10 October 2013

Qurban 06: Kesilapan Dalam Qurban

...Sambungan...


BEBERAPA KESILAPAN DALAM IBADAH QURBAN

1. Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah qurban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ‘Ibadah Qurban’, kerana para ulama’ mengaggap perbuatan tersebut sebagai ‘makruh’.

2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging qurban. Masih ada amalan di mana daging yang telah diqurbankan dibahagi kepada tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging qurban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi qurban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang qurban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.

3. Melaksanakan ibadah qurban dengan tujuan untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan qurban, supaya dengan itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap sebagai orang yang hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya insaf bahawa hanya qurban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan sahaja yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT;
“Daging-daging qurban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang qurban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.” (al-Haj, 22:37)

4. Pembaziran daging qurban. Di mana terdapat daging qurban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi busuk. Di samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak menghimpunkan daging qurban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila ruang peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging qurban yang kita bawa pulang.

5. Pembahagian daging qurban yang hanya ditentukan kepada kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman dengan kita.

6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke tempat sembelihan, semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian daging qurban, namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan menikmati daging qurban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke surau dan ke masjid atau bermuamalah dengan penduduk setempat.

SILA RUJUK :
1. Al-Quran dan terjemahannya
2. Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuha : Dr. Wahbah Az-Zuhailiy
3. Fiq As-Sunnah : Syeikh Sabiq
4. Tarbiyatul Aulad : Dr. Abdullah Nasih Ulwan
5. Al-Fiqh al-Islamiy : Haji Sulaiman Rasyid
6. Tuntutan Qurban : Prof. Dr. T.M Hasbi As-Siddiqiy
7. Hukum Qurban dan Sembelihan : Kiyai Haji Abdurrahman

Disediakan oleh:
Ustaz Shahrom Abu Hassan
Penasihat Syariah Qurban Aqiqah JIM 1431H

Sumber asal: Artikel

No comments:

Post a Comment