menuju tempat binatang qurbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…” (HR. al-Hakim, al-Baihaqi dan at-Tabrani)

5. Membaca Basmalah (Bismillahirrahmani rrahim) sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir menyatakan bahawa kami telah menunaikan solat al-Adha bersama Rasulullah SAW, selepas selesai daripada solat tersebut, dibawa dihadapan baginda seeokor kibas, maka baginda menyembelihnya dan baginda membaca; “Dengan nama Allah dan Allah Maha besar, Ya Allah ini adalah (qurban) dariku dan daripada mereka yang tidak mampu untuk berqurban dari kalangan umatku.” (HR. Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)

6. Membaca salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

7. Takbir (Menyebut Allahu Akbar)

8. Mendo’akan agar sembelihan tersebut diterima oleh Allah, seperti berkata “YA Allah, ini adalah amalan yang Engkau perintahkan supaya aku kerjakan keranaMu, terimalah amalku ini)

9. Binatang yang disembelih itu hendaklah dihadapkan ke arah kiblat di atas rusuk kirinya, sekiranya binatang tersebut terdiri daripada lembu dan kambing. Sebuah hadith Nabi SAW;
Daripada Anas bahawa “Rasulullah SAW telah melakukan qurban dengan dua ekor kambing yang baik-baik, beliau menyembelihnya sendiri, beliau membaca bismillah dan beliau bertakbir. " (HR. Bukhari dan Muslim)

Ketika melakukan qurban Rasululah membaca (yang bermaksud);
“Ya Allah terimalah kurban Muhammad, ahli kelurganya dan umatnya.” (HR. Ahmad dan Muslim)

BEBERAPA PERKARA BERKAITAN BINATANG QURBAN

1. Memastikan bahawa binatang yang akan diqurbankan itu terdiri daripada binatang yang terbaik dari semua sudut, kerana binatang tersebut merupakan qurban untuk mendapat ganjaran di akhirat.

2. Memastikan alat yang digunakan untuk menyembelih terdiri daripada alat yang tajam yang diperbuat daripada besi.

3. Menunggu sebentar selepas menyembelih sehingga binatang tersebut dipastikan benar-benar telah mati.

4. Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Maliki dan sebahagian daripada Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah qurban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan Zulhijjah, supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai ibadah qurban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu mahu melakukan qurban maka biarkan (jangan dipotong) rambut dan kuku-kukunya.” (Hadith diriwayatkan oleh semua Imam kecuali Bukhari)

Bersambung...

No comments:

Post a Comment