07 October 2013

Qurban 05: Pembahagian Daging Qurban

...sambungan...


PEMBAHAGIAN DAGING QURBAN

1 . Jumhur Fuqaha’ (Mazhab Hanafi, Malikiy dan Hambali)

Menurut Mazhab Hanafi, harus memakan daging qurban yang disunatkan, manakala qurban nazar atau qurban wajib diharamkan untuk memakannya.

Menurut Mazhab Malikiy dan Hambali pula memakan daging qurban nazar dibolehkan sama seperti qurban sunat dan disunatkan supaya mencampurkan kedua-dua qurban tersebut sama ada untuk dimakan, disedekahkan dan dijadikan sebagai hadiah. Namun begitu mereka menghukumkan makruh sekiranya kita memakan atau menyimpan kesemua daging tersebut melebihi tiga hari.

2. Mengikut amalan sunnah (terutama Mazhab Hanafi dan Hambali) dalam pembahagian daging qurban ialah 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk kaum kerabat, teman-teman, jiran tetangga walaupun mereka terdiri daripada golongan kaya, manakala 1/3 untuk golongan fakir dan miskin. Kenyataan ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud;
“Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lain) berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang sengsara lagi fakir.” (al-Haj, 22:28)

FirmanNya lagi yang bermaksud;
“Dan berilah makan kepada orang yang redha dengan apa yang ada pada dirinya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta.” (al-Haj, 22:36)

Namun begitu, sekiranya disedekahkan ke semuanya kepada orang lain, terutama fakir miskin, maka dianggap lebih baik dan sempurna. Walau bagaimanapun digalakkan kepada orang yang berqurban untuk mengambil sedikit daging qurban untuk dirinya dan keluarganya sebagai ‘Tabarruk’ (mengambil bekat dari ibadah qurban tersebut).

Tambahan: Menurut Mazhab daging qurban juga boleh diberikan kepada orang-orang yang bukan Islam, terutama mereka yang diharapkan akan memeluk agama Islam, selepas pemberian tersebut, untuk menunjukkan kebaikan dan pengiktirafan Islam kepada mereka sebagai manusia.

...bersambung...

No comments:

Post a Comment