16 October 2013

Perutusan Pengerusi i4S sempena Eid Adha 1434H (2013M)


Perutusan Pengerusi i4S sempena Eid Adha 1434H (2013M)

Dengan nama Allah Maha pemurah lagi maha pengasihani.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Tahun ini umat Islam menyambut kedatangan Eid Adha dengan rasa duka dan pilu ke atas penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam di merata tempat. Bukan sahaja Palestin yang memerlukan sokongan dan bantuan bahkan kini Syria dan terbaru Mesir juga memerlukan perhatian umat Islam. Keadaan di Syria tidak menunjukkan bahawa peperangan semakin reda. Bahkan regim Bashar Assad terus meningkatkan serangan dan semakin biadap terhadap penduduk Syria. Mulai pertengahan tahun ini, senjata kimia digunakan ke atas orang-orang awam. Serangan terbesar di Ghutah telah membunuh lebih dari 1,300 penduduk dengan kanak-kanak menjadi sebahagian besar dari mangsa pembunuhan yang amat kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Rakyat Syria yang terbunuh mengi9kut sumber rasmi ialah sekitar 100,000 orang meskipun bilangan tidak rasmi mungkin sudah mencecah 150,000 orang. Dari bilangan tersebut lebih 7,000 adalah kanak-kanak iaitu dengan nisbah hamper seorang kanak-kanak bagi setiap sepuluh mangsa yang terbunuh syahid. Bilangan rakyat Syria yang kehilangan tempat tinggal samada rumah mereka musnah atau terpaksa lari meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan di daerah yang lebih selamat kini sudah mencecah 5.4 juta orang. Dari jumlah ini 2.1 juta menjadi pelarian di luar Negara Syria dan berlindung di Lubnan, Jordan, Mesir dan Afrika Utara. Bilangan rakyat Syria yang memerlukan bantuan pula sudah mencecah 6.8 juta orang. Bantuan kemanusiaan yang sangat kritikal adalah dianggarkan sebanyak USD3.2 bilion.

Rakyat Syria yang menjadi mengsa kekejaman regim Basyar Assad kini sedang berlindung di dalam khemah. Mereka akan menghadapi musim sejuk sebentar lagi. Keperluan seperti selimut, khemah, sleeping bag, makanan dan ubat-ubatan sangat kritikal. I4S (Ikram for Syria) telah mengenal pasti projek Rayuan Musim Sejuk sebagai projek utama bagi membantu saudara di Syria menghadapi musim sejuk terutama kanak-kanak. Untuk memudahkan rakyat Malaysia menyokong projek ini maka pihak urusetia i4S telah mengenalpasti package bantuan seperti berikut iaitu selimut (RM50/unit), Sleeping bag (rm70/unit), khemah (rm1200/unit) dan gandum (rm200/kampit). Sumbangan ini bolih disalurkan ke akaun Bank Islam 1202-9010 -0635-12.

Sempena Hari Raya Qurban ini kita menyeru umat Islam khususnya supaya menyahut seruan untuk berqurban kepada saudara-saudara kita yang sedang menderita di Syria khususnya. Keadaan mereka begitu terdesak sehingga di beberapa tempat seperti di Qaubun, Daraya, Hamma yang dikepung tentera regim Basyar selama 300 hari terpaksa memakan kucing dan anjing kerana kehabisan makanan sama-sekali. Imam setempat terpaksa mengeluarkan fatwa bagi mengharuskan perbuatan ini demi untuk menyelamatkan nyawa.

Kami juga ingin memaklumkan kepada saudara-saudara di Malaysia yang telah memilih untuk melaksanakan ibadah qurban di Syria melalui program QKU (Qurban Kasih Ummah) di bawah Pertubuhan IKRAm Malaysia. Sebanyak 149 ekor kambing telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia untuk korban di khemah pelarian rakyat Syria. Jumlah kesemuanya ialah RM96,580. Selain itu melalui projek ud hiyyah sebanyak 587 bahagian disumbangkan berjumlah RM220,000 untuk diagihkan ke Syria dan Palestin.

Jangan biarkan saudara-saudara kita di Syria terus ternanti-nanti sumbangan dari kita. Marilah kita tingkatkan kepekaan kita terhadap saudara kita di Syria. Semuga hari Raya Qurban ini menjadi titik tolak kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk mempertingkatkan sumbangan berterusan kepada rakyat Syria sehinggalah mereka bebas dari kezaliman regim Basyar Assad, insyaAllah. Sesungguhnya Allah tetap akan membela umat Islam yang dizalimi. Hanya waktu yang menentukan. Sementara pertolongan Allah itu datang menyelamatkan mereka dari kezaliman tersebut maka ia menjadi satu ujian kepada umat Islam sejauh manakah benarnya kita pada ikrar kita iaitu ‘umat Islam itu bersaudara’ (firman Allah) dan ‘Umat Islam itu ibarat satu tubuh, jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasa sakit dan tidak bolih tisur malam’ (hadis Nabi SAW)

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi i4S
10 Zulhijjah 1434H

No comments:

Post a Comment